"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru tahfiz dipenjara 11 tahun, 12 sebatan liwat tiga pelajar

Harapandaily

Seorang guru tahfiz dipenjara 11 tahun dan 12 sebatan selepas mengaku bersalah meliwat dan melakukan seks luar tabii terhadap tiga pelajar tahfiz bawah umur, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Aimanuddin Julaihi, 31, mengaku atas 10 pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut lapan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.

Kesalahan dilakukan di beberapa lokasi berasingan termasuk bilik tidur, pejabat, dewan makan, perpustakaan dan lorong sempit sekitar pusat tahfiz pada tarikh dan masa berbeza antara Mei hingga Julai 2025.

Tertuduh turut didakwa atas dua lagi pertuduhan meliwat dua lagi pelajarnya yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun di biliknya pada Julai 2025 kira-kira jam 12 tengah malam dan di perpustakaan kira-kira 8 pagi pada Mei 2025.

Semua 10 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Dalam penghakimannya, Rohatul menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, manakala penjara 11 tahun dan dua sebatan bagi setiap dua pertuduhan meliwat.

Hukuman penjara bagi semua pertuduhan ditetapkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Ogos lalu.

Perlis: Lelaki 76 tahun gagal rayu sabitan rogol kanak-kanak

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 76 tahun akan terus menjalani hukuman penjara 15 tahun selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan terakhirnya terhadap sabitan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 2018.

Hakim Noorin Badaruddin yang mengetuai panel tiga hakim berkata tiada alasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Ramli Mat oleh Mahkamah Sesyen awal tahun ini.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bicara adalah dikekalkan,” kata Noorin yang bersidang bersama Hakim Radzi Abdul Hamid dan Meor Hashimi Abdul Hamid.

Ramli, yang bujang dan penerima bantuan kebajikan, melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di daerah Arau, Perlis, antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam pada 17 Disember 2018. Ketika itu, dia berusia 69 tahun.

Pada 14 Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan terhadapnya, seperti yang diperuntukkan undang-undang bagi pesalah seksual.

Ramli yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan perbicaraan, mula menjalani hukuman penjara itu tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berkata mangsa yang memberi keterangan ketika berusia 12 tahun, mengenal pasti Ramli dengan jelas sebagai pelaku dan keterangannya turut disokong oleh penemuan perubatan.

“Pembelaan yang dikemukakan perayu hanyalah penafian,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Norharniza Rusli berhujah terdapat keraguan sama ada Ramli benar-benar merogol kanak-kanak itu, dengan alasan bukti perubatan semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan dia adalah pelakunya.

Beliau turut memohon mahkamah mengurangkan hukuman mengambil kira usia Ramli yang lanjut.

Eyu pula memohon panel mengekalkan hukuman penjara berkenaan yang disifatkannya selaras dengan trend hukuman bagi kesalahan seumpama itu.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa Ramli boleh dikecualikan daripada sebatan sekiranya didapati tidak sihat dari segi perubatan ketika hukuman itu hendak dilaksanakan, atau sekiranya permohonan pengecualian dikemukakan kepada mahkamah kemudian.

Pekerja maut terjatuh dalam tangki cecair kimia

MOHD SHARKAWI LONDING
SEORANG pekerja maut selepas terjatuh ke dalam tangki cecair kimia dalam kejadian di sebuah premis perindustrian di Jalan Keluli 3, Kawasan Perindustrian Pasir Kilang, Johor Bahru, malam semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang pekerja maut selepas terjatuh ke dalam sebuah tangki yang mengandungi cecair sisa kimia di sebuah premis perindustrian di Jalan Keluli 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.51 malam itu, mangsa, lelaki berusia 26 tahun dilaporkan terjatuh ke dalam tangki lumpur hidroksida logam berkapasiti 15,000 meter padu.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bimba II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.51 malam sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, jentera tiba di tempat kejadian kira-kira empat minit kemudian dan mendapati mangsa berada di dalam tangki berkenaan pada kedalaman kira-kira 1.5 meter.

“Mangsa berada di dalam tangki yang mempunyai ketinggian kira-kira 20 kaki dan didapati tidak mempunyai tanda-tanda kehidupan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas termasuk tali penyelamat dan pengusung,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya dinaikkan ke permukaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 11.03 malam.

Kes dikendalikan pihak polis bagi siasatan lanjut.-KOSMO! ONLINE