"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuanku Muhriz titah Ismail teruskan tugas MB, perkenan peletakan jawatan belum diputuskan

Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Seremban: Kedudukan Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan masih belum terjawab selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di sini, petang semalam.

Difahamkan, Ismail tiba di istana berkenaan kira-kira 5 petang, dan pertemuan dengan Tuanku Muhriz itu berlangsung lebih sejam.

Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dilihat meninggalkan Istana Hinggap kira-kira 6.30 petang, menerusi pintu utama.

Meskipun dilaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dikatakan menghantar surat peletakan jawatan selaku peneraju kerajaan negeri kepada Istana Negeri Sembilan seperti dinyatakan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zamry Abd Kadir, yang dimuat naik di media sosial pada 10 malam kelmarin, namun surat berkenaan belum disahkan ketulenannya.

Difahamkan, hasil pertemuan semalam, Tuanku Muhriz menitahkan Ismail supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.

Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran bahawa kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar masih belum berubah dan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan perlu diteruskan seperti biasa.

Malah, sehingga pagi ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak istana yang mengesahkan keputusan hasil pertemuan antara Ismail dengan Tuanku Muhriz, semalam.

Sebaliknya, acara rasmi agensi kerajaan negeri yang dihadiri atau dirasmikan oleh Ismail setakat ini masih menggunakan status beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Terdahulu, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pihak istana juga sebelum ini memaklumkan bahawa ketulenan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Ismail masih belum disahkan.

Perkembangan ini pastinya terus menjadi perhatian rakyat Negeri Sembilan, khususnya dalam menentukan hala tuju kepimpinan dan kestabilan politik negeri itu.

Kelmarin, Zambry berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan berkenaan, yang didakwa diutuskan kepada Tuanku Muhriz.

Ismail antara pemimpin kanan UMNO negeri, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu, selepas BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Tiada ulasan: