Bernama
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata suspek yang menaiki Proton Wira rempuh kenderaan polis ketika melarikan diri daripada pemeriksaan.

Tangkap layar video tular menunjukkan sebuah kereta Wira merempuh sebuah kereta peronda polis ketika cuba ditahan di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima, petang semalam.
KAJANG: Polis sedang mengesan dua lelaki yang meloloskan diri dengan sebuah kereta selepas cuba diperiksa anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima, petang semalam.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang ketika anggota MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Kajang menjalankan rondaan di kawasan itu.
Beliau berkata anggota terbabit cuba menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan dokumen pengenalan diri daripada dua lelaki yang menaiki sebuah Proton Wira berwarna hijau.
“Kedua-dua individu berkenaan, iaitu pemandu dan penumpang kereta tersebut, kemudian bertindak melarikan diri dengan kenderaan berkenaan menuju ke arah Kajang,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata ketika melarikan diri, kereta dipandu suspek melanggar sebuah Perodua Ativa sebelum merempuh MPV polis.
Akibat kejadian itu, kenderaan MPV polis mengalami kerosakan pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan, bagaimanapun tiada orang awam atau anggota polis yang cedera,” katanya.
Beliau berkata usaha mengenal pasti dan mengesan kedua-dua suspek sedang dijalankan, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka, selain keterangan saksi.
Naazron berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Azlan Zulkiflee di talian 017-316 1138 atau mana-mana balai polis berhampiran.l
Tiada ulasan:
Catat Ulasan