"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini, sertai PBM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin, dijangka keluar Bersatu pada April ini dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum PRU15, sumber memberitahu FMT.

Menurut sumber, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkongsi rancangannya itu dengan pimpinan PBM baru-baru ini.

Tindakan Zuraida keluar parti April depan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan rang undang-undang antilompat parti ketika itu.

“Antara sebab lain mengapa bulan empat (ialah) kerana Zuraida mahu keluar Bersatu sebelum akta antilompat parti diluluskan,” kata sumber itu.

Pagi tadi, FMT mengesahkan Zuraida dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dianggotai Presiden parti itu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, pimpinan Bersatu juga dilaporkan menyiasat dakwaan bahawa Zuraida dikaitkan dengan PBM.

Beberapa penyokong dan “orang kuat” Zuraida dilaporkan sudah menyertai PBM, namun parti itu menegaskan Zuraida tidak memohon menjadi ahli.

NGO Penggerak Komuniti Negara, yang pernah dikaitkan dengan Zuraida, dalam kenyataan Disember lepas mendakwa ramai ahlinya telah menyertai PBM.

Pengerusi NGO itu, Nor Hizwan Ahmad berkata, mereka memilih PBM bagi menjayakan agenda “The Great Reset 2030”.

PBM diketuai bekas Ahli Parlimen PKR, Larry Sng, selaku Presiden dan Timbalannya, Haniza Talha, yang juga bekas ahli PKR.

FMT sedang mendapatkan reaksi Zuraida.

Pas sudah hilang landasan perjuangan dilalui Ustaz Yusof Rawa, Fadzil Noor

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Pas perlu kembali ke landasan perjuangannya yang asal iaitu melawan korupsi dan salah guna kuasa. Itulah landasan yang dilalui oleh Ustaz Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Bahkan, semasa hayat Ustaz Fadzil Noor, Pas begitu gigih mendukung perjuangan itu sampai sanggup bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR). Ustaz Abdul Hadi sendiri membela DAP habis-habisan ketika itu.

Umno tahu, jika PR bertambah kukuh, kedudukan BN pasti terancam. Akhirnya, dengan senjata wang yang diadun bersama sentimen Melayu, Pas dihasut meninggalkan PR.

Umno berjaya. Sentimen agama dan bangsa melulu ditiup di sana-sini. Pas menyambutnya meskipun suatu ketika parti itu begitu gigih melawan fikrah perkauman Melayu sempit.

Kini, Pas sudah tidak punya landasan perjuangan lagi. Mahu berjuang Melayu bersama Umno, parti itulah pelingkup Melayu. Mahu berjuang Islam, di mana Islamnya jika bersekongkol dengan PPBM yang khianat.

Air mata penyatuan ummah hanya tinggal kenangan. Umno sudah tidak sudi dengan Pas. Hanya PPBM yang mahukan Pas, tapi imej parti itu juga semakin kabur dalam radar politik.

Jika Pas jujur, berpatah baliklah ke landasan yg asal. Jika Pas tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana ada DAP, itu tidak menjadi hal. Sebab, kerusi DAP dan Pas berbeza. Sampai kiamat, Pas tidak akan lawan DAP di kerusinya.

Justeru, tidak berlaku pertembungan Pas – DAP dalam pilihan raya. Pas cuma perlu berunding dengan AMANAH dan PKR sahaja dalam konteks pembahagian kerusi pilihan raya di Semenanjung.

Jika Muda, Pejuang dan parti pembangkang lain bersama PH, maka Pas perlu menerima hakikat semua parti politik itu adalah rakan dalam perjuangan melawan korupsi dan salah guna kuasa. Tolak ansur politik adalah wajib.

Situasi kini adalah situasi terbaik untuk Pas menentukan sikap politiknya. Sama ada ingin terus berlutut dan merayu-rayu kepada Umno, atau meninggalkan Umno dan kembali ke landasan perjuangan asal.

PPBM macam mana? Biarkan masa menentukan nasibnya jadi sabut atau batu. Ada pun Pas, belum terlambat untuk membetulkan balik kompas perjuangannya demi negara dan umat.

Jika Pas tak sudi, terpulang…!

Jika Umno kembali berkuasa, bukan kestabilan tetapi malapetaka!

MALAYSIA DATELINE

Penganalisis yakin jika Umno kembali berkuasa di negara ini, ia akan membawa malapetaka besar kepada negara bukannya kestabilan dan kemajuan.

Kim Quek ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Khalid Nordin yang mengajak perkongsian kuasa dengan orang bukan Melayu berkata, ia hanya ucapan manis pra-pilihan raya sahaja.

“Saya boleh memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa kembalinya kleptokrat Umno bukannya akan membawa kestabilan dan kemajuan, tetapi akan membawa malapetaka lagi kepada negara,” kata beliau.

Katanya, Umno telah sinonim dengan kleptokrasi dan perkauman, sebagaimana yang ditekankan oleh parti itu melalui doktrin ketuanan kaum iaitu Ketuanan Melayu.

Bagi beliau, Umno tidak pernah bertaubat selepas kekalahan pahitnya dalam PRU14.

Ia ditunjukkan melalui penafian berterusan mereka terhadap sebarang kesalahan dalam skandal besar negara iaitu 1MDB.

Ia juga ditunjukkan melalui pergolakan tidak henti-henti yang dibuat oleh Umno dan kuncu-kuncu mereka untuk membangkitkan ketaksuban perkauman semasa pemerintahan singkat Pakatan Harapan.

Dua pemimpin utama Umno sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak sedang berhadapan dengan kes rasuah terbesar negara terutama skandal 1MDB.

Pada pilihn raya umum ke 14 lalu, rakyat negara ini telah menolak mereka menerusi pilihan raya, namun Umno kembali berkuasa melalui permainan politik dan putar belit kuasa.

Semalam, Khaled Nordin berkata, usaha meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting bagi BN.

“Kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif,” katanya.

“Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok,” katanya dalam satu kenyataan semalam.