"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Betul tapi jangan cakap saja

A KADIR JASIN

Betul sangat-sangat slogan Belanjawan 2022 Tengku Zafrul Abdul Aziz iaitu “Dari Rakyat Untuk Rakyat”.

Kerajaan kutip cukai daripada rakyat. Tapi tak cukup. Kerajaan jangka kutip RM234 bilion tapi belanja RM332.1 bilion. Tak cukup dengan sebanyak RM98.1 bilion.

Jadi kerajaan kena berhutang daripada rakyat dengan menjual Bon Perbendaharaan kepada KWSP, PNB, KWAP dan bank-bank yang semuanya duit rakyat.

Nak bayar balik hutang yang kerajaan ambil daripada simpanan rakyat, kerajaan kutip lagi cukai daripada rakyat.

Betullah kata Ketua Audit Negara, kerajaan korek lubang untuk tutup lubang. Maksudnya berhutang untuk bayar hutang.

Tugas kerajaan yang kita pilih setiap empat atau lima tahun sekali dan kita bayar gaji tidaklah susah sangat. Cuma kerajaan yang ada sejak Mac 2020 bukanlah kerajaan yang kita pilih.

Tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah memudahkan perniagaan (kegiatan ekonomi) dan membantu golongan yang tidak berdaya dengan cukai yang dikutip.

Natijahnya bukan Belanjawan saja daripada rakyat. Kerajaan pun sepatutnya daripada rakyat juga. Cuma buat masa ini, kerajaan bukan daripada rakyat. Ia adalah kerajaan daripada SD.

Akhir kata, Belanjawan sahaja tidak bermakna kalau prestasinya (budget performance) tidak cemerlang. Sejak akhir-akhir ini tidak banyak dibentang dan dibahaskan mengenai prestasi Belanjawan.

Pasal itulah rasuah, pecah amanah dan penyelewengan mudah berlaku seperti yang kita dengar duit berbilion ringgit dibayar tapi kapal perang tak siap. 

Undi BN + Pas dalam PRU lalu tidak semesti sama dalam PRN Melaka

MALAYSIA DATELINE

Penganalisis politik dari UTM, Dr Mazlan Ali berkata, pengiraan matematik mudah dengan mencampurkan undi BN dan Pas dalam pilihan raya lalu menentukan mereka boleh menang dalam PRN Melaka tidak semudah itu.

Bagi beliau, banyak faktor pembolehubah yang lain perlu dimabil kira dalam PRN Melaka kali ini.

“Banyak penganalisis membuat pengiraan matematik mudah dengan mencampurkan undi BN dan PAS, dan menyimpulkan kemenangan mutlak.

“Tetapi saya tidak fikir semudah itu, kerana faktor-faktor pembolehubah banyak menentukan pilihan pengundi termasuk penerimaan akar umbi Pas terhadap kolisi baru, prestasi Pas dalam kerajaan.

“Faktor populariti Adly sewaktu memimpin kerajaan 22 bulan, urbanisasi, keterbukaan minda penduduk Melaka, pertambahan pengundi baru@muda dan lain-lain mungkin menatijahkan hasil yang berbeza kelak,” kata Dr Mazlan.

Dr Mazlan mengulas pengiraan matematik yang mencampur undi BN dan Pas dalam pilihan raya umum lalu bagi membolehkan BN atau Pas boleh menang jika mereka bekerjasama dalam pilihan raya kali ini.

Umno telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas di PRN Melaka tetapi menolak untuk kerjasama dengan Bersatu.

AMANAH sahkan bertanding di sembilan DUN PRN12 Sarawak

RAYMOMD LUI

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak mengesahkan akan meletakkan sembilan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dalam masa terdekat ini.

Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili berkata, sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi itu ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

Katanya, kerusi tersebut merupakan kawasan yang pernah ditandingi pada PRN11 pada 2016 yang mana ia adalah kali pertama AMANAH meletakkan calon di negeri ini.

“In shaa Allah.. hari ini saya mengesahkan bahawa untuk PRN12 Sarawak nanti, kita akan menurunkan sembilan calon yang berpotensi di kerusi DUN yang pernah ditandingi pada PRN11 lalu.

“Untuk itu, senarai calon hanya diumumkan sebaik DUN dibubarkan kelak sekali gus menolak desas-desus yang menyatakan bahawa AMANAH Sarawak hanya bertanding di empat kerusi sahaja,” tegas beliau.

Abang Abdul Halil berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen AMANAH Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.

Menurut beliau lagi, sebenarnya gerak kerja dan jentera di setiap kawasan sudah diaktifkan sebelum ini tetapi lebih tertumpu kepada program kebajikan dan kemasyarakatan.

Justeru, ujarnya AMANAH Sarawak akan lebih agresif mengatur gerak kerja sebaik DUN dibubarkan yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Saya berharap semua Ahli Jawatankuasa Negeri, Kawasan dan Cawangan dapat bekerjasama dalam melaksanakan gerak kerja apabila turun membantu calon-calon yang akan diturunkan kelak.

” Malah, bersama – sama kita berdoa agar calon-calon yang diletakkan nanti berupaya memberi kemenangan kepada AMANAH Sarawak sekali gus bekerja demi untuk rakyat di negeri nanti,” tambahnya.

Turut hadir pada Konvensyen Sarawak Ke-6 ialah Timbalan Pengerusi Hud Andri Zulkarnaen, Setiausaha Fadillah Sabali, Naib Pengerusi 2 Maxwell Rojis serta perwakilan dan pemerhati.

Konvensyen AMANAH Sarawak hari ini telah dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Haji Hasanuddin Mohd Yunus secara maya.