"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada pihak mahu musnah organisasi Pas dari dalam, kata Ketua Pemuda Pas yang baru

MALAYSIA DATELINE

Ketua Pemuda Pas yang baharu dilantik, Ahmad Fadli Shaari mendakwa, ketika beliau dan rakan-rakannya berusaha untuk memulihkan imej Pas di luar, ada pihak yang berusaha memusnahkan Pas dari dalam.

Sehubungan itu, ketika memberikan ucapan sulong sebagai Ketua Pemuda Pas, ahli parlimen Pasir Mas itu berjanji akan memberikan fokus untuk berusaha untuk membersihkan semula Pemuda Pas.

“Ketika saya berada di Dewan Rakyat, Haji Khairil (bekas ketua pemuda) di Dewan Negara, kami memberikan fokus untuk membuat outrich keluar, memperkenalkan Pas kepada rakyat di peringkat nasional, kerana kita baru berada dalam kerajaan.

“Tetapi rupa-rupanya dalam kita membuat kerja untuk nak tingkatkan imej Pemuda di luar, ada orang bekerja dari dalam untuk memusnahkan organisasi kita.

“Justru saya tidak melihat apabila saya berada di tempat ini melainkan kami terpaksa fokus balik ke dalam untuk melakukan usaha-usaha pembersihan sekaligus dibantu oleh organisasi Pemuda Perikatan Nasional,” kata beliau dalam ucapan itu. 

Fadli tidak menyatakan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan tindakan memusnahkan organisasi Pas itu.

Sebelum ini, bekas ketua pemuda Pas, Haji Khairil Nizam memaklumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu.

“Ya (tidak bertanding),” katanya ringkas kepada Sinar Harian melalui WhatsApp pada Sabtu ketika ditanya mengenai kesahihan keputusan beliau yang tidak akan mempertahankan jawatan itu.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas telah menerima borang pencalonan daripada Pas kawasan di seluruh negara yang mencalonkan Khairil Nizam bagi jawatan tersebut.

Dua nama lain dicalonkan ialah timbalannya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pemuda Pas, Mohd Nadzim Ahmad Azmi berkata, Khairil Nizam memaklumkan mengenai keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda Pas Malaysia yang diadakan pada Khamis lalu.

“Kami menghormati keputusan beliau dan menyerahkan urusan peralihan kepimpinan Pemuda Pas kepada Muktamar Pemuda Pas yang akan berlangsung akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Keputusan sudah dibuat, PN itu sendiri diisi banyak ‘katak’

MOHD SAYUTI OMAR

Apabila Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menerima Idris Haron dan Nor Azman Hasan sebagai calon mereka, ramai yang tidak puas hati dan marah-marah. Dengan menganggapnya sebagai katak, mereka yang marah berpendapat tidak perlu mereka diambil.

Ada munasabahnya. Seawalnya saya juga berkira begitu. Namun, dalam politik atau apa-apa pertubuhan apabila ia dibuat keputusan secara majoriti ia hendaklah dihormati.

Pimpinan PH tentu ada perkiraannya sendiri kenapa mereka berdua diambil. Perlawanan tentu inginkan kemenangan. Mungkin mereka fikir dua orang boleh menyumbang kemenangan maka mereka diambil.

Sebenarnya masalah katak itu dan moral politik, bukan sahaja ada dalam PH, dalam Umno dan PN juga ada.

Bahkan, kesemua yang berada dalam PN itu terdiri daripada mereka yang boleh dianggap katak. Berbandingkan parti mana yang banyak jumlah katak.

Begitu juga dengan Pas, apakah parti itu ada moral apabila hidup dengan mengekang tetapi akhirnya meninggalkan Umno cerai tidak bertalak. Itu lagi kejam. Perbuatan dan tindakan Pas terhadap Umno lagi sadis.

Jadi, perbetulkan akal politik anda. Atau kalau sudah hilang sabar dan tidak dapat menerima hal-hal kotor begitu, elok sertai parti MUDA pimpinan Syed Saddiq. Parti budak yang tidak faham cara orang tua berfikir.

Ulama Pas harap Umno kalah PRN Melaka

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berharap Umno tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Walaupun begitu, dia masih menyayangi gagasan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan Umno yang dimeterai pada 14 pada 14 September 2019.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu juga berkata, kekalahan Umno dalam PRN Melaka perlu agar makna kepentingan agama, negara dan ummah benar-benar difahami.

“Kalau tanyakan saya, apakah saya sayangkan MN? Wallahi saya jawab saya sayangkan MN, kerana pembinaannya berteraskan roh persaudaraan Islam.

“Namun, dalam PRN Melaka, saya merasakan Umno perlu kalah untuk Umno benar-benar memahami erti persaudaraan dan kepentingan agama, negara dan ummah.

“Mudah-mudahan kekalahan Umno di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Pas akan bertembung dengan Umno di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka apabila meletakkan calon bertanding di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Walaupun bersama-sama Umno dalam gagasan MN, Pas dalam PRN Melaka memilih untuk membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.

Keputusan Pas meletakkan calon di DUN yang juga ditandingi Umno itu sekali gus akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Mokhtar menyeru agar pengundi Pas ‘mengajar’ Umno tentang ilmu politik.

“Oleh itu, semua pengundi Pas perlu menjadi guru politik kepada Umno,” tegasnya lagi.