"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agong tangguh permohonan Najib, bebaskan 65 banduan

Malaysiakini

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk membebaskan 65 banduan pada hari ini dan kesemua banduan bukan warganegara hendaklah diusir pulang ke negara asal.

Pengusiran itu hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan.

Baginda bagaimanapun berkenan supaya permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya “yang akan diadakan kelak”.

Keputusan itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi susulan mesyuarat lembaga itu hari ini.

Tarikh khusus mesyuarat akan datang tidak dinyatakan dalam kenyataan media ringkas itu hari ini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan PH seolah-olah membantah perintah tahanan rumah berkenaan dengan menyatakan bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam kes profil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh.

Najib masih berdepan pertuduhan rasuah lain di mahkamah berkaitan 1MDB. Dia juga sedang merayu bagi sabitan berasingan pada 2025 atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang membawa hukuman penjara 15 tahun.

Sumber yang menghadiri mesyuarat PH memberitahu Straits Times Singapura bahawa Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dijangka membantah sebarang pengampunan tambahan untuk Najib apabila Lembaga Pengampunan bersidang.

“Bagaimanapun, keputusan akhir terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, Anwar akan memohon perkenan untuk menghadap Seri Paduka Baginda sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi membincangkan perkara tersebut,” kata sumber yang dipetik.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 2022 selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya kepada separuh dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Tiada ulasan: