"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Resolusi PAS, Bersatu adalah talkin buat Muafakat Nasional'

Shakira Buang

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, hari ini mengucapkan syukur selepas membaca resolusi yang dikeluarkan Bersatu serta PAS hasil muzakarah kedua-dua parti pada semalam dan hari ini.

Malah kata Nur Jazlan, berdasarkan kepada apa yang terkandung dalam resolusi berkenaan, bolehlah dikatakan ia menjadi penamat kepada kewujdan Muafakat Nasional.

"Alhamdulillah, talkin buat MN," katanya kepada Malaysiakini petang tadi.

Terdahulu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin membacakan tujuh resolusi yang dicapai dalam pemukiman pemimpin tertinggi PAS dan Umno di Shah Alam.

Antara lain PAS serta Bersatu mengulang ingat akan persetujuan mereka memberi sokongan kepada Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri adalah bersyarat.

Resolusi itu juga secara rasmi menyatakan PAS - yang sebelum ini menyertai Umno dalam Muafakat Nasional (MN) - akan sekali lagi bertanding bersama Bersatu menggunakan panji-panji PN.

Untuk rekod PAS serta Bersatu sebelum ini secara terbuka menyatakan rasa tidak setuju mereka dengan langkah Umno membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) di Johor.

Kata Nur Jazlan, MN dikuburkan sendiri oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, apabila ahli parlimen Marang itu memilih untuk bersama PN menghadapi pilihan raya, dan pada masa sama mengugut untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan.

Pun begitu, menurut bekas ahli parlimen Pulai itu lagi, Umno bersedia jika PN menarik balik sokongan mereka kepada Ismail Sabri kerana langkah itu hanya akan membuka jalan kepada pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Dia juga mendakwa tindakan beberapa wakil rakyat Bersatu meninggalkan parti itu sejak akhir-akhir ini sebagai tanda kekecewaan mereka kepada Muhyiddin.

Di pihak PAS pula, kata Nur Jazlan, sedang berlaku pertentangan dalaman ke atas pemimpin parti itu yang didakwanya berpunca daripada rasa tidak puas hati mereka terhadap Abdul Hadi dan penyokongnya.

"Umno dan BN terpaksa bergerak sendiri sekarang dan pada masa sama menunggu untuk Bersatu dan PAS menarik sokongan daripada kerajaan pusat.

"Dengan cara itu rakyat boleh memilih parti yang mampu memimpin negara dan mereka bukanlah Bersatu dan PAS yang suka dengan perangai 'mutaah politik' apabila gemar bernikah dan bercerai mengikut kepuasan pemimpin sambil meninggalkan kesan buruk kepada pasangan yang tertipu," katanya.

‘Tanpa Umno, Pas tak akan jadi sebahagian dari kerajaan’ – Tok Mat bidas Hadi

SURI LAILA

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengingatkan Pas bahawa tanpa Umno, Pas tidak mungkin akan berada di dalam kerajaan seperti hari ini.

Beliau berkata, Umno juga bangkit semula bukan kerana ‘ubat mujarab’ Pas, tetapi kerana sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

“Pas tahu, tanpa Umno dia tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam kerajaan persekutuan selepas PRU nanti.

“Jika Pas merasakan BN itu tidak lagi relevan, kita pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya. Dan biarlah rakyat juga memutuskan sama ada Pas dan PN itu relevan lagikah atau tidak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah disembuhkan mereka.

Beliau turut menyifatkan tindakan Umno meninggalkan mereka ketika sudah ‘sembuh’ sebagai tidak bermoral dan menganggap BN tidak lagi relevan.

Sementara itu, Mohamad Hasan yang turut dikenali sebagai Tok Mat berkata, beliau tidak kisah jika ada mana-mana pihak yang menggelar Umno dengan pelbagai gelaran seperti itik, angsa, harimau dan sebagainya.

Ini kerana katanya, Umno masih lagi parti Melayu terbesar malah parti politik terbesar di Malaysia.

Akhirnya Haji Hadi mengakui PAS lah yang memberi tongkat kepada Umno

Malaysiakini

‘Itik kaki patah ini, bila sembuh nak berenang sendiri’

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata anggota parlimen Marang.

Dia berkata demikian kepada pemberita. Video itu dimuat naik ke media sosialnya sebentar tadi.

Hadi berkata demikian ketika menegaskan pendirian untuk meneruskan kedua-dua gabungan MN dan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu.

Hadi berkata MN sepatutnya dianggotai sama oleh Bersatu dan parti-parti bukan Melayu.

Katanya, perkara itu sudah pun dipersetujui sebelum ini bagi menggantikan BN yang menurutnya tidak lagi relevan.

“Kalau PAS dan Umno sahaja, perpaduan Melayu sahajalah. Mana kaum lain? Mana orang lain?” soalnya.