"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 DUN akan bubar, Pulau Pinang masih bincang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dan Perak dilaporkan sedang dijalankan, manakala perbincangan sedang diadakan di Pulau Pinang sama ada akan mengadakan pilihan raya negeri dan persekutuan secara serentak.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man dan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dilaporkan sedang memohon perkenan raja dan sultan masing-masing untuk membubarkan DUN.

Namun, tiada tarikh untuk sesi menghadap sultan dan raja ditetapkan.

Perlis, Pahang dan Perak diterajui Barisan Nasional, di mana Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, negeri pimpinan gabungan itu akan dibubarkan selaras pembubaran Parlimen.

Pakatan Harapan, yang mentadbir Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini berkata, tiga DUN itu akan berkhidmat sehingga penggalnya tamat.

Tetapi, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow daripada DAP berkata, pemimpin parti itu akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan perkara itu sebelum mengatur pertemuan dengan rakan komponen PH di negeri itu.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah pula berkata, parti itu yang memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan DUN, meskipun perdana menteri sudah mengumumkan pembubaran Parlimen.

“Keputusan itu masih terpakai, namun apa berlaku sehari dua lagi saya tidak tahu. Kita ada masa untuk bubar DUN paling cepat adalah Mac tahun depan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Di Sabah, Ketua Menteri, Hajiji Noor dilaporkan berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah dan BN masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempohnya.

Empat negeri mengadakan pilihan raya negeri (PRN) berasingan selepas PRU 2018.

Sabah mengadakan PRN pada September 2020, disusuli Melaka pada November 2021, Sarawak (Disember 2021) dan Johor (Mac 2022). Empat DUN ini mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum mencapai tempoh matang.

Pengumuman penting: 'Banjir akan ditunda'? untuk beri laluan kepada PRU25

Banjirlah yang kena tunda, PRU ‘on’ – Orang ramai perli perutusan ‘last’ Ismail Sabri

FAZLI RADZI

Bukan Pilihan Raya Umum (PRU) yang kena tunda tetapi banjir. Itu antara sindiran orang ramai yang membanjiri media sosial susulan perutusan ‘last’ bukannya khas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi.

Rata-rata rakyat mengecam keputusan pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa hari ini serentak menyeru agar pengundi menghumban Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

“Jangan lupa siapa yang buat Langkah Sheraton semasa Covid-19. Siapa buat PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah semasa pandemik dan kini kita berhadapan dengan musim banjir.

“Humban mereka yang membuat keputusan yang salah, buat rakyat sengsara,” kata seorang warganet.

Tidak kurang juga yang berpendapat musim tengkujuh sengaja dipilih bagi memberi kemenangan kepada pihak BN.

“Dia tahu ramai tak akan keluar untuk undi sebab banjir. Sekaligus BN akan menang PRU 15,” kata Prashan Gunaseharan.

Malah, ada yang menyeru agar PRU15 inilah masanya untuk rakyat termasuk pengundi muda seawal 18 tahun bangkit menolak parti dengan pemimpinnya yang ramai terbukti rasuah sehingga wujud istilah ‘kluster mahkamah’.

Dalam masa sama, netizen turut mendoakan agar pemimpin zalim yang tergamak melihat rakyat dihimpit kesusahan terpaksa keluar mengundi semasa tempoh banjir supaya segera dilaknat.

“Inilah masanya kita humban pemimpin PNgkhianat, penyamun, gila kuasa dan gagal pada PRU nanti.

“Allahuakbar! Ada rakyat sedang ditimpa bencana banjir. Terang-terang berjuang bukan untuk rakyat. Hasbunallah wani’mal wakil…

“Semoga Allah SWT melaknati mereka yang memperjudikan nasib rakyat ketika musibah bakal melanda semata-mata kegilaan kuasa mereka,” selar netizen lagi.

Hari mengundi mungkin sebelum 10 Nov

Robin Augustin

PETALING JAYA: Pilihan raya umum ke-15 mungkin diadakan sebelum 10 Nov ini, iaitu sebelum musim tengkujuh diramalkan bermula pertengahan bulan depan.

Sumber politik berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya mungkin menetapkan tarikh seawal 5 Nov nanti, iaitu Sabtu.

Tarikh pada minggu pertama November itu mungkin sejajar hasrat Yang di-Pertuan Agong supaya Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil kira musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan bulan depan.

“Jadi, kemungkinan besar PRU akan diadakan sebelum 10 Nov. Mungkin seawal 5 Nov, iaitu pada Sabtu,” menurut sumber itu.

SPR dijangka mengadakan mesyuarat minggu ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Pada 2018, SPR menetapkan hari mengundi pada Rabu, 9 Mei selepas Parlimen dibubarkan pada 7 April. Bagi PRU13 pada 2013, Parlimen dibubarkan pada 3 April dan hari mengundi pada 5 Mei, Ahad.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama dua minggu semasa PRU13 dan PRU14.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Parlimen dibubarkan hari ini untuk memberi laluan kepada PRU15 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi yang bermula sejak akhir bulan lalu.