"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis sambut dengan gari

Amirul Aiman Hamsuddin

EMPAT pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan polis selepas cuba memasuki negara ini secara haram di jalan besar Sungai Lang, pagi semalam. IHSAN PDRM

Sabak Bernam: Gembira hanya seketika apabila dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang baru menyusup masuk ke negara ini 'disambut' oleh sepasukan anggota polis yang sedia menanti.

Difahamkan suspek pendatang tanpa izin (PATI) berusia 24 hingga 51 tahun itu memasuki negara ini dengan menaiki bot pancung.

Bagaimanapun keempat-empat mereka yang disyaki baharu mendarat diberkas polis di jalan besar Sungai Lang, Sungai Air Tawar, di sini, 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sepasukan empat anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Sungai Air Tawar dan tiga anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam melakukan serbuan hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, empat PATI itu dipercayai baharu mendarat di kawasan Pantai Sungai Lang sebelum berjaya dicekup.

"Pemeriksaan mendapati semua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama," katanya semalam.

Dalam pada itu, Agus Salim berkata, semua pendatang haram itu dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar di sini untuk menjalani ujian saringan.

"Semua mereka bagaimanapun didapati negatif Covid-19," katanya.

Apa lagi yang Muhyiddin tidak puas hati,

MALAYSIA DATELINE

“Apa lagi yang Muhyiddin tidak puas hati ni,” tanya orang kanan Datuk Seri Najib Razak selepas perdana menteri dalam ucapannya mempertikaikan perintah Yang Dipertuan Agong menolak nasihat beliau untuk mengistiharkan darurat.

Bagi beliau, Yang Dipertuan Agong telah membuat keputusan secara profesional apabila merujuk kepada pakar undang-undang dan juga Majlis Raja-raja Melayu sebelum menolak nasihat perdana menteri itu.

“Bagi saya ini adalah kerana Muhyiddin tidak yakin bahawa dia ada majoriti dalam Dewan Rakyat,” kata Datuk Lokman Noor Adam menerusi facebook beliau.

Bagi beliau, langkah terbaik untuk Muhyiddin buat dalam keadaan sekarang adalah dengan membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan dahulu sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan dalam Dewan Rakyat untuk membuktikan kerajaan pimpinan beliau adalah sah.

“Jika beliau tidak benarkan usul undi tidak percaya ini dibentang dan kedudukannya sebagai perdana menteri tidak disahkan dahulu, bagaimana beliau mahu membentangkan belanjawan,” kata bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya dahulu.

Semalam ketika berucap secara langsung melalui media elektronik dan media sosial, Muyiddin berkata, hanya perintah darurat yang boleh menyekat pilihan raya kecil Batu Sapi dan PRN Sarawak.

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir,” kata beliau.

Ucapan ini dibuat selepas Yang Dipertuan Agong menolak nasihat beliau dan kabinetnya untuk mengistiharkan darurat.

Bagi Lokman, ucapan Muhyiddin ini adalah satu ucapan tidak puas hati dengan keputusan Yang Dipertuan Agong.

Perginya James Bond paling hebat

 

Scotland: Pelakon legenda yang sinonim dengan watak James Bond, Sean Connery meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Keluarganya dalam satu kenyataan berkata, pelakon Scotland itu meninggal dunia ketika dalam tidur di Bahamas. Difahamkan, beliau sudah tidak sihat sejak sekian lama.

Sean yang mula berlakon pada 1954 adalah pelakon pertama yang membawa watak James Bond bermula dengan Dr No pada 1962.

Beliau terbabit dalam tujuh siri James Bond dan kali terakhir beliau membawa watak perisik British popular itu ialah menerusi Diamonds Are Forever pada 1971. Watak James Bond seterusnya diambil alih Roger Moore dalam Live And Let Die pada 1973.

Sepanjang kerjaya lakonannya, Sean memenangi pelbagai anugerah termasuk Oscar, dua anugerah Bafta dan tiga Golden Globes.

Sean memenangi Academy Awards atau Oscar sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi watak sebagai polis Ireland dalam filem The Untouchables.

Selain itu, Sean turut membintangi filem The Rock, Indiana Jones and the Last Crusade, The Hunt for Red October dan The League of Extraordinary Gentlemen.

Ogos lalu, Sean menyambut ulang tahun kelahira ke-90.