FMT Reporters
PETALING JAYA: Pemandu lori mengaku salah di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan menghantar gambar dan video lucah bekas isteri kepada suami wanita itu menerusi WhatsApp, pada 2023.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas Mohd Suhaimi Yusof, 50, selain mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan WhatsApp secara tidak wajar dengan menghantar tiga gambar dan dua rakaman video lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya, lapor Berita Harian.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 22 Mac 2023 di sebuah premis di Mantin, Seremban.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 233(3) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima beberapa gambar dan video berunsur lucah daripada tertuduh yang juga bekas suami isterinya. Pengadu berasa terkilan dan terganggu selepas menerima serta melihat kandungan berkenaan yang memaparkan isterinya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan terhadap hukuman dan memaklumkan dia reda sekiranya dihukum penjara.
Suhaimi memberitahu mahkamah bahawa dia kini bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat anak, tiga daripadanya masih bersekolah serta kini dijaga bekas isterinya.
Katanya, dia bertindak demikian kerana buntu dan berang selepas mendakwa ditipu wanita berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamad Farhan Kamarudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan