"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu penjaja belon: Muhammad Za'imuddin berisiko lumpuh

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
MUHAMMAD Za’imuddin, berkerusi roda (dua kanan) ditemani ibunya Hasnah bersama peguam, Muhammad Rafique Rashid dua kiri) dan Dr Hafidz Rizal (kiri) pada sidang media. FOTO Aswadi Alias
MUHAMMAD Za’imuddin, berkerusi roda (dua kanan) ditemani ibunya Hasnah bersama peguam, Muhammad Rafique Rashid dua kiri) dan Dr Hafidz Rizal (kiri) pada sidang media. FOTO Aswadi Alias
Kuala Lumpur: Muhammad Za'imuddin Azlan berisiko lumpuh kekal selepas saraf tulang belakang toraks T12 cedera teruk akibat dihempap dan dicederakan dalam insiden kekecohan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, pada 28 Mac lalu.

Pegawai perubatan swasta, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran yang mengiringi Muhammad Za'imuddin berkata, lelaki itu boleh lumpuh secara kekal dan ketika ini perlu rehat dan tidak melakukan kerja berat dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

"Hasil laporan perubatan ini menunjukkan 'T12 kemek' atau compressed, banyak komplikasi dan yang paling kita risau sekali, dia mula rasa kebas dan pesakit tidak dapat mengawal kencing.

"Dan komplikasi yang kita tak nak berlaku adalah risiko lumpuh. Kita berdoa dalam tempoh tiga hingga enam bulan, dia kembali pulih," katanya dalam sidang media selepas Muhammad Za'imuddin selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Dalam sidang media itu, Muhammad Za'imuddin, 29, ditemani ibunya, Hasnah Mat Isa, dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Menurutnya, sepatutnya pada 18 April ini, Muhammad Za'imuddin perlu menjalani pembedahan hernia di skrotum yang sudah membesar.

"Bagaimanapun, akibat kejadian ini, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan dan kini fokus rawatan adalah tulang belakang T12 yang tidak boleh bergerak terlalu banyak.

"Jika ditanya skala kesakitan daripada satu hingga 10, Muhammad Za'imuddin boleh katakan skala pada lapan hingga sembilan, memang sakit kerana ia membabitkan saraf di kiri dan kanan," katanya.

Dr Mohd Hafidz berkata, dalam nota discaj Muhammad Za'imuddin juga dikepilkan salinan sijil cuti sakit selama 48 hari.

"Dalam tempoh itu, dia tidak boleh bergerak dan semestinya tidak boleh menjual belon lagi," katanya.

Sementara itu, Hasnah Mat Isa, 54, ibu kepada Muhammad Za'imuddin, terkilan dengan kejadian yang berlaku terhadap anak kedua daripada tiga beradik itu.

"Anak saya hanya mencari rezeki yang halal, tidak patut dia diperlakukan kejam sebegini. Kami akan teruskan ambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan DBKL," katanya.

Ditanya bagaimana dia mengetahui kejadian itu, dia melihat video yang tular di media sosial dan terkejut diberitahu itu anak lelakinya.

"Saya terus menghubungi suami dan diberitahu itu memang anak kami. Saya sedih kerana sepatutnya anak perlu menjalani pembedahan hernia dan mencari wang untuk membiayai kos rawatan itu," katanya.

'Podcast' selesaikan kes wanita hilang 40 tahun lalu

Agensi
KAREN Schepers hilang pada 1983. Minggu lalu, kereta dan mayatnya ditemukan di sungai di Illinois. FOTO Instagram @chaos_divers
KAREN Schepers hilang pada 1983. Minggu lalu, kereta dan mayatnya ditemukan di sungai di Illinois. FOTO Instagram @chaos_divers
Washington: Rangka wanita dilapor hilang lebih empat dekad lalu ditemukan di sungai di Illinois, Amerika Syarikat (AS), dan penemuan itu hasil usaha polis yang melancarkan audio siar bagi mencari jawapan bagi kehilangannya.

Portal Global News melaporkan, rangka itu ditemukan di dalam sebuah kereta yang ditarik dari Sungai Fox, kira-kira 30 kilometer (km) dari Chicago, minggu lalu.

Polis Elgin berkata, rangka itu adalah Karen Schepers, yang kali terakhir dilihat pada April 1983 dan berumur 23 tahun ketika dilaporkan hilang.

Menurut WGN9 Chicago, Schepers dan Toyota Celica kuningnya hilang kira-kira 1 pagi 16 April 1983, selepas wanita itu meninggalkan bar sewaktu keluar malam bersama rakan sekerja.

Kes itu tidak selesai kerana petunjuk awal adalah samar-samar dan tiada maklumat baharu tersedia.

Bagaimanapun, Jabatan Polis Elgin menubuhkan Cold Case Unit dan membuka semula kes orang hilang Scheper pada Mei tahun lalu.

Detektif Andrew Houghton dan Matt Vartanian diberi lampu hijau untuk memulakan audio siar bertajuk 'Somebody Knows Something: The Elgin Police Cold Case' mendedikasikan episod pertama mereka, yang disiarkan pada 20 Januari tahun ini, untuk kes Schepers.

Detektif terbabit dalam audio siar itu bersembang dengan rakan Schepers yang mengemukakan beberapa teori boleh menjelaskan kehilangannya.

Antara teori itu termasuk Schepers mahu meninggalkan kehidupan lamanya dan membina semula hidup di tempat baharu, bunuh diri, diculik atau dibunuh oleh seseorang, dan terbabit kemalangan.

Berdasarkan semua teori berkenaan, detektif membuat keputusan untuk mencari di laluan air, dengan menyatakan bahawa paras air di Sungai Fox adalah luar biasa tinggi ketika kehilangan Schepers.

Polis bekerjasama dengan kumpulan Illinois, dikenali sebagai Chaos Divers, untuk mencari dan meneroka beberapa lokasi dengan menggunakan teknologi sonar.

Pada 24 Mac, seorang penyelam menemukan rangka Schepers di Sungai Fox. Rekod pergigian membuktikan rangka yang ditemukan di dalam kenderaan itu adalah wanita berkenaan, walaupun polis masih tidak jelas bagaimana atau mengapa keretanya terbabas di dalam air.
-hmetro 

Penjelasan mudah kesan dari kenaikan tarif Amerika

Harapandaily

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan secara ringkas mengenai punca kenaikan tarif Amerika Syarikat dan kesan daripada pelaksanaan keputusan itu.

Zafrul mengumpamakan Amerika Syarikat sebagai sebuah pasar raya yang menjual pelbagai produk buatan negara itu sendiri dan buatan negara luar.

Disebabkan rakyat AS lebih membeli barangan luar daripada barangan buatan negara itu, tauke kedai mengenakan ‘yuran masuk’ bagi negara-negara yang ingin memasarkan produk mereka di kedai itu.

“Bayangkan Amerika Syarikat ini macam kedai besar. Sekarang ini orang Amerika suka sangat beli barang dari kedai lain sebab harganya lebih murah berbanding barang yang ‘made in USA’.

“Jadi, bos kedai marah. Mulai sekarang kalau barang luar nak masuk kedai kita, kena bayar yuran masuk. Contoh bayangkan China jual baju dekat Amerika sebelum ini harga baju itu USD100 sahaja. Selepas Amerika kenakan tarif 54 peratus kepada China, harga baju itu jadi USD154.

“Bos kedai Amerika ingat bila dah mahal macam ini orang Amerika tak beli dah barang dari luar. Syarikat-syarikat Amerika yang dulu buat kilang dekat luar pun akan balik buka kilang dekat Amerika

“Tapi bila barang dari luar jadi mahal, siapa yang kena bayar yuran masuk itu? Rakyat Amerika,” katanya.

Zafrul berkata, susulan pengumuman tarif baharu oleh Donald Trump, banyak produk dari luar negara akan dijual lebih mahal, sekali gus dikhuatiri akan meningkatkan lagi inflasi.

“Pengguna Amerika terpaksa berjimat sebab inflasi naik tinggi, semua barang dah mahal. Bila orang kurang beli, ekonomi pun jadi perlahan.

“Negara yang jual barang dekat Amerika pun tak suka barang dia orang tak laku, ekonomi dia orang boleh terjejas,” katanya.

Kesan lain yang akan dihadapi Amerika adalah potensi negara-negara luar melakukan tarif timbal balas iaitu dengan mengenakan tarif yang tinggi ke atas produk AS.

“Dia orang (negara luar) pun cakap, okay kalau macam itu barang dari Amerika pun kena bayar yuran masuk juga. Contohnya Kesatuan Eropah (EU) jual kereta dekat Amerika lepastu Amerika kenakan tarif.

“Sekarang EU pun kenakan tarif dekat kacang soya dari Amerika. Kalau semua negara kenakan yuran masuk dekat barang masing-masing, semua barang jadi mahal. Ekonomi dunia boleh jadi lembab sebab permintaan turun. Semua orang akan susah.

“Malaysia pun akan kena tempiasnya. Kita banyak eksport ke Amerika lebih kurang 16 peratus dari keseluruhan eksport kita.

“Bila Amerika kenakan tarif, barang kita dekat sana jadi mahal. Buat masa ini impak kepada kita nampaknya tidak berapa teruk berbanding ramai jiran kita,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, Vietnam 46 peratus, Thailand 37 peratus, Indonesia 32 peratus.

Bagi mengurangkan kesan tarif, Zafrul berkata, Malaysia sedang memperluaskan pasaran eksport dengan memberi keutamaan kepada rantau yang berkembang pesat serta memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedia ada, termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Awal tahun ini Malaysia sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu.

Malaysia juga sudah mulakan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea pada tahun lepas.

Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk mencari penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua pihak.

*Tarif adalah cukai ke atas perniagaan yang membawa masuk produk ke negara itu.