"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gadis Melayu kahwin pemuda Sikh, mana suara lebai Pas?

MALAYSIA DATELINE

Gadis Melayu kahwin pemuda Sikh, mana suara lebai Pas?

Susulan satu laporan berkenaan perkahwinan Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar dengan seorang gadis dari Malaysia Illi Najwa Saddique telah menimbulkan tanda tanya warga net tentang status agama gadis berkenaan.

Zaharin Mohd Yasin atau lebih dikenali sebagai Sang Kalembai melalui status Facebooknya turut mempersoalkan keabsahan agama gadis berkenaan yang berkahwin dengan pemuda Sikh.

Katanya, daripada sumber yang diberitahu gadis berkenaan adalah orang Melayu yang berasal dari negeri Johor dan didakwa murtad kerana sudah menukar agama.

“Perkhabaran yang diberi tahu kepada saya. Mempelai perempuan itu orang Melayu yang berkahwin dengan Pemuda Sikh yang juga Kepten Hoki India. Khabar sudah menukar agama.

“Jika begitu sudah murtad. Katanya asal dari Negeri Johor. Kita tunggu komen JAIJ-Jabatan Agama Islam Johor,” tulis beliau.

Dalam pada itu, beliau juga mencabar lebai Pas untuk memberi komen terhadap masalah ini kerana ia menyentuh soal kesucian Islam sepertimana Pas yang selalu bercakap tentang mempertahankan Islam.

“Tok Guru Haji Hadi Awang dan jajaran lebai-lebai Pas sila komen? Jangan berpolitik sahaja. Ini soal kesucian Islam saperti parti kamu meletakan mempertahankan Islam. Sebab mempelai perempuan seorang Islam dari Malaysia.

“Terserah kepada anda bagi penilaian. Apa kata Islam, jika seorang yang menurut atau mengikut sesuatu agama yang berlainan,” katanya yang terkenal sebagai penulis blog dan ‘cyber trooper’ Umno.

Manpreet dan Najwa sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu dan telah mengadakan majlis perkahwinan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Bagaimanapun, menurut laporan sebuah portal The Tribune yang merakamkan sedutan video perkahwinan pasangan itu yang mengadakan majis perkahwinan mengikut adat Punjab.

Dan satu lagi portal Outlookindia.com telah melaporkan perkahwinan pasangan terbabit dengan tajuk “India Hockey Captain Manpreet Singh Marries Illi Najwa Saddique, Niece Of Malaysian Minister”, portal ini mendakwa menteri berkenaan adalah Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Saddique

Daripada hasil carian MalaysiaDateline laporan berita berkenaan telah ditukar tajuk kepada “Indian Hockey Captain Manpreet Singh Weds Malaysian Partner With Pakistani Roots”.

MalaysiaDateline bagaimanapun sempat tangkap layar laporan asal berita tersebut sebelum ditukar.

Gadis berkenaan dilaporkan akan tinggal bersama keluarga lelaki dan beliau dikatakan sudah terbiasa dengan budaya Punjabi dan sudah menyukainya

Pihak keluarga lelaki telah memberi nama Punjabi Navpreet Kaur.

Pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19.

Difahamkan Illi Najwa, 27, berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi seterusnya meneruskan perjalanan ke kampung halaman Manpreet.

Sumber dalaman Persekutuan Hoki Antarabangsa mengesahkan bahawa Illi Najwa melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember untuk bersama kekasihnya.

“Ketika sekatan perjalanan antara India dan Malaysia kembali reda baru-baru ini, dia berjaya mendapatkan penerbangan ke New Delhi selepas mematuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan,” menurut sumber itu.

Ibu Najwa, Masita pernah bermain hoki mewakili Angkatan Tentera Malaysia.

Menjayakan agenda Pakatan Raya pembangkang

ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan (PH) kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan segala kekusutan yang melanda. Gesaan yang berulang kali disuarakan ini sepatutnya sudah disusuli dengan tindakan segera, jujur serta hati terbuka daripada semua pemimpin pembangkang.

Kegagalan sekali lagi pembangkang untuk menumpaskan Perikatan Nasional (PN) melalui undian belah bahagi bagi bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat pada 15 Disember lalu patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Pada waktu begini, sudah tiada manfaat untuk mana-mana pihak terus mengakui memiliki sokongan berdasarkan Akuan Bersumpah (SD) daripada mana-mana ahli Parlimen. Tutuplah buku dan mulakan agenda baharu menuju Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Sedarlah dengan sesungguhnya bahawa ahli-ahli Parlimen daripada Umno sebenarnya langsung tidak berminat untuk melihat mana-mana pemimpin PH muncul sebagai Perdana Menteri yang baharu. Naiflah kalau masih ada yang mempercayai segala janji dan sokongan daripada golongan tersebut.

Sebaliknya, apa yang ingin dibuat oleh Barisan Nasional (BN) pada waktu ini hanyalah merencatkan kestabilan dan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Itu sahaja. Tidak pernah pun mereka merancang menjatuhkan Muhyiddin atas faktor kepentingan nasional, bangsa dan agama.

Walaupun pelbagai ugutan atau lebih tepat rengek-rengek pemimpin Umno dihalakan kepada Muhyiddin, semua itu langsung tidak meninggalkan kesan langsung yang besar kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun yang mengugut dan mengancam PN itu adalah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, hingga kini Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.

Walaupun kritikan dibuat dalam Dewan Rakyat dan media sosial masing-masing tetapi individu yang sama menyokong Belanjawan 2021 kononnya atas nama kepentingan rakyat.

Walaupun Muhyiddin diingatkan betapa besarnya kepentingan sokongan Umno terhadap kelangsungan PN tetapi pada akhirnya, pemimpin Umno hanya tertunduk sahaja kepada Muhyiddin; bekas pemimpin Umno.

Jika semua serangan dan kritikan yang dilancarkan oleh Umno yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini pun tidak mampu langsung menggugat Muhyiddin dan PN, apalah yang boleh pembangkang harapkan lagi.

Begitulah Umno. Umno tetap Umno. Mereka tidak akan selesa melihat pihak selain daripada pihak mereka menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Justeru, pengajaran mudah ini perlu difahami sedalam-dalamnya oleh para pimpinan PH dan segera mengorak langkah politik baharu yang lebih meyakinkan.

Memang menjemukan untuk mengulangi ingatan yang sama. Tetapi PH juga tidak perlu mengulangi bahawa Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang lemah dan tiada sokongan kukuh.

Hakikatnya ketika Muhyiddin begitu lemah pun sehingga kini pembangkang juga masih belum berjaya menumbangkan pentadbirannya.

Maka wajarlah jika kali ini, strategi baharu diteroka untuk memastikan kelemahan Muhyiddin benar-benar dapat ditumpaskan. Gagasan Pakatan Raya (Grand Coalition) yang mula dicanang oleh segelintir pemimpin pembangkang harus segera diberi perhatian yang mendalam.

Cuma soalnya bagaimana pakatan pembangkang baharu perlu dibentuk dan lebih utama untuk didebatkan adalah siapa yang akan memimpin gerakan ini?

Semua maklum betapa sukarnya untuk menangani perbezaan pendapat dan konflik dalaman antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Benar kedua-duanya memiliki wibawa yang sukar diperkecilkan.

Tetapi wibawa besar inilah yang menyukarkan untuk kedua-duanya mengendurkan ego. Benarlah pepatah Cina yang menyebut ‘dua ekor harimau tidak boleh berada atas puncak bukit yang sama’.

Harimau sentiasa bersaing untuk menjadi pemimpin utama di rimba dan ego ini sukar dikendurkan demi memberi peluang kepada haiwan yang lain. Demikian juga manusia, pengaruh kuasa dan faktor jawatan memang sulit untuk sesiapa sahaja mengambil sikap beralah dan memberi jalan kepada orang lain.

Maka inilah cabaran besar dan berpanjangan dalam kalangan pembangkang untuk dileraikan. Kedua-dua kem pemimpin besar ini sentiasa bersaing untuk memastikan kemenangan boleh diperoleh walaupun hakikatnya musuh utama yang perlu ditumpaskan masih selesa menjadi pemerintah.

Jika kalangan pembangkang masih menginginkan agar dua pemimpin ini kembali berpadu dalam sebuah pakatan pembangkang yang lebih padu, jitu dan mantap, maka mungkin tugas penting sekarang adalah mencari tokoh luar yang dihormati oleh kedua-dua mereka untuk menjadi pendamai dan broker yang boleh merintis kepada jalan perpaduan sekaligus memastikan PN dan BN mampu ditumpaskan dalam pilihan raya umum akan datang.


Arif Juhani, bekas wartawan Harakah dan Suara Keadilan

Apa yang berlaku dalam Amanah?

Untuk makluman, saya telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional dan Pengerusi Biro Pertanian & Pembangunan Luar Bandar Amanah Nasional pada 30 okt 2020 yang lalu.

Pemakluman ini telah saya sampaikan kepada YB Tuan Hj Mohamad Sabu selaku Presiden parti pada tarikh yang sama.

Hari ini, jumaat 18 dis 2020, saya umumkan secara resmi bagi mengelak prasangka dan tanda tanya khususnya menjelang Konvensyen Amanah Nasional yang dijadualkan pada 26-27 dis ini di Melaka.

Saya mula terlibat dalam politik sejak tahun 1986. Terlibat dengan PAS dan kini Parti Amanah Negara di era pemerintan BN, PH dan PN. Suka duka, susah senang dan mehnah dalam perjuangan selama 34 tahun; banyak pengalaman yang dirasai dan pengajaran berguna sebagai muhasabah diri.

Saya berhasrat untuk memberi tumpuan penuh kepada beberapa Ngo yang saya dan rakan rakan tubuhkan. Antaranya Majlis Permuafakatan Ngo Felda(MPNF), Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor dan Ngo Malaysia Baru.

Selaku anak peneroka Felda yang dibesarkan dalam persekitaran Felda yang penuh warna warni, saya menerima banyak pendedahan dan berinteraksi dengan banyak pihak. Ia menguji prinsip dan intergriti kita; antara kepentingan peribadi atau peneroka felda yang kerap kali menjadi mangsa ketidak adilan.

Selama setahun empat bulan sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, saya terhutang budi khususnya kepada YB Datuk Seri Salahudin Ayub yang memilih saya menggalas amanah di agensi terbesar dalam Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani(MOA) dan menimba banyak pengalaman meskipun dalam tempoh yang singkat. Ia mendorong saya menubuhkan Ngo Pertubuhan Gerak Tani sebagai kesinambungan membina networking para usahawan tani di seluruh negara. Saya mensasarkan 2 tahun bagi Ngo ini memaksimumkan usaha membantu para usahawan tani hingga ke peringkat eksport/antarabangsa.

Sebagai ahli politik yang telah bergelumang dari bawah; polemik dan pertembungan dalaman parti dan berdepan lawan politik yang berbagai sifatnya; kematangan dalam melihat masa hadapan negara adalah amat penting.

Sudah sampai masanya politik baharu@konsolidasi yang merentasi politik kepartian dapat dijayakan.

Meskipun kita berbeza pandangan dan idealogi politik dari sistem demokrasi berparlimen,keutamaannya adalah keselesaan@kebahagiaan hidup rakyat. Political will melalui kemahuan yang kuat untuk mengubah nasib rakyat mesti diserlahkan. Bukan hanya retorik dan saling berebut kuasa yang tiada kesudahannya.

Inilah Malaysia Baru yang saya yakin diimpikan dan menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia .

Melalui Ngo, konsep semak dan imbang dapat diamalkan secara lebih terbuka. Ia menjadi kuasa ke tiga yang sentiasa memberi input kepada dasar dasar kerajaan dan saling bekerjasama dengan berbagai pihak.

Terima kasih atas kepercayaan parti selama ini dan mohon maaf atas kesilapan dan kelemahan sepanjang memegang jawatan.

Datuk Mazlan Aliman

18 dis 2020