Li Fook Gao
Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang lebih rela menjadi khadam rakyat dan menjadi nelayan daripada bercita-cita mencari jawatan, mengkagumkan pelbagai sekali lagi semalam ketika Program Pelancaran Karnival Tahun Baru Cina di Alor Setar.
(Ustaz Hadi ketika membantu seorang mangsa lemas di pantai Rusila 2010 lalu)
Saya tidak mengenali Ayah Chik, nama panggilan manja untuk TG Hadi, secara dekat mahupun lama, tapi sekadar melalui kenyataan-kenyataan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar Ayah Chik yang dilaporkan di media mulai 2010.
Kali pertama, Ayah Chik mengkagumkan saya ialah melalui kemunculan video bagaimana Ayah Chik sanggup terjun ke laut untuk menyelamatkan seorang hampir lemas di Pantai Rusila pada 2010.
Tiada ego, tiada terasa dirinya sebagai seorang VIP dan terlupa dirinya sebagai seorang presiden parti kedua terbesar Malaysia, itulah antara bacaan saya tatkala saya menonton video aksi Ayah Chik bertungkus lumus cuba menyelamatkan satu nyawa dalam keadaan berkain pelikat tanpa memikirkan keadaan dirinya yang sudah tidak muda.
Kali kedua, Ayah Chik mengkagumkan saya ialah tatkala Ayah Chik menggulung Muktamar PAS ke 58.
Itu adalah pertama kali saya terhibur, tersentak dan terpegun dengan isi ucapannya yang begitu padat dan bernas.
Tiada satu saat yang saya terasa mengantuk. Ucapan Ayah Chik sudah bertambah hebat sebab akhirnya saya terasa mudah diikut, walaupun untuk seorang bukan Islam seperti saya. Ucapan ini jauh berbeza dengan ucapan Ayah Chik yang terdahulu – kali ini cukup ralik, cukup berazam dan cukup mempunyai roh dengan berselang-seli dengan klasik hiburan tersendiri.
Daripada wajah ahli-ahli PAS yang mendengar, ternyata di hati mereka, Presiden PAS ialah ‘Ayah Chik’ mereka. Tuan Guru Presiden sudah dianggap sebagai seorang bapa kepada semua ahli PAS yang tertawan dengan ilmu yang terserlah daripada diri Ayah Chik.
(Membantu memadamkan api dalam kebakaran di asrama Maahad Darul Quran)
Kemudian, saya terkagum buat kali ketiga apabila melihat Ayah Chik dengan berpakaian pelikat dan pakaian di dalam rumah membantu menyelamatkan kebakaran di Sekolah Maahad Darul Quran yang merupakan sekolah Ayah Chik sendiri yang selalu memberikan kuliah di situ.
Apabila Ayah Chik berbahasa Cina semalam di Kedah ketika berucap di majlis Tahun Baru Cina, saya kagum untuk buat kali keempat.
Seorang Tuan Guru yang disanjung tinggi, seorang pakar agama Islam, berbangsa Melayu, belajar bahasa Cina untuk menghiburkan hadirin yang hadir – cukup berbeza dan cukup terkesan. Tuan Guru Presiden PAS berucap dalam Cina? Biar betul? Betul.
Menurut setiausaha politik Ayah Chik, Dr Ahmad Samsuri, Ayah Chik belajar berbahasa Cina dengan seorang guru Mandarin petang sebelum majlis bermula.
Bukan itu sahaja, Ayah Chik turut menulis kaligrafi Cina "吉" yang bererti ‘tuah’ untuk dihadiahkan kepada warga Tiong Hua dalam majlis tersebut.
Mengapa perkara ini bermakna? Selain tulisan itu betul (bukan sepertimana yang tersilap tulis dalam sebuah video ucapan Tahun Baru Cina seorang VIP yang dipaksa tontonkan berulang-kali kepada warga Tiong Hua di setiap pawagam) dan tulisan itu ditulis begitu indah oleh Ayah Chik.
(Menulis kaligrafi Cina di Alor Setar semalam)
Dalam acara menggaul Yee Sang selepas itu, boleh dilihat cara Ayah Chik memegang chopstik seperti seorang yang telah menggunakannya untuk waktu yang lama.
Peristiwa-peristiwa ini pada hemat saya, menunjukkan kehebatan Ayah Chik sebagai pemimpin yang keluarbiasaannya ialah sifat kesantaian dan ‘rakyat biasa’nya.
Kehebatan Ayah Chik menyerlahkan lagi slogan yang dicanangkan kebelakangan ini – “Kita juga rakyat biasa, Kita adalah Pakatan Rakyat.”
Ayah Chik adalah contoh terbaik kepada rakyat bahawa inilah Pakatan Harapan Rakyat – yang dipilih rakyat, ditadbir rakyat dan bekerja untuk rakyat – yang menerajui Putrajaya pada PRU13 nanti.
Akhir sekali, Hidup Rakyat! Takbir!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan