"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri ditahan jual senapang angin, peluru dan rokok tidak bercukai

Juwan Riduan
bhnews@bharian.com.my
Polis Sabah menumpaskan kegiatan menjual senapang angin, peluru, minuman keras serta rokok tidak bercukai selepas menahan suami isteri dalam dua serbuan di Nabawan, di sini, semalam. - Foto PDRM
Polis Sabah menumpaskan kegiatan menjual senapang angin, peluru, minuman keras serta rokok tidak bercukai selepas menahan suami isteri dalam dua serbuan di Nabawan, di sini, semalam. - Foto PDRM
KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan kegiatan menjual senapang angin, peluru, minuman keras serta rokok tidak bercukai selepas menahan suami isteri dalam dua serbuan di Nabawan, di sini, semalam.

Suspek wanita berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Lima Lumintok, manakala suaminya berusia 33 tahun ditahan di kedai runcit di Kampung Sarikan Jalan Tawau - Keningau, Nabawan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, serbuan Op Laras dan Op Kontraban dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, menerusi serbuan dijalankan secara serentak itu, polis merampas enam senapang angin dengan pelbagai jenama.

"Turut dirampas ratusan peluru pelbagai jenis dan beberapa peralatan senapang angin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai minuman keras dan rokok yang tiada cukai kastam.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM60,000.

"Polis masih meneruskan siasatan termasuk mengenal pasti sumber utama senapang angin milik suami isteri warga tempatan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Dua maut, lori alami masalah brek langgar empat kereta

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
RAKAMAN CCTV yang menunjukkan sebuah lori terbabit kemalangan dengan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Medan Masria susur ke Lebuhraya Grand Saga, Kajang, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN CCTV yang menunjukkan sebuah lori terbabit kemalangan dengan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Medan Masria susur ke Lebuhraya Grand Saga, Kajang, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Kajang: Dua individu maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Medan Masria susur ke Lebuhraya Grand Saga, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kemalangan pada jam 4.45 petang itu membabitkan sebuah lori dengan empat kereta.

"Siasatan dilakukan mendapati ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Batu 9, di sini.

"Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Medan Masria, lori terbabit disyaki mengalami masalah brek dan melanggar empat kenderaan di hadapannya sebelum terbabas ke lereng bukit di susur ke Lebuhraya Grand Saga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan seorang pemandu kereta Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang penumpang kereta parah dilaporkan meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.

"Dua mangsa terbabit adalah seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 50-an dan 60-an.

"Tiga pemandu kenderaan lain pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, pemandu lori berusia 40-an itu yang mengalami cedera ringan ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, kemalangan itu tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis berhampiran lokasi kejadian dimuat naik di media sosial, sejak semalam.

Mayat kedua tragedi kepala air ditemui

Yasmin Abdul Latif 

TAPAH: Salah seorang daripada tiga beradik yang terbabit dalam tragedi kepala air Sungai Kenjur, Kampung Poh ditemukan sudah meninggal dunia.

Jasad mangsa, Hafiy Muhayat Azam, 4, ditemukan kira-kira 9.50 malam tadi, oleh seorang penduduk yang membantu usaha pencarian mangsa-mangsa perkelahan itu.

“Pasukan menyelamat atas bantuan orang ramai dan penduduk kampung berjaya menemui lagi mangsa iaitu satu kanak-kanak lelaki yang telah meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Tapah, Mohd Naim Asnawi, kepada pemberita malam tadi.

Polis memaklumkan mayat kanak-kanak itu ditemui di tepi sungai, kira-kira 600 meter dari tempat kejadian.

Terdahulu, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam sekeluarga dan seorang pengasuh yang terbabit tragedi kepala air itu.

Jasad ibu Hafiy, Aszura Bani, 37 ditemukan petang tadi.

Jasad Hafiy ditemukan selepas polis mengumumkan operasi mencari dan menyelamat ditangguh pada 7.30 malam tadi atas faktor keselamatan, dan akan disambung pagi esok.

Usaha mencari tiga beradik itu giat dijalankan oleh bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan penduduk, yang sehingga kini dalam radius pencarian 3km.