NURUL IZZATI ZAINI

Tangkap layar video tular memaparkan pemandu sebuah lori dipercayai terlelap sebelum merempuh gerai nasi lemak di Batu 12, Cheras, semalam.
KAJANG – Gara-gara dipercayai terlelap ketika memandu, seorang pemandu lori hilang kawalan sebelum merempuh struktur hadapan sebuah kedai nasi lemak di Batu 12, Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya mengesan rakaman video kejadian yang tular di media sosial kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi sebelum menjalankan siasatan.
Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu membabitkan sebuah lori yang dalam perjalanan menghala ke Cheras.
“Siasatan awal mendapati pemandu lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dipercayai terlelap ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan.
“Lori berkenaan kemudian melanggar struktur hadapan sebuah kedai nasi lemak di Jalan Batu 12, Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Naazron, akibat kejadian, lori mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan manakala kedai makan terbabit mengalami kerosakan pada payung perniagaan serta kelengkapan dapur.
Menurut beliau, anggaran kerugian dialami pemilik kedai adalah kira-kira RM500, manakala tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan dengan baik.
Terdahulu rakaman tersebut tular di Thread apabila seorang pengguna memuat naik video rakaman kamera papan pemuka memaparkan kejadian tersebut.
Menerusi video berkenaan, selepas rempuhan itu, lori tersebut dilihat meninggalkan kawasan tersebut tanpa berhenti sekali gus mengundang kecaman orang ramai. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan