"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amirudin: Muhyiddin pernah minta saya cari ADUN PH untuk paling tadah

Dineskumar Ragu

KULIM: Naib Presiden PKR, Amirudin Shari mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin pernah memintanya mendapatkan ADUN Pakatan Harapan di Selangor berpaling tadah bagi menjatuhkan kerajaan PH di negeri itu.

Berucap dalam ceramah di sini bagi calon PH Padang Serai, Sofee Razak, menteri besar Selangor itu menyelar Muhyiddin berkempen di platform “bersih dan stabil”, dengan mendakwa pengalamannya sendiri dengan bekas perdana menteri itu membuktikan sebaliknya.

Amirudin berkata, tiga hari sebelum Langkah Sheraton, beliau menemui Muhyiddin, yang ketika itu menteri dalam negeri di bawah kerajaan PH, dan mempersoalkan tindakan politiknya.

Langkah Sheraton merujuk gerakan berpaling tadah pada 2020 yang menyaksikan beberapa Ahli Parlimen Bersatu dan PKR bergabung dengan Barisan Nasional dan PAS sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang.

“Ini orang yang mengatakan diri dia bersih…yang mengaku tidak mengamalkan rasuah.

“Nasihat dia kepada saya ketika itu: Amir, kamu dapatkan wakil rakyat dari Amanah, wakil rakyat dari Keadilan (PKR), kamu bagi mereka RM10,000 sebulan, bagi jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

“Untuk apa? Untuk khianati dan jatuhkan (kerajaan) negeri Selangor. Saya balik dan saya fikir, saya bukan dilahirkan oleh ibu saya untuk menjadi seorang pengkhianat. Saya tak buat dan saya tak laksanakan dan saya tolak politik seperti ini.”

Amirudin berkata, itulah “scheme of things” Muhyiddin.

Istilah “scheme of things” berasal daripada rakaman audio didakwa bocor ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 2020, di mana seorang individu, dikatakan Muhyiddin, didengar mencadangkan Bersatu mengukuhkan kedudukannya dengan bekerjasama dengan Umno bagi membentuk parti politik Melayu terbesar di Malaysia, melalui tawaran jawatan dalam GLC kepada Umno sebagai insentif.

Amirudin turut menyeru pengundi Padang Serai menolak calon PN, Azman Nasruddin, yang pernah bersama PKR sebelum berpaling tadah ke Bersatu dua tahun lalu.

Tiada ulasan: