"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sarawak mahu tukar gelaran ketua menteri kepada 'perdana menteri'

Malaysiakini 

Kerajaan negeri Sarawak akan menukar gelaran ketua menteri kepada perdana menteri (premier) Sarawak.

Hal ini akan dilakukan melalui pindaan terhadap perlembagaan negeri apabila DUN Sarawak bersidang buat kali pertama sejak kemenangan besar GPS dalam pilihan raya negeri lalu.

Adun Bawang Assan, Wong Soon Koh, ketika dihubungi mengesahkan wakil rakyat Sarawak telah dimaklumkan mengenai pindaan perlembagaan itu.

"Ia adalah satu daripada lima rang undang-undang yang akan dibentangkan pada 15 Feb," katanya.

Rujukan lain terhadap gelaran ketua menteri dalam perlembagaan negeri juga akan digantikan dengan premier di bawah Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022.

Rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Perkara 7(A) perlembagaan negeri Sarawak untuk menukar gelaran pembantu menteri kepada timbalan menteri.

DUN Sarawak akan bersidang esok dan rang undang-undang pindaan perlembagaan itu akan dibentangkan pada Selasa.

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg yang mengetuai GPS meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Sarawak Disember lalu.

GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN. RUU itu dijangka akan diluluskan dengan mudah dalam sidang DUN.

Perangai BN, makan semeja satu lauk tapi tikam belakang'

Malaysiakini 

Kestabilan politik hanya boleh dicapai jika Umno dan BN disekat kemaraannya untuk kembali memerintah, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor.

Ini kerana Umno-BN selepas mendapat kuasa mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan pilihan raya negeri, katanya.

“Formulanya Umno tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang Umno mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Mnteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

“Kita tengok negeri lain bila mereka (Umno) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya, petik Sinar Harian.

Menteri besar Kedah itu dilaporkan merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai di Johor, semalam.

‘Zahid ikut formula Anwar’

Menurut Sanusi, BN khususnya Umno dilihat terus menjadi pihak yang mencetuskan perbalahan sehingga sukar mencapai kesepakatan dengan PAS.

“Dia macam kita duduk satu rumah, makan satu meja masak satu lauk, tetapi dia tikam belakang kita, inilah lah perangai BN. Kita kalau nak hidup aman, lidah dengan hati mesti sama.

“Mereka (Umno) sudah menerima macam-macam tetapi tetap tamak kerana mereka kalau boleh mahu semua.

"Tengok apa yang mereka tidak dapat, jika bukan jawatan menteri mesti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” dakwa Sanusi.

Sementara itu, Sanusi juga mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggunakan formula Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mahu menunjukkan parti mereka sudah kembali diterima rakyat dengan menuntut mengadakan beberapa PRN.

“Ini strategi digunakan Anwar dan diikut pula oleh Zahid yang juga anak muridnya. Mereka (Umno) mahu tunjuk yang konon mereka sudah mendapat keyakinan kembali, itu sebab mereka buat PRN demi PRN.

“Beza sikit daripada Anwar, kalau boleh lihat berapa beliau (Anwar) berjaya buat Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2008 hingga 2013 tetapi tidak boleh buat PRN kerana ketika itu tiada negeri yang goyah, Zahid berjaya lakukan,” katanya lagi.

Di Melaka, wakil rakyat Umno yang berpaling tadah membawa kepada pilihan raya mengejut, manakala di Johor, Umno mewajarkan perlunya pilihan raya negeri baru kerana pemerintahan dengan majoriti tipis satu kerusi.

Mengulas kenyataan Sanusi, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata parti lain yang menyebabkan ketidakstabilan.

Tanpa menyebut nama, dia memetik insiden sebuah parti menjatuhkan kerajaannya sendiri selepas 22 bulan, menukar menteri besar kurang setahun selepas dia memegang jawatan, menukar ketua parti negeri, dan mengancam pilihan raya mengejut yang memaksa PRN Johor.

Ini rujukan jelas kepada Bersatu, yang merupakan rakan pilihan PAS selepas sebahagian besarnya meninggalkan Umno.

"Kestabilan politik adalah sinonim dengan Umno," kata Shahril.

Bayi menggelupur kepanasan, isteri melecur, disimbah minyak panas

PETALING JAYA: Seorang pemotong ayam dipercayai sanggup menyimbah minyak panas terhadap isteri dan bayi perempuannya yang berusia empat bulan akibat cemburu kononnya pasangannya itu mempunyai hubungan sulit.

Dalam kejadian pada petang Jumaat, di Semabok, Melaka Tengah, lelaki berkenaan bagaimanapun ditahan serta direman empat hari, bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Lim Meng Seah, berkata kesan perbuatan lelaki itu, isterinya mengalami kesan melecur di bahagian paha kiri, manakala bayinya yang menggelupur kepanasan melecur di bahagian belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki kiri dan kanan.

Beliau berkata suspek berusia 24 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana cemburu kononnya isteri yang sudah dikahwini hampir tujuh tahun itu didakwa mempunyai hubungan sulit.

“Semasa kejadian, wanita berkenaan sedang menggoreng ayam sambil mendukung anak bongsunya sebelum suspek tiba-tiba datang dan mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sehingga berlaku pertengkaran mulut.

“Mangsa ketika itu menjelaskan pada suspek tentang hubungannya dengan lelaki tersebut dan pada masa yang sama anak bongsunya (bayi) menangis.

“Suspek bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan telah bertindak mengangkat kuali di dapur serta terus menyimbah minyak panas ke arah isteri serta anak bongsunya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, akibat tindakan suspek itu, isterinya yang berusia 22 tahun serta bayi perempuan yang juga anak keempat mereka melecur di beberapa anggota badan.

“Akibat perbuatan suspek itu bayi mereka menangis dan menggelupur kepanasan sebelum ibu suspek datang dan membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Melaka,” katanya.