"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 laporan polis terhadap dakwaan Hadi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga laporan polis dibuat berkait kenyataan Presiden PAS Hadi Awang yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.

Laporan itu dibuat Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak, V Jonathan, Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Tun Razak, Mazlina Osman, dan Timbalan Ketua Pemuda PKR Bandar Tun Razak, Amarul Hisham Jalil, di Balai Polis Cheras.

Jonathan berkata, laporan itu dibuat susulan kenyataan Hadi ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS Ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan semalam, seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Beliau berkata, Hadi mendakwa beberapa pemimpin PAS pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan menjatuhkan kerajaan ketika itu.

“Antara yang dikatakan hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Mustafa Ali bersama-sama duta AS ketika itu,” katanya menurut Bernama.

Jonathan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan laporan berkenaan adalah bagi memastikan sebarang dakwaan berkaitan cubaan menggulingkan atau melemahkan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen melalui cara yang tidak mengikut Perlembagaan dapat disiasat mengikut lunas undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Cheras Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut sekitar 5 petang.

“Saya sedang menyemak jumlah laporan serta balai polis tempat laporan berkenaan dibuat. Laporan tersebut bagaimanapun akan dirujuk kepada IPD Wangsa Maju,” katanya.

Tiada ulasan: