"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Berpuluh tahun Umno tentang DAP, sokongan Melayu tetap merosot'

Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang & Ng Xiang Yi

Sokongan orang Melayu terhadap Umno tetap merosot meskipun berpuluh tahun parti itu bertentangan dengan DAP, kata Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu menegaskan kerjasama parti itu dengan DAP dan sekali gus PH adalah bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Pada masa sama, katanya, Umno kekal bersama BN dan bukannya menyertai PH

Berucap bagi merasmikan persidangan tahunan sayap-sayap Umno di Kuala Lumpur malam ini, Mohamad berkata mereka memang tahu siapa DAP, PKR dan Amanah yang menjadi komponen PH.

Dalam keadaan begitulah, kata menteri pertahanan berkenaan, Umno membuat keputusan bekerjasama untuk membentuk kerajaan bersama PH berdasarkan penelitian yang paling sesuai.

Ia juga, kata Mohamad, membolehkan Umno menguruskan perbezaan.

"Biar saya tegaskan di sini juga, bahawa selama berpuluh tahun, kita bertentangan dengan DAP. Semua orang tahu itu.

"Tetapi, adakah dengan pendirian sedemikian orang Melayu berduyun-duyun mendukung kita? Dan menjadikan kita semakin kuat dan semakin berpengaruh dengan pendirian sedemikian?

"Keputusan beberapa pilihan raya umum lepas, jelas menampakkan bahawa, disebalik cemuhan kita kepada DAP, sokongan Melayu tidak meningkat, malah merosot," katanya.

Mohamad berkata pilihan itu adalah lebih baik berbanding bekerjasama dengan PN yang dianggotai parti bertujuan untuk membunuh Umno.

Katanya Mohamad lagi, faktor yang mendorong orang Melayu menyokong atau menolak Umno ternyata bukanlah pendirian parti itu terhadap DAP selama ini.

"Sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan kita meyakinkan orang Melayu bahawa kepentingan bangsa dapat diperjuangkan dengan lebih baik dengan Umno. Termasuklah (dengan cara) kerajaan yang kita pimpin itu bebas rasuah dan tiada penyalahgunaaan kuasa.

"Yang menjadi kayu ukur sokongan Melayu (kepada Umno) ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi kita, bukan kerana semata-mata kita menentang ideologi parti itu dan parti ini," katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu lagi, sokongan masyarakat bukan Melayu merosot dengan amat drastik semenjak beberapa pilihan raya umum lalu.

Sehingga dalam keadaan tertentu, kata Mohamad, Umno tewas kerana tidak mampu mendapat walau lima peratus sokongan daripada mereka.

"Telah lama kita abaikan undi golongan bukan Melayu ini," tambahnya.

PANAS!!!: 'Panggilan telefon pemimpin PAS ke Zambry bongkar Langkah St Regis PN'

Haspaizi Zain & Shakira Buang

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mendedahkan mengenai kewujudan 'Langkah St Regis' diatur beberapa ahli parlimen parti itu bersama pemimpin PN.

Kata Ahmad Zahid ia bukan saja untuk menggagalkan pembentukan kerajaan perpaduan malah cuba untuk menyingkirkan ahli parlimen Bagan Datuk terbabit sebagai pengerusi BN.

Menurut pemimpin Umno yang enggan namanya didedahkan, Ahmad Zahid pada sesi taklimat presiden yang berlangsung petang tadi turut mendedahkan 10 nama ahli parlimen mereka yang menyerahkan akuan bersumpah (SD) bagi mengangkat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-10.

Menurutnya, ketika kemelut politik melanda dan mesyuarat BN diadakan, hanya 26 ahli parlimen yang hadir, manakala baki empat lagi - yang memberikan sokongan kepada Muhyiddin - tidak datang dengan memberi alasan kesihatan.

"Presiden memaklumkan pada masa Dewan Tertinggi (BN) bersidang telah ada perancangan dibuat untuk menyingkirkan beliau (Ahmad Zahid) selaku pengerusi BN.

"Jika langkah itu berjaya, Muhyiddin telah sedia menanti di Hotel St Regis (di Kuala Lumpur) untuk mendapatkan sokongan BN," katanya.

Bagaimanapun kata sumber terbabit rancangan sulit itu terbongkar apabila Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, tiba-tiba dihubungi seorang pemimpin kanan PAS-PN.

Dalam perbualan itu, katanya, pemimpin PAS-PN itu bertanya mengapa ahli-ahli parlimen BN belum sampai ke hotel berkenaan.

"Katanya Muhyiddin sudah sedia menanti di Hotel St Regis," katanya selepas taklimat presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC), petang tadi.

Zahid namakan 10 tandatangan SD sokong Muhyiddin

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Sumber dalaman mendedahkan Presiden Umno, Zahid Hamidi, menamakan 10 orang yang menandatangani akuan berkanun menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin selepas PRU15.

Sumber yang menghadiri taklimat khas petang tadi berkata suasana dalam bilik taklimat itu menjadi kecoh apabila nama-nama disebut.

“Mereka mengebu nama-nama yang disebut presiden,” katanya.

Difahamkan taklimat khas hari ini dihadiri oleh biro politik dari bahagian-bahagian Umno.

Sumber enggan mendedahkan nama-nama yang disebut itu kepada FMT, namun berkata individu berkenaan memang sudah dijangka akan menyokong Muhyiddin.

Taklimat petang tadi diadakan sebelum perasmian perhimpunan agung Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno malam ini.