"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah nyawa seseorang yang tidak memiliki dokumen sah tak penting kepada imigresen Sabah

Lepas adik mati dalam tahanan, keluarga rayu bebaskan abang

Hariz Mohd

Pada 3 Ogos lalu, Mohd Raman Albat, 18, menghembuskan nafas terakhirnya di hospital Tawau di Sabah.

Remaja itu, yang ditahan di pusat tahanan imigresen, dikatakan mengadu sakit dada selama beberapa hari tetapi hanya dibawa ke hospital sehari sebelum dia meninggal dunia.

Kini, keluarga dan aktivis hak asasi manusia telah melancarkan kempen untuk membebaskan abangnya, Mohd Hassan, 19, kerana bimbang dia juga akan mengalami nasib yang sama.

Menurut aktivis Jefry Musa, adik-beradik itu ditahan pada 2020 kerana tidak memiliki dokumen yang sah walaupun bapa mereka warga Malaysia.

Status pasangan adik beradik itu menjadi isu kerana ibu mereka tidak mempunyai kerakyatan, oleh itu, perkahwinan ibu bapa mereka tidak didaftarkan secara sah.

"Sekarang ini, keutamaan keluarga adalah untuk memperjuangkan kebebasan Hassan. Dia bukan warga Filipina seperti yang didakwa pihak berkuasa. Dia tidak mempunyai saudara mara di Filipina.

“Setakat ini, sejak kematian abangnya, mereka sekeluarga tidak dapat menghubungi Hassan, jadi kami tidak tahu keadaannya.

"Kami mahu mendapatkan keadilan untuk Raman juga. Tetapi sekarang, kempen kami tertumpu untuk menyelamatkan Hassan, dan selepas ini selesai, kami akan bergerak untuk memperjuangkan keadilan untuk Raman," katanya kepada Malaysiakini.

Jefry juga seorang guru dan pernah mengajar adik-beradik lelaki di Iskul Sama Di Laut Omadal, sebuah sekolah berasaskan komuniti yang menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak dapat bersekolah di sekolah awam kerana status tanpa kerakyatan.

Aktivis itu berkata kira-kira seminggu sebelum kematian mangsa, Hassan telah menghubungi bapa saudaranya dan memberitahu Raman mengadu sakit dada.

Menurutnya, keluarga itu dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Raman dibawa untuk rawatan pada 2 Ogos lalu.

Bedah siasat telah dijalankan tetapi keputusan belum dikeluarkan. Jenazah mangsa telah dikebumikan pada Jumaat lalu.

Jefry mendakwa bahawa apabila bapa saudara mangsa datang untuk mengambil jenazah Raman, dia "ditipu" untuk menandatangani dokumen yang membebaskan Jabatan Imigresen daripada sebarang tanggungjawab dan tiada tindakan undang-undang boleh dimulakan.

"Pakcik itu menyangka ia hanya satu dokumen yang perlu ditandatanganinya untuk menuntut jenazah anak saudaranya. Dia tidak faham maksud sebenarnya. Pada dasarnya, dia telah terpedaya.

“Jadi kami sedang menimbang pilihan undang-undang dan mendapatkan nasihat daripada beberapa peguam, yang telah bersetuju untuk membantu dalam kes ini,” tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi komunikasi korporat Jabatan Imigresen untuk mendapatkan ulasan.

Lelaki warga asing diburu disyaki rogol remaja 14 tahun

Bernama

Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di rumah keluarga angkatnya di Kluang, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 30-an yang juga bapa angkat mangsa, dipercayai masih berada di dalam negara.

"Warga asing tersebut dipercayai telah melarikan diri. Dia berkahwin dengan ibu angkat remaja itu tetapi tidak berdaftar. 

"Berdasarkan laporan doktor, memang ada kejadian lama (rogol). Memang ada berlaku yang baharu tetapi kesan itu kesan lama," katanya pada sidang media selepas Pertandingan Menembak Polis Johor bersama Media sempena Peringatan Hari Polis di Lapang Sasar Menembak Ladang REM di Kota Tinggi hari ini.

Difahamkan kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira 3 pagi, 31 Julai lepas dan laporan polis dibuat oleh mangsa bersama gurunya.

Berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang disyaki didera di sebuah pusat terapi di Skudai, Julai lepas, Kamarul Zaman berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sudah ambil semua keterangan individu yang terlibat termasuk orang yang kita syaki dan pihak institut pengajian tinggi (IPT).

Pada 29 Julai lepas, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid dilaporkan berkata polis sedang menyiasat kes seorang ibu yang mendakwa anak lelakinya yang menghidap autisme didera guru di sebuah pusat terapi di Skudai, seperti tular menerusi media sosial.

Menerusi satu hantaran seorang pemilik akaun Facebook ‘Cik Puan Zetty’ berhubung kes berkenaan, wanita tersebut mendakwa anaknya dimasukkan ke pusat terapi di sebuah IPT di Skudai sejak November 2019 dan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 7 Julai lepas.

Wanita itu mendakwa anaknya yang berusia enam tahun telah didera oleh guru terapi sehingga mengalami kesan lebam di bahu kiri yang berbentuk jari selain kesan cubitan di dada.

PANAS!!! RAFIZI – DCNS sudah diberi surat niat sebelum pun BNS dapat kontrak Projek Kapal Perang LCS

Sebahagian besar dari masalah-masalah yang menyebabkan penyelewengan dan kelewatan projek kapal perang LCS berpunca dari dua keputusan utama:

1. Penukaran reka bentuk kapal dari kelas Sigma yang dipilih oleh TLDM kepada kelas Gowind (yang ditolak TLDM tetapi diluluskan Menteri Pertahanan)

2. Pelantikan kontraktor dan perincian kontrak berat sebelah yang merugikan negara dan TLD.

Isu penukaran reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind menjadi tumpuan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

Prosiding PAC menunjukkan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang) pada mulanya bersetuju (pada 26 Mei 2011) dengan pilihan TLDM untuk menggunakan reka bentuk Sigma.

Akan tetapi, dua bulan kemudian iaitu pada 11 Julai 2011, Menteri Pertahanan menukar keputusan itu dan bersetuju dengan cadangan BNS (kontraktor utama kapal perang LCS) untuk menggunakan reka bentuk Gowind.

Apa pentingnya pertukaran reka bentuk dari jenis Sigma kepada Gowind ini?

TLDM memilih Sigma demi keperluan dan kehendak pertahanan negara kerana kelas Sigma dinilai sebagai lebih baik dan lebih moden berbanding kelas Gowind. Apabila Zahid Hamidi menukar reka bentuk kepada kelas Gowind, ini bermakna keupayaan pertahanan laut tidak akan menepati kehendak dan perancangan TLDM.

Lebih penting lagi, reka bentuk Sigma dan Gowind melibatkan sub-kontraktor yang berbeza. Reka bentuk Sigma, jika dipilih, melibatkan kepakaran pembinaan kapal dari Belanda berbanding reka bentuk Gowind yang melibatkan kepakaran dari Perancis.

Dari sinilah kita dapat menyelami punca sebenar berlakunya skandal ini.

Ada pihak berkepentingan yang mahukan sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina kapal LCS ini, walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma.

Sub-kontraktor dari Perancis ini bukan asing lagi dalam skandal pembinaan kapal di Malaysia. Akhirnya, sub-kontraktor yang dilantik adalah DCNS, iaitu kontraktor yang sama terlibat dalam pembinaan dan perbekalan kapal selam Scorpene.

Lebih teruk lagi, dokumen-dokumen dalaman BNS yang dibocorkan kepada saya turut mengandungi dokumen berikut:

1. Sebutharga dari DCNS bernombor 10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010

2. Sebutharga dari DCNS bernombor 11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011

3. Surat Niat (“Letter of Intent”) dari DCNS bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011

Tarikh-tarikh sebutharga dari DCNS (sebagai sub-kontraktor) kepada BNS (sebagai kontraktor utama Kerajaan Malaysia) adalah sangat penting apabila kita membandingkan garis masa skandal ini.

Surat Lantikan (“Letter of Award”) dari Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertahanan) untuk melantik BNS sebagai kontrak projek kapal perang LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011.

Ini bermakna DCNS bukan sahaja telah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai rundingan pembinaan kapal perang ini, malah DCNS telah pun menghantar sebutharga dan diberikan Surat Niat sebelum pun BNS dilantik menjadi kontraktor utama.

Satu siasatan dalaman BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation), iaitu salah satu syarikat induk yang memiliki BNS, telah membuat kesimpulan berikut:

“.. Adalah luar biasa apabila (BNS) sudah pun ada sebut harga dari DCNS bertarikh 23 Disember 2010 sebelum pun Surat Lantikan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia/KEMENTAH kepada BNS. Ini menunjukkan kontrak ini telah dimuktamadkan lebih awal di antara vendor (DCNS) dengan pihak-pihak berkepentingan di BHIC/BNS yang berkuasa membuat keputusan. Sejarah DCNS dan amalan korupnya yang merasuah individu-individu semasa rundingan kontrak pertahanan diketahui umum dan telah menjadi kes mahkamah di Perancis setelah pihak berkuasa Perancis menyerbu pejabat DCNS & Thales.”

Saya yakin rakyat Malaysia bersetuju dengan saya bahawa pegawai-pegawai di BHIC/BNS adalah “ikan bilis” yang tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan strategik pertahanan negara dengan menukar reka bentuk kapal perang dari yang diputuskan oleh TLDM kepada yang ditolak TLDM.

Melihatkan kepada keputusan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Zahid Hamidi) yang menukar keputusannya dari memilih Sigma kepada Gowind (yang dibekalkan DCNS) juga membayangkan ada campur tangan pihak yang lebih atas dari Menteri Pertahanan sendiri.

Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.

Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak.

Pertama, beliau lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan pada ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.

Kedua, beliau mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar negara. Selain dari projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent (sebuah syarikat pembuat paip yang tidak ada pengalaman membina LRT). Saya telah mendedahkan skandal ini dalam tahun 2012 dan boleh dibaca di sini: https://rafiziramli.com/category/skandal-lrt-george-kent/

Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan menjawab persoalan-persoalan ini.

Pada masa yang sama, saya akan terus mendedahkan pelbagai penyelewengan yang telah berlaku sehingga menyebabkan tidak ada satu kapal pun yang disiapkan setakat ini.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden Keadilan

8 Ogos 2022.