"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengerusi PN: Dr Sam perlu elak jadi boneka

Nora Mahpar

Penganalisis berkata persoalan besar tetap timbul mengenai keupayaan Ahmad Samsuri Mokhtar memimpin gabungan itu tanpa mandat hierarki parti yang kukuh.
Ahmad Samsuri Mokhtar
Penganalisis berkata kedudukan Ahmad Samsuri Mokhtar mudah dipersoalkan sebagai sekadar ‘penjaga kerusi’, bukan pemegang kuasa sebenar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kedudukan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai tokoh disebut menggantikan Muhyiddin Yassin bagi jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat rapuh kerana berdepan cabaran legitimasi kepimpinan, kata penganalisis.

Perunding kanan Global Asia Consulting, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata ini berikutan Samsuri atau Dr Sam bukan presiden mahupun timbalan presiden parti, sebaliknya hanya memegang jawatan naib presiden PAS dan menteri besar Terengganu.

Katanya, walaupun nama Samsuri semakin kuat dikaitkan dengan kerusi pengerusi PN susulan tersebar gambar pertemuannya bersama Muhyiddin baru-baru ini, persoalan besar tetap timbul mengenai keupayaannya memimpin gabungan itu tanpa mandat hierarki parti yang kukuh.

“Kedudukan beliau mudah dipersoalkan sebagai sekadar ‘penjaga kerusi’, bukan pemegang kuasa sebenar,” katanya kepada FMT.

Zaharuddin berpandangan, ketiadaan jawatan utama dalam parti menjadikan Samsuri berpotensi bergantung kepada tokoh lain lebih berpengaruh dalam menentukan keputusan strategik gabungan.

“Ini membuka ruang persepsi bahawa pengerusi PN hanya simbol sementara, manakala hala tuju sebenar masih dikawal pemain politik di belakang tabir,” katanya.

Menurut Zaharuddin, situasi Samsuri mempunyai persamaan ketara dengan pengalaman Ismail Sabri Yaakob ketika dilantik sebagai perdana menteri ke-9 walaupun hanya naib presiden Umno.

Dominasi PAS

Dalam pada itu, beliau berkata dominasi PAS dalam PN menambahkan lagi tekanan terhadap Samsuri untuk mengelakkan dirinya dilihat sebagai boneka yang hanya mengikut telunjuk parti tertentu.

“Jika beliau gagal menunjukkan ketegasan sendiri, keupayaannya membina keyakinan rakan komponen dan pengundi atas pagar akan terjejas,” katanya.

Zaharuddin berkata, pada masa sama Samsuri perlu bijak mengurus ketegangan antara PAS dan Bersatu serta krisis dalaman Bersatu yang berlarutan.

Katanya, keupayaan mengimbangi kedua-dua cabaran itu akan menjadi indikator utama sama ada pemimpin berimej teknorat tersebut benar-benar mempunyai legitimasi moral dan politik untuk menyatukan PN menjelang PRU16.

Pada masa sama, beliau menegaskan isu prestasi Samsuri di Terengganu akan terus menjadi tumpuan semua pihak termasuk menjadi modal politik lawan jika tidak diurus dengan baik.

“Dr Sam perlu membina naratif baharu yang menonjolkan kepimpinan berwibawa, bukan sekadar pewaris jawatan. Tanpa pencapaian jelas, kedudukan beliau mudah dipersoalkan.

“Jika pentadbiran negeri tidak diterjemahkan kepada imej kepimpinan nasional yang meyakinkan, pihak lawan akan terus mempersoalkan kemampuan beliau mengemudi blok pembangkang persekutuan,” katanya.

Bawah bayang kepimpinan tertinggi PAS

Turut senada, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali, berpandangan Samsuri masih berada di bawah bayang-bayang kepimpinan tertinggi PAS, sekali gus membataskan keupayaannya membuat keputusan besar tanpa campur tangan pimpinan parti.

“Cabaran utama jika Samsuri benar-benar dilantik mengemudi PN, beliau tidak benar-benar menguasai parti beliau sendiri iaitu PAS,” katanya.

Beliau berkata, Samsuri juga dijangka sukar menimbulkan rasa hormat dalam kalangan pemimpin Bersatu kerana wujud tokoh lebih dominan dan berpengaruh dalam parti itu, khususnya Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.

“Dalam Bersatu, Hamzah dilihat lebih berpengaruh dan berpengalaman, malah dianggap lebih sesuai menggantikan Muhyiddin. Ramai melihat begitu,” katanya.

Katanya, situasi itu menyebabkan Samsuri berisiko berdepan tekanan serentak daripada dua arah – PAS dan Bersatu – jika dilantik mengetuai PN.

“Jadi, jika Dr Sam menjadi pengerusi PN, beliau bukan sahaja akan berdepan masalah daripada PAS sendiri, tetapi juga daripada Bersatu yang mungkin tidak melihat beliau sebagai tokoh paling layak,” katanya.

Difahamkan, mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan selepas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengadakan mesyuaratnya esok untuk membincangkan pengganti Muhyiddin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Tiada ulasan: