"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN akan cabar kemenangan Hadi di Marang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) akan mencabar kemenangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang dan keputusan dua lagi kerusi Parlimen di Terengganu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan media, petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 di Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu itu akan difailkan oleh Umno Terengganu.

Tiga kerusi Parlimen itu dimenangi calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 yang berlangsung pada 19 Nov lalu. Semua petisyen itu difailkan kerana didakwa berlakunya rasuah oleh PN.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said dijangka membuat sidang media esok bersama beberapa peguam berhubung petisyen tersebut, lapor Sinar Harian.

Ahmad tewas di kerusi Parlimen Kemaman kepada calon PAS Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.

Marang dimenangi Hadi dengan majoriti 41,729 undi manakala Kuala Terengganu dipertahankan calon PAS Amzad Hashim dengan majoriti 40,907 undi.

Pada Sabtu lalu, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, petisyen akan difailkan di tiga kerusi Parlimen.

“Kami mempunyai bukti kukuh ada kesalahan pilihan raya dilakukan terutama sekali melibatkan merasuah pengundi,” katanya tanpa mendedahkan tiga kerusi Parlimen itu.

Sudah Lebih Sebulan Guru Ini Hilang Ketika Tunai Umrah

MALAYSIADATELINE

Walaupun telah lebih sebulan dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah, usaha untuk mencari dan mengesan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49, tetap diteruskan oleh keluarganya.

Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26, berkata dia sendiri akan berangkat ke Makkah pada Jumaat ini (20 Jan) dan akan berada di Tanah Suci selama kira-kira 14 hari.

Dia yang akan ditemani oleh adiknya, Muaz, 17, dan beberapa rakan ayahnya itu akan terus mencari kerana mereka sekeluarga termasuk ibunya, Zurina Muhammad@Shamsuddin, 49, yakin yang ayahnya masih lagi hidup.

“Saya sendiri akan mengedarkan poster yang memaparkan wajah babah apabila berada di Makkah nanti setelah selesai mengerjakan umrah dan berharap dengan usaha ini, ia akan membuahkan hasil dengan ayah berjaya dijumpai nanti.

“Saya turut berharap usaha dan harapan saya sekeluarga untuk menemukan babah akan terus mendapat kerjasama daripada kedua-dua kerajaan (Malaysia dan Arab Saudi),” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan di kediaman guru berkenaan di Sri Gading, di sini, hari ini.

Jelas Muhammad Nabil lagi, dia bersama keluarga turut berikhtiar dengan merujuk beberapa pengamal perubatan Islam, serta tidak putus-putus mengadakan solat hajat.

Sementara itu, Muaz yang bersama Musthafa Kamal yang mengerjakan umrah ketika itu berkata ayahnya disedari hilang apabila tiada di bilik hotel setelah menyatakan dirinya tidak sihat dan tidak keluar untuk mengerjakan tawaf bersama.

Beliau berkata pada mulanya dia tidak bimbang kerana ayahnya fasih berbahasa Arab dan beranggapan melakukan tawaf sendirian, namun mulai risau apabila tersebar gambar ayahnya yang memakai ihram di dalam kenderaan dipercayai ambulans melalui aplikasi WhatsApp.

“Mutawif kemudiannya pergi ke hospital untuk mencari babah tetapi diberitahu yang babah telah keluar dan telah dihantar pulang ke hotel, tetapi ketika semakan di hotel mendapati dia tiada di premis itu. Namun pada hari ketiga kehilangan babah, beg silang kepunyaannya dipulangkan ke hotel,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan Musthafa Kamal yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

— BERNAMA

Suami isteri rugi RM30,000 disamun 4 lelaki berparang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemandu bas dan isterinya berdepan detik cemas apabila empat lelaki bersenjatakan parang menceroboh rumah mereka dalam kejadian di taman perumahan di Nilai, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim, berkata dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, suspek dilaporkan memanjat pagar dan masuk ke dalam rumah mangsa yang tidak berkunci lalu mengacukan parang kepada isteri lelaki itu yang sedang menggosok baju di sebuah bilik.

Katanya, suspek kemudian mengarahkan wanita itu dan suaminya masuk ke dalam sebuah bilik.

“Suspek meminta wanita itu menyerahkan barang kemas dipakainya sebelum mereka menggeledah rumah mangsa.

“Semua suspek itu kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa berusia 45 tahun dan isterinya berusia 46 tahun tidak dicederakan tetapi pemeriksaan mendapati wang tunai milik mereka berjumlah RM9,500 hilang.

“Kerugian dialami mangsa akibat kejadian itu dianggarkan berjumlah RM30,000. Kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dengan senjata,” katanya.

Malik berkata, polis mempergiatkan usaha mengesan suspek terlibat dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian melaporkan ke balai polis terdekat atau menghubungi talian 06 7904222.