"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesalah menjual ayam bangkai mesti dikenakan hukuman berat

NUZULSHAM SHAMSUDDIN
Tanjena Akter (tudung kuning) dan Zafirah (tudung hitam) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini
SHAH ALAM – Sebuah syarikat pembekalan dan pemprosesan ayam termasuk dua pengarah syarikat itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdaya bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Bagaimanapun Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn. Bhd dan dua pengarahnya iaitu Zafirah Karim, 36, dan Tanjena Akter Mollah, 36, serta pengurus syarikat itu Hossain Saddam, 44, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ainul Bashirah Dona Don Biyajid.

Zafirah merupakan warga tempatan manakala Tenjena Akter dam Hossain merupakan warga Bangladesh.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati telah membekalkan makanan iaitu 6,555 kilogram (kg) ayam yang telah disembelih dan diproses dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong di sini pukul 12.45 tengah malam pada 30 Oktober lalu.

Justeru pendakwaan dikemukakan di bawah subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah subperenggan 5 (a) Perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta jika sabit kesalahan.

Zafirah, Tanjena Akter dan Hossain didakwa atas pertuduhan sama yang didakwa mengikut subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah subperenggan 5 (b) Perintah yang sama pada tempat, waktu dan tarikh serupa.

Hukuman bagi subperenggan itu memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam prosiding sama, seorang lagi lelaki warga tempatan iaitu Abdul Rahim Ariff Ali, 34, turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan syarikat tersebut atas pertuduhan sama pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Justeru pendakwaan terhadap Abdul Rahim dikemukakan mengikut subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah subperenggan 5 (b) Perintah yang sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Zafirah dan Abdul Rahim diikat jamin RM35,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Dua warga Bangladesh itu tidak dibenarkan diikat jamin. Mahkamah kemudian menetapkan 26 Januari bagi sebutan semula kes.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria dan Norhashimah Hashim manakala tertuduh-tertuduh kecuali Abdul Rahim diwakili peguam Bernard Francis.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan menerusi Op Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang pemprosesan dan penyembelihan ayam di Puchong.

Operasi bersepadu itu turut membawa kepada rampasan 468 bungkusan plastik mengandungi 6,555 kilogram ayam mentah dianggarkan bernilai RM85,400.

Siasatan awal mendapati bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang sebelum diproses dan dipercayai diedarkan kepada pe­langgan termasuk kedai makan, kedai runcit serta pasar raya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ayam berkenaan diproses menggunakan kaedah ‘water bath stunning’ (kaedah renjatan air berarus elektrik) yang menyebabkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.

Arus elektrik yang digunakan dalam proses (kaedah renjatan air berarus elektrik di sebuah premis penyembelihan dikesan mencecah sehingga 130 volt, jauh melebihi paras maksimum yang ditetapkan JAIS iaitu di bawah 10 volt. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: