"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi sendiri yang minta AJK Pas Pusat pecat Khairudin

MALAYSIA DATELINE

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri yang membuat cadangan agar Datuk Dr Khairudin Aman Razali dipecat dari AJK Pas Pusat, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Oleh itu, katanya, Majlis Syura tidak ada kaitan dengannya dan Khairudin kekal sebagai anggota Majlis Syura, kata beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Syura kepada Malaysiakini.

Beliau sendiri, katanya, tidak boleh memberitahu apa alasan pemecatan bekas menteri itu.

“Itu saya tak boleh nak bagi jawapan (alasan pemecatan) sebab pihak presiden yang membawa kepada jawatankuasa pusat untuk memecatnya.

“Jadi, dia tak ada kena mengena dengan Majlis Syura.

“Jadi, oleh kerana penjelasan dibuat oleh presiden bahawa (ia melibatkan) disiplin parti maka presiden punya hujah dia dan dia sendiri pun tidak menjelaskan. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi,” katanya kepada Malaysiakini.

GAGAL BERTEMU HADI

Sementara itu, menurut sumber, Hadi tidak berpuashati dengan Khairudin kerana banyak kali gagal memenuhi permintaan beliau untuk bertemu dengannya.

“Khairudin ni kurang disiplin dan selalu tidak datang mesyuarat. Begitu juga dengan dua lagi rakannya itu.

“Sudah beberapa kali presiden panggil untuk bincang namun dia tidak datang walaupun berjanji untuk datang.

“Jadi dia putuskan, kita memudahkan kedua-dua pihak, dah dia tak nak datang, kita putus tidak payah datang sampai bila-bilalah,” kata sumber itu sebagaimana cerita yang kini disebarkan di kalangan pemimpin Pas.

PAS BERPECAH LAGI

Khairudin, Nasrudin dan Nik Abduh.

Pas kini berpecah sekali lagi antara dua kumpulan, geng ustaz muda dengan golongan profesional yang berada di keliling presiden Pas.

Geng ustaz muda inilah dahulu yang banyak mempengaruhi presiden Pas menyebabkan Pas berpecah dua sehingga terbentuknya AMANAH.

Antara tokoh utama kumpulan ini adalah Nasruddin Hassan Tantawi, Yang Dipertua Yadim sekarang selain Khairudin.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda dan juga bekas Ketua Penerangan Pas ini mengakui dia dan rakan-rakannya yang mempertahankan Abdul Hadi ketika bertembung dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu kerajaan perpaduan sehingga memecahkan parti itu dan terbentuknya AMANAH.

Kini golongan ini semakin jauh dari ‘sumber kuasa’ dalam Pas dan diambil alih oleh golongan profesional baharu pula.

Sekarang kumpulan ‘ustaz muda’ ini mendakwa Abdul Hadi digunakan oleh golongan profesional di sekeliling beliau untuk menyingkirkan mereka.

PERANAN NIK ABDUH

Selain Nasrudin dan Khairudin, turut berada dalam kumpulan ustaz muda ini adalah Nik Mohamad Abduh Nik Mat, Ahli Parlimen Bachok yang mempertikaikan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini.

Menurut FMT, Nik Abduh berkata, Takiyuddin pernah dinasihati supaya “membuang ego” oleh bapanya tetapi beliau tidak tahu sama ada beliau mematuhi nasihat berkenaan.

“Saya kenal dia (Takiyuddin) sejak zaman Almarhum ayah saya lagi (Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan kami amat rapat. Dia kena belajar buang ego diri bila jadi orang besar.

“Itu nasihat ayah saya pada dia. Tak tahulah kalau dia tak tahu nasihat ayah ini,” kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu kepada FMT.

Nik Abduh berkata, beliau meminta penjelasan pimpinan parti mengenai pengguguran Khairuddin Aman Razali sebagai AJK Pas Pusat sebelum ini kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Takiyuddin.

“Saya hanya tulis (di Facebook) selepas empat atau lima hari (selepas pengguguran Khairuddin) dan hanya selepas Datuk Seri SU Agung (Takiyuddin seolah) cabar Khairuddin secara terbuka dalam akhbar.

“Kawan kita dalam luka musibah, kita tambah lagi garam untuk tambahkan lagi musibah. Mana adab jamaah dan adab berkawan? Jangan ajar saya bab adab kalau kita lebih tak beradab.

“Kewajiban saya pertahan sahabat dalam susah. Itu sunah yang diajar oleh Nabi kita,” tambah Ahli Parlime

Mengapa tiba-tiba ada pilihan raya di Johor

LIEW CHIN TONG

Sebaik sahaja pilihan raya negeri Melaka selesai, saya dapat merasakan Umno akan mencari jalan untuk mengadakan satu lagi PRN dalam masa terdekat, iaitu di Johor.

Dalam tulisan saya dalam Bahasa Inggeris pada 22 November 2021, saya mencatatkan:

“Berdasarkan keputusan PRN Melaka, kemungkinan besar Umno dan Bersatu tidak akan kembali bersama. Trio pimpinan Umno mahu PRU diadakan segera, seperti yang dinyatakan oleh Mohamad Hassan. Mereka akan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin pada suku pertama 2022. Ismail pula tentunya tidak mahu membubar Parlimen begitu awal kerana beliau baru sahaja menjadi perdana menteri.

“Walaupun menjadi rakan separti, Ismail bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, dan beberapa pemimpin Umno, dilihat tidak sehaluan dengan trio Umno yang mengawal teras parti.

“Sekiranya trio pimpinan Umno tidak berjaya mendesak pelaksanaan pilihan raya di peringkat persekutuan, adakah mereka akan cuba mendesak negeri-negeri yang ditadbir Umno seperti Johor dan Perak untuk mengadakan pilihan raya negeri?”

Secara asasnya, terdapat dua kem di dalam Umno, kluster mahkamah lawan kluster menteri, istilah yang popular antara pemimpin dan ahli parti.

Kumpulan yang dikaitkan dengan Najib dan Zahid, kedua-dua pemimpin ini menghadapi tuduhan rasuah dan dengan itu digelar ‘kluster mahkamah’, telah menyusun strategi sejak Mei 2018 untuk menjadikan Umno dominan semula agar kedua-dua mereka boleh bebas daripada dikenakan hukuman.

Di Johor, trio Najib-Zahid-Mohamad Hassan dibantu oleh Naib Presiden Umno yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin, dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam pengkhianatan Langkah Sheraton, Umno telah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui konspirasi bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kumpulan Datuk Seri Azmin Ali daripada Parti Keadilan Rakyat.

Selepas mendapat kuasa, kumpulan pemimpin teras Umno yang dikaitkan dengan kluster mahkamah, telah menggerakkan pula propaganda berita palsu serta mensabotaj kerajaan Muhyiddin sehingga beliau jatuh sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

Mereka tidak berhenti di situ sahaja. Keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes Najib pada 8 Disember 2021 akan mempercepatkan lagi usaha trio ini mendesak pilihan raya umum (PRU) mengejut diadakan, dan Johor dijadikan medan untuk mereka bermula.

Kluster menteri pula mempunyai strategi yang berbeza untuk Umno. Mereka mahu Umno bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, sekaligus bersetuju untuk mempunyai jumlah kerusi lebih kecil berbanding era dominan Umno dahulu.

Bagi kluster menteri, mereka tahu risiko Umno jika bertanding sendirian. Dengan itu, mereka menerima hakikat bahawa bekerjasama dengan Bersatu dan Pas akan menguntungkan semua pihak.

Memang berlaku perpecahan dalam Umno. Sebulan sebelum Muhyiddin tumbang iaitu pada Julai 2021, 15 daripada 39 orang Ahli Parlimen Umno telah bersetuju dengan trio/kluster mahkamah untuk menyokong strategi bertanding sendirian.

Mereka menarik diri daripada menyokong Muhyiddin, dan ini mencetuskan kejatuhan kerajaan, seterusnya membolehkan Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri.

Daripada 191 bahagian Umno, trio Umno mempunyai sokongan lebih sedikit daripada satu pertiga. Namun begitu, ia menguasai jawatan penting dalam Majlis Tertinggi Umno, khususnya Presiden, yang mempunyai kuasa besar untuk menentukan calon pilihan raya.

Ini bermakna, trio perlu mendesak PRU diadakan sebelum pemilihan Umno. Hanya dengan keadaan seperti ini, mereka dapat menentukan semua calon untuk diisi, justeru menggantikan calon-calon kluster menteri dengan ahli kumpulan mereka.

PRN Johor tidak ada kena-mengena dengan keperluan rakyat. Ia adalah kesan perebutan kuasa dalam Umno. Pilihan raya mengejut ini tidak mendatangkan apa-apa faedah untuk rakyat.

Secara mudahnya, pilihan raya mengejut di Johor hanyalah ledakan pertama untuk membuka jalan bagi mengadakan PRU dengan segera, dan ia hanyalah strategi buat Najib dan Zahid yang mahu lepas daripada hukuman penjara. Negara berada di persimpangan tatkala kita sedang menuju ke arah bencana politik ini.

Penyingkiran Khairuddin sebagai AJK PAS tiada kaitan Majlis Syura

Haspaizi Zain

Pemecatan Khairudin Aman Razali selaku ahli jawatankuasa (AJK) PAS pusat tiada kaitan dengan Majlis Syura Ulama, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Bagaimanapun katanya, ahli parlimen Kuala Nerus masih kekal sebagai ahli Majlis Syura dan pemecatannya juga tiada kaitan dengan Muafakat Nasional (MN).

"Itu saya tak boleh nak bagi jawapan (alasan pemecatan) sebab pihak presiden yang membawa kepada jawatankuasa pusat untuk memecatnya.

"Jadi, dia tak ada kena mengena dengan Majlis Syura.

"Jadi, oleh kerana penjelasan dibuat oleh presiden bahawa (ia melibatkan) disiplin parti maka presiden punya hujah dia dan dia sendiri pun tidak menjelaskan. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata sebahagian besar daripada akar umbi parti itu berpuas hati isu dengan pengguguran Khairuddin sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

"Saya mendapat maklumat daripada akar umbi (bahawa) 99.9 peratus berpuas hati (setuju dengan pengguguran itu)," katanya yang dipetik portal Berita Harian selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di Marang.

Hadi juga dilaporkan berkata pengguguran Mohd Khairuddin berkaitan masalah disiplin dan tidak perlu diperjelaskan kepada umum apabila ditanya jika ia berkaitan dengan MN.

“(Apa yang berlaku), itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja,” katanya sambil menambah tindakan diambil itu hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.

Dalam pada itu, Hashim berkata presiden parti berhak untuk tidak memberi penjelasan mengenai pemecatan bekas menteri itu daripada jawatankuasa PAS pusat.

"Itu (pemecatan) tidak ada kena mengena dengan MN atau benda-benda lain.

"Tak perlu (jelaskan). Dia perlu hurai kepada jawatankuasa. Khairuddin juga dimaklumkan atas alasan apa dia dipecat," katanya.