"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salahuddin kepada Nur Jazlan, ‘Dah confirm ke jadi calon?’

Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mempersoalkan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed apakah beliau sudah pasti dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
Menurut ahli parlimen Kubang Kerian itu, beliau yakin akan bertanding di Johor dan tidak kisah untuk berhadapan dengan mana-mana calon BN di negeri yang dikatakan “kubu kuat” gabungan pemerintah itu selepas beberapa kali turun ke negeri itu.

“Tanya dengan Nur Jazlan, dia tu dah confirm ke jadi calon?
“Kenapa dia panas sangat bila saya nak bertanding di Johor? Kenapa dia resah dan bimbang sangat? Saya kata saya bertanding di Johor, belum tentu saya akan lawan dia,” kata Salahuddin yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Menurutnya, beliau tidah perlu takut untuk bertanding dengan mana-mana calon BN di Johor, kerana beliau sudah turun padang dan menjalankan program-program PAS dan Pakatan Rakyat (PR) di negeri selatan tersebut, dan beliau menerima maklum balas positif dalam memastikan usaha PR memecahkan kubu kuat BN itu.

“Saya sudah berbincang dengan pimpinan PAS pusat yang saya akan bertanding di Johor. Kerusi mana itu tak tentu lagi, sama ada Pulai, atau mana-mana, tetapi di Johor,” kata Salahuddin lagi.

Salahuddin mengatakan beliau tidak fokus kepada undi kaum Cina semata-mata, yang dikatakan kini lebih cenderung ke arah PR, tetapi beliau yakin mampu memenangi undi dari masyarakat Melayu dan India di Johor.

Hari ini Nur Jazlan dalam satu kenyataan berkata beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan Salahuddin sekiranya ahli parlimen Kubang Kerian itu berhasrat untuk bertanding di kerusi parlimen berkenaan pada Pilihan Raya 2013.

Beliau yang sudah dua penggal dipilih sebagai ahli parlimen Pulai, tidak bimbang untuk berhadapan dengan Salahuddin.

“Saya dan Salahuddin tiada masalah di Parlimen...beliau kawan saya, jika benar beliau mahu bertanding di kerusi parlimen Pulai, saya mengalu-alukan beliau untuk datang ke sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sebenarnya, ia satu penghormatan kepada saya jika Salahuddin memilih untuk bertanding di parlimen Pulai memandangkan beliau adalah anak kelahiran Pontian tapi mungkin beliau tidak yakin bertanding di sana, jadi memilih untuk bertanding di kerusi parlimen Pulai.

“Pada masa sama, Salahuddin adalah naib presiden PAS dan mahu bertanding dengan seorang Ketua Umno bahagian biasa, jadi sudah pasti ia satu pertandingan yang amat menarik...tapi jangan anggap beliau akan mendapat laluan mudah di Pulai.”

Nur Jazlan berkata, faktor pengundi bukan Melayu yang kini melebihi pengundi Melayu berkemungkinan tarikan utama Salahuddin untuk bertanding di kerusi parlimen Pulai.

Katanya, berdasarkan warta terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi Parlimen Pulai kini berjumlah 99,542 dengan Melayu 48 peratus; Cina, 41 peratus; India, 10 peratus dan Lain-lain, satu peratus.

Dalam PRU 12 pada 2008, Nur Jazlan mengalahkan calon PAS, Abdullah Ideris dengan majoriti 20,449 undi manakala pada 2004, ketika kali pertama bertanding beliau mengalahkan calon dari PKR, Md Nasir Ab Wahab dengan majoriti 34,926 undi.

Tiada ulasan: