"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tabiat mandi pakai kanta lekap, wanita hilang penglihatan empat bulan

Agensi
Grace Jamison sebelum dan selepas kehilangan penglihatannya. FOTO Grace Jamison

Grace Jamison sebelum dan selepas kehilangan penglihatannya. FOTO Grace Jamison
Santo Domingo, Republik Dominika: Kehidupan aktif dan berdikari Grace Jamison berubah sekelip mata selepas tabiat memakai kanta lekap ketika mandi menyebabkannya kehilangan penglihatan pada kedua-dua mata selama empat bulan, lapor People.

Membesar di California, Jamison meraih tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri, menjadi ahli pasukan tarian dewan sekolah menengah dan pernah menyertai rancangan American Ninja Warrior.

Semua aktiviti itu dilakukannya sambil memakai kanta lekap.

Jamison mula memakai kanta lekap ketika berusia 14 tahun dan penggunaannya menjadi rutin.

Setiap pagi, dia memakainya ketika bersiap, menggunakannya sepanjang hari dan tidak membukanya ketika mandi sebelum menanggalkannya untuk tidur.

Rutin itu berterusan selepas dia berpindah ke Republik Dominika kira-kira setahun lalu ketika berusia 19 tahun bagi menjalankan misi keagamaan.

Pada suatu malam, dia mandi dengan masih memakai kanta lekap dan menanggalkannya sebelum tidur seperti biasa.

"Sebelum kejadian ini, tiada sesiapa pernah memberitahu bahawa kanta lekap tidak boleh dipakai ketika mandi. Saya tahu kanta lekap tidak boleh dibawa berenang, namun tidak pernah terfikir bahawa air paip juga berbahaya," katanya.

Beberapa hari kemudian, Jamison mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada matanya apabila ia berasa gatal dan kering sebelum menjadi merah serta sangat sensitif terhadap cahaya.

Keadaannya merosot dengan pantas dan dalam tempoh kira-kira seminggu, penglihatannya semakin kabur sehingga dia hampir tidak dapat melihat menggunakan kedua-dua mata.

Namun, ketika penglihatannya semakin merosot, punca sebenar masalah itu mengambil masa lebih lama untuk dikenal pasti.

Seorang doktor pada mulanya menyangka dia mengalami sejenis jangkitan herpes pada mata sebelum memberikan ubat titis mata steroid yang kemudiannya diketahui berpotensi memburukkan lagi keadaan matanya.

Hampir sebulan, Jamison berulang-alik ke klinik pakar mata hampir setiap hari sebelum doktor akhirnya mengenal pasti punca sebenar masalahnya.

Dia kemudian disahkan menghidap Acanthamoeba keratitis iaitu jangkitan kornea yang jarang berlaku tetapi serius akibat organisma mikroskopik dikenali sebagai acanthamoeba.

"Apabila mendapat tahu ramai pesakit Acanthamoeba keratitis kehilangan penglihatan, saya sangat sedih. Sebahagian daripada diri saya berharap perkara itu tidak berlaku kepada saya tetapi jauh di sudut hati, saya tahu betapa seriusnya keadaan ini," katanya.

Jamison yang kini berusia 20 tahun berkata, jangkitan itu akhirnya menyebabkan dia hilang penglihatan sepenuhnya pada kedua-dua mata selama kira-kira empat bulan.

Matanya juga menjadi terlalu sensitif terhadap cahaya sehingga bilik tidurnya perlu digelapkan sepenuhnya manakala dia terpaksa memejamkan mata sepanjang hari kerana berasa amat tidak selesa apabila membukanya.

Kehilangan penglihatan secara tiba-tiba itu turut memaksanya menilai semula hampir setiap aspek kehidupan seharian.

Malah, perkara biasa seperti makan menjadi sukar kerana dia tidak dapat melihat makanan di atas pinggan atau mengetahui kedudukannya.

Selepas kira-kira empat bulan tidak dapat melihat, penglihatan mata kiri Jamison perlahan-lahan kembali pulih.

Dengan bantuan kanta mata dan ubat-ubatan khas, dia kini sudah boleh melihat semula menggunakan mata kiri meskipun meskipun masih mengalami kerosakan dan parut pada mata.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa jangkitan itu boleh berlaku di mana-mana sahaja dan bukan disebabkan dia berada di Republik Dominica kerana Acanthamoeba boleh ditemukan dalam air di pelbagai tempat.
-hmetro

Tiada ulasan: