"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin Umno kata ‘Pujukan’ Fadhli bukti PAS terdesak pertahan Sg Bakap

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari disifatkan terdesak apabila ‘memujuk’ ahli Umno menyokong Perikatan Nasional (PN) termasuk pada PRK Sungai Bakap, dengan alasan untuk menyelamatkan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Sharkar Shamsudin, berkata Fadhli cuba bermain psikologi yang mungkin dilakukannya untuk mempengaruhi pengundi kerana tertekan mempertahankan kerusi itu.

“Ini semua taktik lama. Taktik ‘reverse’ psikologi.

“Logiknya teori wakil PAS ini menunjukkan (parti itu) terdesak (dan) bimbang kerajaan perpaduan iaitu calon PKR menang. Itu sahaja,” katanya kepada FMT.

Fadhli dalam siri ceramah PRK Sungai Bakap malam tadi membuat gesaan itu dan turut mendakwa Umno tidak akan bangkit selagi berada dalam kerajaan perpaduan.

Dakwanya, ini kerana pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama DAP tidak mahu melihat Umno menjadi parti besar seperti dahulu.

Pandangan Sharkar turut dipersetujui seorang lagi Ahli MKT Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan PAS terdesak dan meminta belas kasihan apabila memerlukan.

“PAS tahu undi Umno menentukan kekalahan PN di Sungai Bakap,” katanya.

Di sebalik ‘pujukan’ Fadhli itu, Nur Jazlan berkata Umno komited dengan kerajaan perpaduan dan tidak memerlukan PAS yang pernah menjadi rakannya selepas PRU14 sebelum ‘berpisah’ menjelang PRU15.

PRK Sungai Bakap Sabtu depan menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan calon PH Joohari Ariffin dengan Abidin Ismail daripada PN.

Sebelum ini, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan berusaha menarik seramai mungkin pengundi ‘putihnya’ termasuk ahlinya bagi memastikan kemenangan Joohari, mewakili kerajaan perpaduan.

Katanya, ahli Umno yang menjadi pengundi berjumlah 5,105 orang di lapan pusat daerah mengundi.

Lima askar maut ketika latihan kereta kebal seberang sungai

BERNAMA

New Delhi: Lima askar India maut ketika menyeberangi sebatang sungai di Wilayah Ladakh dengan menaiki sebuah kereta kebal pada Sabtu.

Mereka adalah peserta satu latihan kereta kebal di Daulat Beg Oldie, Wilayah Ladakh berhampiran Garisan Kawalan Sebenar (LAC) dengan China, lapor media tempatan.

Paras air naik dengan mendadak berikutan banjir kilat semasa mereka menyeberangi sungai pada awal Sabtu, menenggelamkan kereta kebal T-72 yang dinaiki mereka, menurut laporan itu.

"Sungguh menyedihkan dengan kehilangan lima askar tentera darat India yang berani dalam kemalangan yang tidak diduga ketika menyeberangi sebatang sungai di Ladakh," kata Menteri Pertahanan Rajnath Singh.

Penguat kuasa ditahan berkait suapan RM60,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan seorang anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta wang suapan sebanyak RM60,000 daripada seorang individu sebagai balasan bagi menutup kes melibatkan kesalahan menipu.

Sumber SPRM berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan 11 malam semalam di sekitar ibu kota.

Menurut sumber, suspek berjumpa individu itu di sebuah restoran di Kuala Lumpur tetapi menghilangkan diri selepas mengarahkan individu itu menunggunya di lokasi tidak jauh dari restoran bagi menyerahkan wang rasuah yang diminta.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selepas keterangannya direkodkan,” kata sumber itu, menurut Bernama.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.