"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Annuar Musa sudah 'dilamar' PAS

Dah 'dilamar' PAS, Annuar kata: Nantilah dulu...

Malaysiakini

Bekas pemimpin kanan Umno, Annuar Musa, hari ini mendedahkan dia 'dilamar' parti lain sejurus selepas dipecat daripada parti itu kelmarin.

Menegaskan dia tetap reda dengan keputusan parti kerana menganggap boleh membawa kebaikan kepada Umno, Annuar memberitahu PAS ada mempelawanya berceramah di rapat umum mereka.

Namun Annuar membayangkan dia keberatan untuk memenuhi jemputan tersebut kerana masih terlalu baru 'bercerai' dengan Umno.

"Malam ini ambo (saya) dijemput berceramah dalam rapat umum PAS, tapi ambo jawab terus: baru bercerai tiga hari masuk sudah meminang.

"Ketua Muslimat PAS Melaka kata, kalau rumah tu terbakar, marilah duduk rumah ambo. Nanti dulu... biarlah lepas idah dulu (sebab) kalau (wanita kalau) suami mati pun ada tempoh (idah) dia," kata Annuar bermadah.

Dia yang mengetuai Umno Ketereh sejak 35 tahun lalu sebelum disingkirkan berkata demikian ketika berucap di majlis pertemuan dengan pemimpin Umno bahagian terbabit hari ini.

Ucapan Annuar disiarkan secara langsung di Facebooknya.

"Rumah terbakar" yang disebut Annuar itu merujuk kepada kiasannya mengenai keadaan Umno selepas mereka menyertai kerajaan pimpinan PH baru-baru ini.

Dalam ucapan sama Annuar turut menyifatkan pemecatannya sebagai isyarat daripada pemimpin Umno kepada ahli parti yang lantang bersuara agar mereka tidak melawan.

Pun begitu bekas setiausaha agung Umno itu pasrah dan menjelaskan dia tidak menyimpan dendam terhadap pemimpin parti yang membuat keputusan tersebut.

"(Umno) Pecat ambo supaya orang lain takut. Kalau (Umno) pecat ambo (supaya) orang lain tak terpecat, tak apa... ambo reda," kataya lagi.

Annuar yang pernah menjadi menteri beberapa kali itu juga berharap pemimpin Umno yang lain - yang turut tidak senang dengan keputusan parti menyokong PH - tidak menerima nasib sepertinya.

‘Besar sungguh salah ambo’

Antara nama yang disebut Annuar ialah Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 8 Dis memutuskan untuk memecat Annuar serta beberapa pemimpin lain iaitu dua ketua Wanita Umno bahagian.

Mereka ialah Shamsiah Yasin (Ketua Wanita Umno Arau) Fatimah Kassim (Ketua Wanita Maran). Untuk rekod Shamsian ialah isteri Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, manakala Fatimah isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib.

Shahidan dan Ismail bertanding sebagai calon PN dalam PRU baru-baru ini.

Dalam pada itu Annuar mendakwa pemecatannya dibuat MKT Umno tanpa dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti terlebih dulu.

Yakin pemecatannya dibuat kerana kritikannya terhadap pucuk pimpinan, Annuar berkata dia tetap tidak membenci Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, kerana perselisihan mereka hanya membabitkan perbezaan pendapat.

"Ambo dipecat tanpa melalui jawatankuasa disiplin, maknanya besar sungguh kesalahan ambo tu, lebih (besar) daripada kesalahan Anwar Ibrahim dulu.

"Kesalahan ambo lebih besar daripada salah Muhyiddin (Yassin) dulu, pakai tak payah bicara hakim terus jatuh hukum.

"Kebetulan ambo salah masuk lorong. Ambo masuk lorong (cadang) presiden kena letak jawatan tolong bagi dekat orang lain dulu supaya kita (Umno) boleh gagah (kuat) semula.

"Menyesal? Tidak, ambo tak menyesal sebab perangai ambo suka bercakap betul (benar). Tak ada (hal) peribadi, tak ada kebencian cuma mencadangkan (presiden letak jawatan)," katanya.

Tiada ulasan: