"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa jadi pemangsa, bomoh cedera dibelasah kini berdepan tuduhan cabul

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pengamal perubatan tradisional yang menjadi mangsa pukul sekumpulan lelaki baru-baru ini kini berdepan dakwaan mencabul seorang gadis.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata kes itu disiasat susulan laporan terhadap lelaki terbabit.

Menurutnya, seorang gadis berusia 15 tahun mendapatkan rawatan tradisional di rumahnya di Pasir Tumboh, Kota Bharu pada pagi 2 Ogos lalu.

“Rawatan dijalankan seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan ustaz.

“Semasa rawatan dijalankan, suspek dikatakan bertindak memegang dan meraba seluruh badan mangsa.

“Mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya yang kemudian telah membawa remaja terbabit membuat laporan polis,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Kubang Kerian, semalam.

Menurut laporan sebelum ini, lelaki terbabit cedera dipukul sekumpulan lelaki selepas dikatakan menjalankan rawatan yang salah.

Lelaki terbabit dikatakan dibelasah termasuk dengan menggunakan penyangkut baju.

Sementara itu, Shafien berkata, suspek dalam kes berkenaan adalah individu yang dilaporkan menjadi mangsa dalam kes pukul tersebut.

“Dalam kes pertama (pukul) dia sebagai mangsa, tapi kes kedua ini dia sebagai suspek.

“Mangsa dikatakan selalu mengalami masalah histeria dan dipercayai disebabkan gangguan makhluk halus.

“Keluarga mangsa menghubungi suspek yang berusia 39 tahun dari Perlis itu untuk menjalankan rawatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 14(1) (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Difahamkan, pengamal perubatan berusia 39 tahun itu masih ditahan di hospital atas masalah kesihatan dan akan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Ahli PKR lapor SPRM, dakwa MB Kedah salah guna kuasa

B Nantha Kumar

Seorang ahli PKR membuat laporan kepada Suruhan Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyalahgunakan kuasa dalam pemberian sebuah projek berkaitan sektor pelancongan negeri.

Indrani Selvakumar, ahli PKR cabang Sungai Siput membuat laporan di Ibu pejabat SPRM, Putrajaya pagi tadi.

Dia mendakwa mempunyai bukti projek bernilai RM1 bilion itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat di mana pengasas yang juga salah seorang pengarah syarikat itu telah muflis.

"Saya ada bukti menunjukkan kerajaan negeri Kedah memberi projek kepada sebuah syarikat di mana salah seorang individu dalam syarikat digelar muflis.

"Individu yang sama pernah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti atas dakwaan manipulasi pasaran.

"Soalannya, bagaimana syarikat dia boleh dianugerah projek bernilai RM1 bilion. Saya mengharapkan SPRM akan membuat siasatan terperinci mengenai kes ini," katanya ketika dihubungi.

Malaysiakini telah menghubungi Sanusi untuk mengulas lanjut dakwaan itu.

Mahiaddin nak wajibkan suntikan vaksin?

COVID-19: Kerajaan pertimbang wajibkan suntikan vaksin - PM

Nur Fazlizai Ali

KUALA TERENGGANU: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang Oktober ini.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu dijangka diputuskan pada bulan hadapan sejurus kajian menyeluruh selesai dilaksanakan.

Menurut Muhyiddin, kajian berkenaan termasuk ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin.

Jelasnya, sekiranya peruntukkan itu dilaksanakan kelak, individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin COVID-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.

“Jadi bila nanti kita sudah analisa, kalau peratusan agak kecil sangat tidak membimbangkan… tapi kalau besar (peratusan) maka kita kena cari jalan sama ada nak gunakan sebagai mandatori dari bawah undang-undang sedia ada tindakan berdasarkan undang-undang.

“Saya cuma nak gambarkan itu akan diputuskan kerajaan dalam tempoh mungkin kalau tak bulan ni bulan hadapan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Taman Tamadun Islam (TTI), sempena lawatan kerjanya ke Terengganu pada Khamis.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzah Hashim.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin berkata, sebanyak 590,000 lagi dos vaksin akan dihantar ke Terengganu bulan ini untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin di negeri berkenaan.

Mengulas mengenai suntikan vaksin kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun, Muhyiddin berkata, perkara itu akan diputuskan sebaik vaksinasi terhadap rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas selesai diadakan.