"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanipa minta Hadi diam jika tidak tahu apa-apa

MALAYSIA DATELINE
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin menyarankan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya berdiam diri sahaja daripada mempertahankan Akta Hasutan yang hangat diperkatakan sejak penahanan pendakwah, Ustaz Wan Ji Wan Husein.

Kata beliau, adalah lebih baik Hadi berdiam diri kerana bagi beliau, Anggota Parlimen Marang itu tidak mengetahui apa-apa mengenai Akta berkenaan.

Jelasnya, isu yang dibangkitkan bukan setakat salah guna, tetapi sebaliknya Akta berkenaan merupakan undang-undang yang zalim.

“Contohnya dalam Akta ini kebenaran kata-kata bukan satu pembelaan (a defence). Tahukah YB bahawa di bawah Akta ini pendakwa tak perlu buktikan pun kata-kata seseorang itu menghasut. Cenderung menghasut sahaja sudah salah YB. Bayangkan jika cenderung mencuri pun sudah salah.

“Bukankah YB selalu ajar pada orang bawah YB bahawa dalam Islam cenderung kepada kezaliman pun tak boleh, nanti kena sentuh api neraka. Menyokong Akta ini, YB , bagi saya, bukan lagi cenderung kepada kezaliman, ia dah masuk dalam kategori menyokong kezaliman itu sendiri,” tulis Anggota Parlimen Sepang itu dalam facebooknya hari ini.

Ujar Hanipa beliau pernah disiasat di bawah Akta tersebut, pernah mewakili anakguam yang didakwa di bawah Akta tersebut serta menyaksikan sendiri bagaimana Barisan Nasional (BN) menambah lagi “kezalimannnya” dari kezalimannya yang sedia ada.

Beliau dipercayai mengulas berita yang melaporkan Hadi menggesa kerajaan supaya mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi meminta takrif hasutan untuk dibincangkan dengan lebih jelas supaya undang-undang itu tidak disalahgunakan.

Perdana Menteri sebelum ini pernah mengesahkan untuk memansuhkan Akta berkenaan dan menggantikannya dengan undang-undang baharu.

Najib sebenarnya minta jadi pengerusi BN, bukan penasihat

Anggota Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berkata Najib Razak meminta untuk menjadi pengerusi BN semula dan bukannya pengerusi lembaga penasihat BN.

Nazri mendakwa, bekas presiden Umno itu mahu mengambil kesempatan apabila menyedari BN boleh menang kembali hasil kerjasama dua parti berkenaan.

"Saya tahu jawatan yang dipohon sebenarnya pengerusi BN, bukan pengerusi lembaga penasihat (BN), bila dia (Najib) lihat masa depan kita cerah dengan PAS.

"Mahu jadi PM (perdana menteri) lagi ke? Bagilah peluang kepada anak-anak muda, pimpinan baru, cukuplah," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas, yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Nazri dan Khairy masing-masing sebelum ini dilihat tidak senang dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN.

Khairy mengakui bahawa dia tidak gembira dengan pelantikan Najib, semantara Nazri menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang.

Dalam ucapannya hari ini, Nazri mengaku bahawa dia terkejut apabila mengetahui jawatan itu diwujudkan dan seterusnya diberikan kepada Najib.

Namun, katanya, reaksi yang diberikannya adalah reaksi sebenar yang dia tida boleh sembunyikan.

Susulan itu, kata Nazri, ramai pihak yang marah kepadanya.

"Kerana budaya Umno ini masih lagi tidak sedar, masih lagi dengan sistem malu alah, mungkin termakan budi begitu banyak sekali dengan mantan presiden kita (Najib), sehingga tidak dapat membuat kesimpulan bahawa cadangan itu tidak baik," katanya.

MT, naib presiden tak dimaklumkan

Tambah Nazri, kerjasama PAS dan Umno yang ada hari ini dipelopori oleh pemimpin parti ketika ini, dan bukannya ketika Najib menjadi presiden parti.

"Pada peringkat permulaan, (dimulakan) Zahid Hamidi. Kemudian dia berehat, (diteruskan) Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

"Tiba-tiba apabila menampakkan satu kejayaan yang membanggakan, dan kita boleh nampak satu masa nanti pada pilihan raya akan datang kita boleh menang, tiba-tiba timbul cadangan (melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN) ini," katanya.

Mengulas tanggapan yang melihatnya sebagai penyokong tegas Najib sebelum ini, Nazri menegaskan bahawa kesetiaannya ada perjuangan dan parti, bukan individu.

"Minta maaf saya tidak pernah setia pada individu...yang Datuk Seri Najib sebut walak, pada perhimpunan tahun lepas, walak itu pada perjuangan, walak kepada parti bukan kepada individu.

"Ahli Umno kena ingat, kesetiaan itu kepada parti bukan pada individu, dan kalau dulu saya dikatakan setia kepada Najib, (sebenarnya) bukan setia kepada Najib, tapi kepada presiden parti," jelasnya

Justeru, Nazri merayu sekiranya Najib sayangkan Umno untuk memberi peluang kepada kepemimpinan baru menguruskan parti itu.

Nazri turut mengingatkan Zahid bahawa beliau bukan lagi setiausaha politik kepada Najib, sebaliknya adalah presiden parti.

Ia ekoran keputusan diambil Ahmad melantik Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN tanpa mengambil kira padangan pimpinan parti yang lain.

Malah kata Nazri, naib presiden Umno dan Majis Tertinggi (MT) tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Polis tahan individu disyaki terlibat bikin video seks kaitkan menteri

Dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah dikenal pasti, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berkenaan dalang itu, beliau berkata pihaknya telah mempunyai ‘bayangan’ dalang yang terlibat kes itu, dan telah membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kes itu.

“Siasatan kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video berkenaan.

“Dalam kes ini, kami kesan terdapat wujud konspirasi dan pakatan pihak tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan seorang menteri, untuk menjatuhkan seseorang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Malam Semarak Kasih Perumahan Blok Melati Polis Diraja Malaysia di Setiawangsa, di Kuala Lumpur malam tadi.

Abdul Hamid berkata sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, pihaknya akan melakukan tindakan menahan semua yang terlibat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada saksi berkaitan, serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.

“Mereka yang terlibat dalam menyebarkan (menularkan) video seks sejenis berkenaan juga akan diambil tindakan. Kita sedang mencari siapa yang salah guna laman sosial untuk sebarkan video itu menerusi telefon-telefon bimbit yang dikesan,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kertas siasatan kes berkenaan perlu dikemas kini dan ditambah baik, dengan pasukan Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman yang menyiasat kes berkenaan terpaksa berulang alik ke Sandakan, Sabah dan ia makan masa yang lama.

Katanya terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil dan diteliti terlebih dahulu, sebelum kertas siasatan melibatkan individu yang terlibat dalam video seks itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Tindakan yang perlu diambil itu pun atas arahan daripada pihak pendakwa raya, sebab kita telah pun menghantar fail itu dua kali dan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, dengan yang terakhir pada Khamis lepas.

“Pihak Jabatan Peguam Negara memberikan arahan-arahan tertentu untuk mendapatkan keterangan kes, maka kami dapatkan kenyataan daripada individu terlibat, terpaksa ke Sandakan,” katanya.

Mengenai ketulenan video itu, Abdul Hamid berkata video itu telah dihantar ke makmal untuk pengecaman dan ia memakan masa untuk mendapat keputusan.
-Bernama