Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul dan mengurung isterinya di sebuah rumah di Desa Mutiara, Jalan Gong Badak, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan dirinya didera dan dikurung oleh suaminya dalam rumah.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Gong Badak bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa.
"Sebaik tiba, anggota polis mendapati wanita itu berada dalam rumah bersama empat anak lelakinya, manakala semua pintu rumah dikunci menggunakan mangga.
"Polis kemudian memperkenalkan diri sebelum mangsa memaklumkan dia dipukul oleh suaminya dan dikurung dalam rumah. Mangsa turut meminta bantuan polis untuk membuka pintu rumah sebelum anggota bertindak memotong mangga bagi membolehkan mereka keluar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ekspedisi Kayak Merdeka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di Pulau Warisan, di sini, hari ini.
Azli berkata, pemeriksaan mendapati mangsa cedera di bahagian mata kanan, selain mengadu sakit di kepala dan lutut kiri.
"Wanita itu bersama empat anaknya dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, manakala siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul oleh suspek kerana cemburu.
"Polis kemudian meminta suspek menyerah diri bagi membantu siasatan dan lelaki berusia 36 tahun itu hadir ke Balai Polis Gong Badak kira-kira jam 3 petang semalam sebelum ditahan.
"Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah dan siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes yang sedang disiasat," katanya.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 324 dan 326A Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan