"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hidayah Islam buat Lauren Booth

NURBAYA ABDUL REZAK
Lauren Booth
Lauren Booth
Lauren Booth
Lauren Booth
Lauren Booth bersama keluarganya.
"Saya terkejut apabila diberi peluang berurusan dengan kelompok wanita pelbagai umur, patuh menutup aurat serta berjawatan tinggi dalam pekerjaan. Percaya atau tidak, wanita Islam sebenarnya berkebolehan, melakukan tugasan sama seperti kami wanita Barat, malah ada yang menjadi bos kepada suami di pejabat tetapi berubah karakter sebagai suri rumah apabila melangkah ke dalam rumahnya,".

Lauren Booth, 46, bertugas sebagai wartawan penyiaran dan aktivis kemanusiaan yang pernah mencetuskan kontroversi apabila beliau memeluk Islam pertengahan September 2010.

Berstatus adik ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair memudahkan lagi Lauren menerima tamparan kritikan media.

"Betapa pantasnya akhbar media Britain mencela semua perkara yang saya buat khususnya apabila tindakan saya memeluk Islam.

"Status sebagai wanita berpendidikan, seorang ibu, petugas media sejak 20 tahun lalu dikecam sejurus saya melafazkan syahadah dan memakai hijab di khalayak umum. Mereka mendakwa tindakan saya disebabkan masalah kemurungan, krisis pertengahan umur atau terdesak kerana sesuatu," kata Booth.

Secara lahiriahnya, Booth sudah lama mempertahankan Islam, hak-hak orang Islam, mengecam dan mengutuk penindasan terhadap umat Islam dan sentiasa berada di barisan paling hadapan membela kumpulan ini.

Blair juga adalah antara individu yang sering dikritik Booth kerana dasar pentadbiran melibatkan isu ketenteraan, kewangan serta penindasan terhadap krisis di Asia Barat.

Katanya, keputusan memeluk Islam disebabkan pengalaman spiritual yang dialaminya sewaktu mengunjungi makam Fatima Al-Masumeh di Qom, Iran.

"Pada petang Khamis itu, saya duduk berhampiran makam tetapi secara tiba-tiba saya seperti disuntik sejuta ketenangan yang sukar diungkapkan.

"Minda dan jiwa saya terasa bagai dilalui air yang dingin dan sekembalinya ke Britain, saya terus memeluk Islam," katanya.

Sejak itu, Booth terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. Belajar menutup aurat, sembahyang lima kali sehari di masjid dan membaca al-Quran.

Beliau juga terus meninggalkan minuman keras yang menjadi kegemaran selama ini.

“Perkara ini sangat menghairankan kerana dahulunya setiap hari saya pasti meneguk arak satu atau dua gelas sehari,” katanya.

Tabah dan redha dikritik

Booth mengakui sebaik sahaja mengumumkan statusnya sebagai seorang Islam, pelbagai kritikan dan komen pedas dilemparkan terhadap dirinya.

"Tidak banyak yang perlu dipertahankan, namun kita harus menerima dengan hati terbuka dan teruskan perjalanan dengan bijaksana," katanya.

Malah, aktivis kemanusiaan ini enggan mengulas lanjut tindak balas bapanya (Tony) mengenai tindakan anak keenamnya memeluk Islam. namun satu laporan media mendedahkan, Tony juga bekas pelakon amat kecewa dengan Booth. Beliau menyifatkan penukaran agama Booth sebagai 'anak yang tiada kerohanian dalam diri' dan sangsi dengan keikhlasan wanita itu.

Sementara itu, ibunya Cohen, menyambut perubahan Booth dengan air mata kegembiraan sebaik mendengar anak perempuannya itu diberi kesempatan merasai pengalaman yang mendamaikan.

Jelas Booth, walaupun dicaci pelbagai pihak termasuk oleh ahli keluarga sendiri, beliau masih menganggap mereka telah menerima keputusannya itu.

"Adik perempuan saya sanggup menyediakan hidangan ayam belanda halal kepada saya sewaktu menyambut Hari Krismas," katanya.

Beliau juga amat gembira apabila kedua-dua anak perempuannya memandang positif agama yang dianutinya kini.

"Sebaik sahaja mereka dimaklumkan saya memeluk Islam, hanya tiga soalan diajukan kepada saya iaitu, adakah saya akan berhenti minum minuman keras, hisap rokok dan mendedahkan dada? Saya mengiakan. Kemudian mereka bersorak dan berkata
'Kami sayang Islam'," katanya.

Biografi

-Lauren Booth atau Sarah Booth dilahirkan pada 22 Julai 1967 di Islington, London.

-Beliau ialah anak keenam pelakon, Tony Booth dan Pamela Smith (Cohen).

-Berkahwin dengan aktor dan produser, Craig Darby dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alexandra dan Holly.

-Bertugas sebagai wartawan untuk akhbar Mail Weekly, Sunday Times dan Daily Mail.

-Pengulas akhbar Britain untuk stesen Sky News, BBC One dan BBC News 24.

-Menjejakkan kaki di Tebing Barat, Palestin untuk menemu bual Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada 2005 dan 2006. Dalam tempoh itu, Booth diberi peluang menyampaikan dua ceramah kepada Kumpulan Pemerhati Media Arab dan Masyarakat Geografi Diraja, mengenai keadaan penduduk di Tebing Barat dan Gaza.

-Pada 2006, menyertai pertandingan realiti TV, I'm a Celebrity... Get Me Out of Here!, bagi mengutip derma untuk Tabung Bantuan dan Pembangunan Palestin (Interpal).

-Pada 2008, menyertai kembara sekumpulan 46 orang aktivis ke Gaza dengan kapal Cyprus bagi menyiarkan berita mengenai sekatan terhadap Semenanjung Gaza dan mendapat visa perjalanan khas daripada Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh, kemudian meninggal Gaza melalui sempadan Rafah ke Mesir pada 20 September tahun sama.

-Muncul dalam rancangan TV Islam Channel's Global Peace and Unity pada 2010 dan mengaku sebagai seorang Islam.

-Pada tahun sama, Booth menjadi pengacara program Islam televisyen Britain, In Focus dan Between The Headlines yang disiarkan oleh kerajaan Iran.

-Jun 2011, beliau menyertai organisasi hak asasi kemanusiaan Islam, Cageprisoners.

Tiada ulasan: