"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR: Parti tak boleh lagi berlembut

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

SURAT | Sudah lebih dua minggu pemilihan PKR berlalu, namun gema retak dari dalam parti masih belum reda. Ketika umat Islam menyambut Aidiladha — hari pengorbanan — segelintir ahli masih terperangkap dalam ego dan dendam.

Mereka seolah-olah tidak rela menerima keputusan demokrasi yang mereka sendiri persetujui pada awalnya.

Sepanjang tempoh pemilihan, kita saksikan bagaimana isu-isu remeh dibesar-besarkan, sengaja digembar-gemburkan untuk mencetuskan kekacauan dalaman.

Ada yang tampil kononnya sebagai pejuang integriti, tetapi sebenarnya memalu gendang perpecahan. Mereka menjemput campur tangan luar dan menjadikan masalah parti sebagai bahan tontonan umum. Ia ibarat pesta wayang terbuka.

Konvensyen PKR di Johor Bahru telah menghantar mesej yang jelas — ahli akar umbi muak dengan permainan dalaman yang menjijikkan.

Keputusan pemilihan timbalan presiden yang sangat jauh bezanya bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi tamparan kepada politik kem-kem dan sikap mencipta musuh dalam selimut.

Malangnya, ada yang masih enggan berhenti.

Yang kalah terus bermain sentimen, yang kecewa memilih jalan pembalasan. Yang pernah menuntut reformasi, kini menjaja kebencian dan mengapi-apikan penyokong untuk menyerang parti sendiri.

Apa jenis perjuangan ini?

Pintu tetap terbuka

Lebih menjengkelkan, ada yang cuba mencorakkan naratif kononnya parti menekan mereka, media sosial disekat, dan penyokong dibungkam. Kenyataan ini tidak lebih daripada sekadar strategi lapuk untuk meraih simpati dan menagih sokongan luar.

Mereka bukan ditekan. Mereka sedang menerima balasan atas tindakan mereka sendiri yang menggugat kestabilan parti.

Tuduhan terhadap penjawat awam, agensi penguat kuasa, dan ketua-ketua parti hanyalah satu cubaan meluaskan kerosakan.

Mereka mahu mencetuskan persepsi kononnya berlaku penindasan, sedangkan yang berlaku hanyalah penguatkuasaan peraturan terhadap pelanggaran disiplin dan batas undang-undang.

Parti tidak boleh lagi berlembut. Cukuplah dengan rundingan dan pujukan. Mereka yang terus-menerus mencetuskan huru-hara mesti dikenakan tindakan tegas.

Politik dendam tidak boleh diberi pentas dalam gerakan reformasi. Jangan biar kapal yang kita bina ini ditebuk dari dalam oleh mereka yang kecewa kerana tidak mendapat kuasa.

Timbalan presiden yang baru, Nurul Izzah Anwar, akan kembali dari Mekah membawa mandat untuk menyatukan barisan. Namun usaha ini tidak akan berhasil jika yang kalah masih menjaja fitnah dan mewujudkan kempen membenci parti.

Jangan berselindung di sebalik nama reformasi jika yang diperjuangkan hanyalah kedudukan peribadi.

PRU ke-16 adalah medan sebenar. PKR di bawah pimpinan Anwar Ibrahim tidak punya masa untuk melayan sisa-sisa pemilihan yang telah tamat.

Pintu tetap terbuka untuk mereka yang mahu kembali menyumbang, tetapi jangan harap diberi tempat jika yang dibawa hanyalah racun dan sabotaj.

Kita bukan kekurangan musuh di luar. Justeru jangan ditambah musuh dari dalam.

Kita mungkin sedikit terluka, jangan dibiarkan sakitnya terlalu lama. Sekarang masa untuk kembali berkerja.

DR ROSLI ALLANI ABDUL KADIR ialah mantan ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.

Gangguan seksual oleh penjual belon, polis beritahu TikToker supaya buat laporan

FMT Reporters

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya belum terima laporan yang didakwa berlaku di Genting Highlands.
Tular video seorang TikToker mendakwa berdepan gangguan seksual oleh seorang penjual belon di Genting Highlands.
PETALING JAYA: Polis meminta seorang pencipta kandungan di TikTok membuat laporan dakwaan kejadian gangguan seksual dialaminya ketika bercuti di Genting Highlands
Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya setakat ini belum menerima laporan kejadian seperti didakwa menerusi pemilik akaun TikTok, semalam.

Katanya, semakan turut mendapati TikToker itu turut mendakwa hampir menjadi mangsa perlakuan jenayah di beberapa lokasi lain.

“Pemilik akaun TikTok itu diminta tampil bagi membantu polis menjalankan siasatan.

“Orang ramai boleh membuat laporan di mana-mana balai polis sekiranya menjadi mangsa perlakuan jenayah supaya polis boleh menjalankan siasatan terperinci,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi video tular di media sosial, TikToker itu mendakwa berdepan gangguan seksual oleh seorang penjual belon di Genting Highlands.

Lelaki itu mendakwa ditawarkan RM50 untuk menunjukkan kemaluannya kepada penjual belon terbabit.

Wanita ditemukan mati di kebun getah

Agensi
BOONHAI (kiri) bersama anak lelakinya, Chaiyaphruek ditahan atas tuduhan membunuh dengan sengaja. FOTO Agensi
BOONHAI (kiri) bersama anak lelakinya, Chaiyaphruek ditahan atas tuduhan membunuh dengan sengaja. FOTO Agensi
Bangkok: Tindakan seorang anak yang curiga selepas dilarang memasuki ladang getah oleh teman lelaki ibunya membawa kepada penemuan mayat ibunya yang dibunuh di lokasi itu.

Mangsa, Prathum, 52, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan dua kesan luka serius di kepala di ladang getah di daerah Saba Yoi, Songkhla, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Portal The Thaiger melaporkan, wanita berkenaan dipercayai dibunuh oleh teman lelaki, Boonhai, 51, dan anak lelaki suspek utama, Chaiyaphruek, 26.

Bedah siasat dilakukan di Hospital Songklanagarind sebelum mayatnya diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Anak mangsa, Pornthep, berkata ibunya masuk ke ladang itu bersama Boonhai dan Chaiyaphruek.

"Pada awalnya saya mahu membantu ibu, selepas mengasah pisau toreh saya ke ladang getah dengan menunggang motosikal.

"Namun, sebaik tiba, saya terserempak dengan dua lelaki itu yang dalam keadaan mencurigakan dan marah, malah mereka menghalang saya masuk ke kawasan itu.

"Saya ikut kata mereka dan beredar, tetapi saya rasa tak sedap hati.

"Apabila saya patah balik, dua lelaki itu sudah tiada. Saya cari ibu dan akhirnya jumpa dia sudah terbaring tidak bernyawa berhampiran pokok getah," katanya.

Pornthep berkata, sebelum ini ibunya pernah menyuarakan masalah mengenai hubungan dengan teman lelakinya itu dan dia percaya pertelingkahan berpanjangan mungkin punca pembunuhan itu.

Difahamkan, Prathum menjalinkan hubungan dengan Boonhai sejak tiga tahun lalu.

Walaupun lelaki itu bukan berasal dari Songkhla, dia sudah menetap di situ lebih 15 tahun, manakala anak lelakinya pula muncul sekitar antara tiga hingga empat bulan sebelum kejadian.

Berdasarkan bukti kukuh di lokasi, polis Balai Saba Yoi mengeluarkan waran tangkap ke atas dua beranak itu atas tuduhan membunuh dengan sengaja.

Pisau dan beberapa peralatan pertanian turut ditemui di lokasi kejadian.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan suspek bersama melarikan diri menaiki motosikal Kawasaki hijau meninggalkan kawasan pembunuhan.

Kedua-duanya masih disoal siasat polis dan setakat ini butiran lanjut mengenai tangkapan dan perincian kes masih belum didedahkan kepada umum.
-hmetro