"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 lelaki bertopeng, berparang samun rumah di Sri Andalas

MUHAMMAD AMINNURALIFF

KLANG - Satu keluarga menempuh detik mencemaskan apabila disamun sekumpulan lelaki berparang dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Andalas di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 9.05 pagi.

"Siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, kesemua suspek menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana berhenti di hadapan rumah mangsa.

"Kesemua suspek terdiri empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang itu kemudian memasuki pintu hadapan rumah mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, ketika kejadian terdapat tiga ahli keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita lingkungan umur antara 46 hingga 88 tahun berada di dalam rumah tersebut.

"Suspek kemudian mengarahkan kesemua mangsa duduk dalam bilik utama sambil diawasi dua lagi suspek.

"Salah seorang suspek bertindak mengambil rantai leher yang dipakai oleh dua mangsa manakala suspek lain menyelongkar bilik dan beg tangan milik mangsa sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan dengan menggunakan kenderaan yang sama," katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian dipercayai kira-kira RM25,000.

"Barangan yang disamun melibatkan beberapa jenis barang kemas bernilai kira-kira RM24,000, wang tunai anggaran RM800 dan sebuah telefon bimbit jenis Iphone telah hilang.

"Salah seorang mangsa turut mengalami kecederaan di jari kelengkeng kiri akibat menahan pintu semasa suspek cuba masuk ke dalam rumah," katanya.

Ujar Hoong Fong, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Usaha memburu kesemua suspek terlibat sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 0333762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

AWAS!!! Jangan sarapan makanan dan minimum ini

- Foto hiasan
BANGKOK: Jabatan Kesihatan Thailand meminta masyarakat mengelak mengambil cakoi atau Pa Thong Ko dengan teh ais Thai ketika sarapan kerana makanan itu membekalkan terlalu banyak tenaga sekali gus menjejaskan kesihatan.

Nasihat itu diberikan selepas dua makanan kegemaran tempatan itu mencapai kedudukan 10 teratas di TasteAtlas, panduan pelancongan dalam talian yang memfokuskan makanan dan memaparkan ulasan serta cadangan daripada golongan profesional dan pengkritik masakan di seluruh dunia.

Bulan lalu, Pa Thong Ko menduduki tempat kelima dalam senarai 10 makanan jalanan yang dinilai terbaik di dunia di TasteAtlas, manakala teh ais Thai ialah minuman bukan alkohol yang ketujuh dengan penarafan terbaik.

Memetik laporan CNA, Pa Thong Ko, kudapan rangup yang digoreng adalah hidangan sarapan biasa di Thailand dan biasanya dimakan bersama susu pekat manis dan kopi.

"Untuk sarapan pagi yang sihat, dinasihatkan untuk mengelakkan makanan segera yang memberikan terlalu banyak tenaga atau perlu digoreng berulang kali seperti Pa Thong Ko dengan susu pekat manis dan teh ais Thai," kata Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Dr Suwanchai Wattanayingcharoenchai dalam satu kenyataan semalam.

Pa Thong Ko ialah versi Thai untuk donut Cina yang dipanggil Youtiao. Berdasarkan data Biro Pemakanan, 100 gram (g) Pa Thong Ko menghasilkan 441kcal dan mengandungi 40.56g karbohidrat serta 27.79g lemak.

Dua Pa Thong Ko bersaiz sederhana mempunyai berat kira-kira 30g, menghasilkan kira-kira 132kcal tenaga, dan mengandungi 12g karbohidrat dan 8g lemak.

"Pa Thong Ko ialah makanan ringan mengandungi karbohidrat dan lemak tepu, serta membekalkan tenaga yang tinggi. Ia sesuai untuk mereka yang ingin menambah tenaga. Walau bagaimanapun, makanan itu juga mengandungi paras natrium yang tinggi daripada soda bikarbonat atau garam. Jadi, ia tidak sesuai untuk orang yang mempunyai tiroid yang terlalu aktif dan tekanan darah tinggi," kata Dr Suwanchai.

Beliau juga menjelaskan Pa Thong Ko biasanya digoreng dalam minyak masak kitar semula, yang boleh menyebabkan kanser, dan menasihatkan pengguna supaya tidak makan lebih daripada dua doh goreng setiap hari.

Teh ais Thai juga boleh menyebabkan masalah kesihatan. Menurut Dr Suwanchai, 200 militer (ml) teh ais Thai mengandungi 69g karbohidrat, 15g lemak dan 53g gula, – kira-kira 13 sudu teh dan boleh menghasilkan 430kcal.

Setiap hari, katanya, badan tidak boleh mengambil lebih daripada enam sudu teh gula. Pengambilan teh ais Thai yang kerap boleh menyebabkan diabetes, kanser, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit kardiovaskular dan serebrovaskular.

"Paling penting, jangan lupa bersenam untuk membakar tenaga bersama dengan diet anda," katanya. - AGENSI
-bhariaan

Anwar berjaya kekal kestabilan politik dari awal

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah melakukan yang terbaik memastikan kestabilan politik dalam tempoh 100 hari beliau berkuasa, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keputusan Anwar memanggil undi usul percaya susulan pelantikannya dan pembentukan Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah antara pendekatan yang mengukuhkan lagi pentadbirannya.

Beliau berkata, Anwar juga bertindak segera dalam melunaskan hak Sabah dan Sarawak sebagai kunci utama menjamin kestabilan.

Kerajaan perpaduan diterajui Anwar menaikkan geran khas tahunan untuk Sabah dan Sarawak sekurang-kurangnya 10 kali ganda kepada RM260 juta (Sabah) dan RM300 juta (Sarawak). Negeri-negeri Borneo itu juga diberikan autonomi atas projek infrastruktur bernilai kurang RM50 juta.

“Kestabilan ini membolehkan Anwar memberikan fokus kepada kedudukan ekonomi negara dan mengukuhkan hubungan dengan negara tetangga,” katanya Awang Azman kepada FMT.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkongsi pandangan serupa, dengan berkata ketegangan berlaku pada kadar minimum dalam kalangan parti membentuk kerajaan walaupun berbeza ideologi, merujuk kepada Umno dan DAP.

Bagaimanapun, Azmi berkata, Anwar berdepan cabaran kesan ketidakstabilan dalam Umno, yang mengundang ancaman terhadap kemampuannya mengekalkan kerajaan pimpinannya.

“Pemilihan Umno akan menentukan nasib kerajaan perpaduan. Saya percaya Umno boleh bertahan dan mengekalkan status quo,” katanya sambil menambah, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar boleh bertahan sehingga habis penggal.

Penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Nadzri Mohamed Noor, pula mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, walaupun Anwar mempunyai majoriti kukuh di Parlimen, ini tidak bermakna kerajaannya tidak boleh ditumbangkan oleh gerakan seperti Langkah Sheraton.

“Pada masa ini, pembangkang mungkin rasa menjadi mangsa dan akan cuba mencari jalan keluar,” katanya merujuk dakwaan pemimpin Bersatu menjadi mangsa pendakwaan politik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, serta menahan bendahari agung parti itu, Salleh Bajuri, bagi siasatan berhubung dana parti.

Bagaimanapun, Nadzri mengakui undang-undang anti-lompat parti, selain pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Yang di-Pertuan Agong bermakna sukar bagi mana-mana parti menjalankan apa jua gerakan politik.

Nadzri, yang mengetuai Jabatan Sains Politik UKM berkata, beliau tidak rasa Anwar melakukan sedaya mungkin dalam meraih sokongan pembangkang, seperti yang dilakukan pendahulunya, Ismail Sabri Yaakob, menerusi memorandum persefahaman (MoU).

Katanya, mencapai konsensus bersama pembangkang menjamin kestabilan politik.

Kerajaan perpaduan Anwar dianggotai Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dengan sokongan Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, dan Ahli Parlimen bebas.