"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Upko ‘hidup’ semula bersama PH, tak mustahil dominan di Sabah

Willie Jude

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat tindakan Upko menyertai Pakatan Harapan (PH) berjaya menghidupkan semula parti itu dan tidak mustahil muncul menjadi dominan di Sabah pada masa akan datang.

Ramli Dollah dari Unit Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes) Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata tindakan Upko menyertai PH sebelum ini adalah keputusan bijak walaupun dianggap sebagai ‘talian hayat’ buat mereka.

“Keputusan Upko menyertai PH merupakan tindakan bijak dan kejayaannya memenangi dua kerusi Parlimen di Sabah menjadikan parti itu terus relevan dalam politik Sabah. Saya percaya perubahan yang berlaku di peringkat pusat akan memberi implikasi besar kepada politik di Sabah.

“Dalam hal ini, saya pasti Upko mampu menjadi antara parti dominan di negeri ini,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Ramli berkata kebangkitan semula Upko selepas ini turut bergantung kepada prestasi kerajaan di peringkat Pusat.

“Kebangkitan Upko bersyarat, iaitu kerajaan pusat yang ada sekarang dan didominasi oleh PH mampu melakukan perubahan diharapkan rakyat. Kejayaan pentadbiran bawah PH dan Barisan Nasional (BN) di mana Upko menjadi ahli penting kepada masa depan Upko dalam politik di Sabah,” katanya.

Kemenangan tak dijangka ‘titik permulaan’

Sementara itu, Lee Kuok Tiung juga daripada UMS, berkata kebangkitan Upko selepas ini juga bergantung kepada kepimpinan baharu parti yang bakal berlaku.

Katanya, kejayaan Upko memenangi dua kerusi tidak jangka juga boleh dianggap sebagai titik permulaan kebangkitan parti itu.

“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu Upko berjaya memperoleh dua daripada lima kerusi ditandingi.

“Kedua-dua kerusi ini merupakan kerusi yang tidak dijangkakan Upko akan menang memandangkan Darell Leiking (timbalan presiden Warisan) nampak begitu gagah di Penampang dan kerusi Tuaran secara tradisinya milik BN,” katanya.

Upko sebelum ini salah satu komponen BN, namun keluar daripada gabungan itu untuk bersama Warisan dan PH bagi menubuhkan kerajaan negeri selepas PRU14. Ketika itu, Upko yang diterajui Wilfred Madius Tangau mempunyai lima wakil rakyat.

Pada PRN 2020, Upko bertanding di 12 kerusi menggunakan logo sendiri namun hanya memenangi satu kerusi, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada ia masih relevan dalam politik Sabah.

Parti itu kemudian menyertai PH tahun lalu dan bertanding di lima kerusi atas tiket gabungan berkenaan pada PRU15. Walaupun tewas di tiga kerusi, Upko mencipta kejutan apabila memenangi dua kerusi “heavyweight” iaitu di Tuaran dan Penampang.

Upko bakal diterajui menteri pembangunan usahawan dan koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Ewon Benedick selepas Madius sebelum ini memutuskan tidak mempertahankan jawatan presiden.

Pemilihan Upko bakal berlangsung pada 14 dan 15 Jan depan sempena kongres parti itu yang sepatutnya berlangsung pada Oktober tahun ini namun ditangguh susulan PRU15.

Tiada ulasan: