"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polisi gila rakyat pun jadi gila

Nak 'testing' mercun katanya
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
RAKAMAN tular menunjukkan suspek membakar mercun di lebuh raya. FOTO tular
RAKAMAN tular menunjukkan suspek membakar mercun di lebuh raya. FOTO tular
Ampang Jaya: Lelaki ditahan selepas membakar mercun di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhadapan Petronas Tesco Ampang.

Suspek yang berusia 35 tahun itu memberi alasan membakar mercun sebagai percubaan kerana diminta pelanggan yang mahu membeli mercun dijual rakannya.

Sumber berkata, lelaki terbabit ditahan di tepi jalan selepas video dia membakar mercun di lebuh raya tular di media sosial.

"Suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat. Tujuan dia membakar mercun adalah 'testing' seperti diminta pelanggan.

"Video yang tular itu dirakam oleh pelanggan berkenaan. Siasatan lanjut berhubung kejadian kini sedang dijalankan," katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang juga pemandu lori itu mendapati dia negatif sebarang penggunaan dadah.

"Permohonan reman terhadap suspek sedang dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan terbabit.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Bukan ‘yes-man’ – Kejujuran Hassan Karim meresahkan pimpinan PKR

K. Parkaran

JOHOR BAHRU: Hassan Karim, Ahli Parlimen PKR yang lantang bersuara, menyuarakan pandangan jujurnya mengenai kerajaan Anwar Ibrahim meresahkan beberapa pemimpin parti.

Ada antara pemimpin yang menghantar mesej kepadanya “menyatakan saya perlu lebih mengawal diri kerana PKR kini adalah kerajaan”.

Bagaimanapun, beliau memberitahu FMT: “Sejauh mana saya memahami kebimbangan mereka, sukar untuk saya menahan diri atas perkara membabitkan prinsip. Kita memerlukan kejujuran politik.”

Hassan, yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, adalah antara penyokong kerajaan perpaduan yang lantang.

Beliau juga telah menjelaskan bahawa penggal ini adalah adalah penggal terakhir beliau sebagai Ahli Parlimen.

Hassan berkata, beliau bimbang “salah langkah” kerajaan boleh merugikan kerajaan dalam pilihan raya akan datang.

Dalam gesaan terbaharunya kepada Pakatan Harapan, Hassan berkata gabungan itu berisiko ditolak pengundi jika bekas perdana menteri Najib Razak diampunkan dan tuduhan rasuah terhadap timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan.

“Mana-mana senario akan menjadi malapetaka kepada kerajaan,” katanya.

Hassan, yang mengenali Anwar Ibrahim selama lebih setengah abad, berkata, “Saya tidak pernah menjadi seorang “yes-man” dan saya tidak akan pernah”.

Beliau berkata: “Saya berada di barisan hadapan semasa protes Baling sebagai pemimpin pelajar yang diketuai oleh Anwar pada 1974. Selepas itu, saya mengetuai protes setinggan di Johor Bahru, apabila mereka menahan saya. Saya telah dibuang dari Universiti Pertanian Malaysia dan biasiswa saya daripada Sultan ditarik balik.

“Ketua Cawangan Khas kemudiannya berkata saya boleh mendapatkan kembali semuanya jika saya sanggup mengaku bahawa anasir subversif telah menggunakan saya untuk mencetuskan pemberontakan secara langsung di TV. Saya berfikir sejenak, berdiri dan terus berlalu pergi. Mengapa saya perlu berbohong?”

Hassan yang juga seorang peguam, berkata beliau tidak takut untuk menyuarakan pandangannya ketika itu dan tidak akan berhenti sekarang, walaupun beberapa pemimpin parti mahu dia melakukannya.

“Jika kita tidak bersuara ketika parti menuju ke laluan yang memudaratkan, kita akan merugikan rakyat yang percaya kepada kita. Jadi, saya akan buat apa yang perlu untuk negara,” kata Hassan.

CAP kesal kerajaan benar penjualan mercun, bunga api

SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal apabila kerajaan memberi kebenaran penjualan mercun dan bunga api.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, dengan kebenaran tersebut, ia menyebabkan peniaga haram akan mengambil kesempatan untuk menjual jenis bunga api yang dilarang di pasaran.

Menurutnya, walaupun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Meng memberi amaran kepada penjual haram bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas, perkara itu dilihat tetap akan berlaku.

"Kami amat kesal apabila kerajaan menarik semula larangan penjualan mercun dan bunga api. Ia amat berbahaya kepada orang awam khususnya kanak-kanak. Baru-baru ini, dua kes dilaporkan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Dengan kebenaran penjualan mercun dan bunga api ini, ia akan menyebabkan permintaan di pasaran lebih tinggi. Secara tidak langsung akan memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyeludup bahan api tersebut ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Februari, kerajaan bersetuju untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

Kor Ming dilaporkan berkata, untuk itu Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan untuk itu, manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet semalam selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil kepada negara.

Sementara itu, Mohideen berkata, ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka bermain mercun dan bunga api sehingga tercedera juga perlu diambil tindakan tegas.

"CAP memohon kerajaan mengkaji semula kebenaran menjual mercun dan bunga api dengan mematuhi Akta Bahan Letupan 1957. Haramkan sepenuhnya penjualan kesemua bahan api yang berbahaya ini.

"Sekurang-kurangnya kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang agar peniaga haram tidak mengambil kesempatan ke atas kelonggaran yang diberikan. Kerjasama pembeli juga penting, yang mana pembeli boleh menggunakan kuasa mereka supaya tidak membeli daripada penjual haram," katanya.

Selain itu, beliau berkata, CAP juga menggesa pihak berkuasa antaranya polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia supaya memperhebatkan operasi selain mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan serta penjualan bunga api dan mercun di seluruh negara.

"Pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah termasuk hukuman penjara dengan tempoh lebih lama.

"Kita percaya, jika penguatkuasaan dipertingkatkan, penyeludupan dapat dibendung," ujarnya.