"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Bachok pertahan tindakan MP Besut rasmi mesin ATM

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, hari ini tampil mempertahankan tindakan Che Mohamad Zulkifly Jusoh merasmikan mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di Besut baru-baru ini.

Walaupun tindakan itu menerima kecaman warga maya, Syahir berkata mesin ATM itu besar manfaatnya bagi penduduk yang berada di kawasan terceruk seperti itu.

"Ramai dalam kalangan netizen yang ‘mempersendakan’ upacara perasmian mesin pengeluaran wang ATM di sebuah stesen minyak, di daerah Besut, Terengganu.

"Bagi kita yang tinggal di bandar mahupun pinggir bandar, akses kepada mesin ATM dan cawangan bank yang berdekatan dianggap sebagai perkara kecil yang tidak perlu dicari, apatah lagi diminta untuk disediakan.

"Namun bagi penduduk di daerah terceruk, perkara ini adalah sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan banyak pihak mempersenda atau mengecam tindakan Che Mohamad selepas ahli parlimen Besut itu merasmikan seunit mesin ATM di sebuah stesen minyak di kawasannya.

Ia disempurnakan dengan acara memotong riben.

Untuk rekod orang ramai 'membahan' Che Mohamad kerana majlis perasmian berkenaan, bukannya membabitkan keperluan mesin ATM di kawasan tersebut.

Mereka berpendapat membuat majlis perasmian sebegitu sebagai aneh kerana mesin ATM sudah digunakan secara berleluasa di seluruh Malaysia, bukannya seperti pada era 1990-an.

“Seriuslah, mesin ATM pon rasmi potong reben.

“Kita di zaman bila ni weh?” tulis seorang pengguna maya, seperti dilaporkan sebuah portal berita yang dikaitkan dengan Amanah.

Peringatan buat diri sendiri

Pengguna maya juga menyindir acara itu yang kelihatan ‘bersungguh-sungguh’, siap dengan acara perasmian melalui pemotongan reben.

Mengulas lanjut, Syahir berkata daerah Besut sama seperti Bachok kerana terpelak di kawasan luar bandar dan majoriti penduduknya terdiri daripada golongan petani, nelayan, warga emas dan golongan miskin.

Dia yang juga setiausaha politik Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, kemudahan mesin ATM mungkin kecil di mata orang lain namun cukup besar manfaatnya kepada masyarakat setempat.

"Maka tidaklah mengejutkan apabila di Bachok, antara perkara yang diminta oleh pengundi dalam PRU ke-15 yang lalu, khususnya dalam kalangan pengundi muda, adalah untuk diwujudkan cawangan bank di Bachok dan perbanyakkan mesin ATM di Bachok.

"Ya, itulah antara perkara ‘besar’ yang diminta kepada saya untuk diusahakan.

"Justeru peringatan kepada diri saya, mungkin perkara yang dianggap ‘kecil’ di mata kita, boleh jadi ‘besar’ di mata pihak yang lain," katanya lagi.

Zuraida tuntut semula jawatan presiden PBM di mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin memfailkan tuntutan di mahkamah untuk diiktiraf sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang sah.

Zuraida memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mac, menurut Malaysiakini.

Menurut kertas kausa yang dilihat portal berita itu, Zuraida memohon beberapa deklarasi, termasuk keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengekalkan Ahli Parlimen Julau Larry Sng sebagai presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

Beliau turut memohon perintah mandamus untuk memaksa JPPM mendaftarkan dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa 7 Okt tahun lepas.

Menerusi afidavit sokongannya bertarikh 22 Mac, Zuraida mendakwa, ketika perhimpunan agung parti pada 1 Okt tahun lepas, Sng membuat kenyataan bersetuju bahawa akan berlaku peralihan untuk melantik Zuraida sebagai presiden parti.

Beliau juga menerima surat daripada PBM bertarikh 15 Okt tahun lepas yang menyatakan PBM telah memaklumkan JPPM mengenai pelantikannya sebagai presiden, katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa menerima surat daripada PBM pada 19 Dis tahun lepas, bahawa Sng “mengisytiharkan diri” sebagai presiden parti, menggantung keahliannya, dan mengarahkannya tunjuk sebab dalam tempoh tujuh hari.

Beliau mendakwa alasan yang diberikan adalah beliau telah mempersoalkan jawatan presiden Sng dan mengelirukan ahli parti lain dengan meminta mereka mengeluarkan kenyataan bersama mengisytiharkan beliau presiden PBM.

Menurut Zuraida, tindakan Sng tidak sah kerana peruntukan yang digunakan untuk menggantung keahliannya hanya boleh dilaksanakan oleh presiden parti. Justeru, beliau tidak menjawab surat itu kerana menganggap tindakan Sng melanggar perlembagaan parti.

Zuraida juga berhujah bahawa kegagalan dan/atau kecuaian JPPM telah membolehkan PBM memecatnya dengan cara yang bercanggah dengan perlembagaan, yang “secara langsung menyebabkan kerosakan teruk pada imej dan kerjaya politiknya”.

Zuraida meninggalkan Bersatu pada Mei tahun lepas untuk menyertai PBM yang baru ditubuhkan. Beliau menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Beliau bertanding atas tiket PBM dalam usaha mempertahankan kerusinya pada PRU lepas tetapi tewas kepada calon PKR Rodziah Ismail dalam persaingan sembilan penjuru.

Disember lepas, Zuraida dipecat oleh PBM bersama 10 ahli lain selepas mereka gagal menjawab surat tunjuk sebab.

Dr Jomo: Sekarang masa tepat tubuh Tabung Kewangan Asia

Hariz Mohd

Cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya negara Asia menubuhkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) versi rantau ini dan mengurangkan pergantungan mereka kepada dolar AS mendapat pujian pakar.

Ahli ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan penganalisis Pong Teng Siew menyatakan sokongan mereka terhadap idea itu, berkata memiliki Tabung Kewangan Asia (AMF) akan menyediakan negara rantau ini alternatif yang lebih baik semasa krisis.

Jomo berkata penubuhan AMF sekarang adalah tepat pada masanya, dan dia sentiasa menyokong idea itu sejak ia dicadangkan berikutan krisis 1997.

"Anda tidak boleh menubuhkan dana sedemikian di tengah-tengah krisis. Jadi sudah tiba masanya untuk berfikir ke hadapan.

"Ia mengurangkan kelemahan kami tanpa mengikat terlalu banyak sumber," katanya melalui pesanan teks kepada Malaysiakini.

Ahli ekonomi itu menambah cadangan untuk AMF oleh Anwar juga membuktikan bahawa perdana menteri bukanlah konco IMF sebagaimana tuduhan yang dilemparkan terhadapnya pada 1998.

Sementara itu, Pong berkata IMF sering menawarkan "preskripsi" yang akhirnya "menjadi lebih teruk daripada apa yang diberikan oleh penawar itu.

"IMF versi Asia yang tidak berpegang kepada ekonomi preskriptif neoliberal IMF menawarkan alternatif yang munasabah kepada negara-negara yang tidak mahu mengalami kesakitan jangka pendek yang dikaitkan dengan aliran pemikiran IMF.

"Laluan tidak konvensional yang dilalui oleh Malaysia selepas krisis kewangan Asia boleh dikatakan sama berjaya seperti laluan yang ditetapkan IMF, (tetapi) tanpa (melibatkan) kos terhadap manusia dan dislokasi yang dikaitkan dengan dasar IMF standard," kata Pong kepada Malaysiakini.

Penganalisis itu merujuk kepada krisis kewangan Asia pada 1997, yang menyaksikan penurunan mendadak nilai mata wang dan pasaran saham di beberapa negara Asia dan menyebabkan peningkatan pengangguran dan kemiskinan.

Ia kemudiannya menyaksikan IMF meminjamkan lebih AS$100 bilion pinjaman jangka pendek kepada Thailand, Indonesia dan Korea Selatan; yang mana bantuan datang dengan senarai syarat yang perlu dipenuhi oleh negara berkenaan.

Perkara yang sama ditawarkan kepada Malaysia tetapi kerajaan kemudiannya memutuskan untuk tidak mengambil pinjaman IMF. Sebaliknya, ia mengambil beberapa langkah tidak konvensional, termasuk menambat ringgit berbanding dolar AS.

Keputusan ini kemudiannya dipuji oleh IMF sebagai langkah yang tepat.

Pong juga mendakwa bahawa penyelesaian yang ditawarkan oleh IMF itu "secara politiknya tunduk" kepada kepentingan korporat dan kewangan AS.

Menurutnya, pihak berkenaan "menunggu di luar sana untuk mengambil peluang situasi kesusahan yang dibuka oleh preskripsi IMF itu,”

Menurut Pong, jika tersedia dana selain IMF maka negara yang dilanda krisis tidak akan kehilangan kawalan ke atas sumber domestik dengan harga murah kepada pemilikan asing yang akhirnya "tidak benar-benar menambah apa-apa nilai berikutan rampasan terhadap kawalan mereka ke atas aset domestik."

Minggu lalu, Anwar memberitahu parlimen bahawa tidak ada sebab untuk negara seperti Malaysia terus bergantung kepada dolar AS dalam menarik pelaburan ke negara itu, dan mengulangi cadangan untuk menubuhkan AMF.

Dia juga berkata Bank Negara telah membuat cadangan untuk menggunakan ringgit dan renminbi dalam rundingan antara Malaysia dan China.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz kemudiannya memberitahu CNBC, media yang berpangkalan di AS bahawa Anwar telah mencetuskan idea untuk mengurangkan kesan dolar yang kukuh.