Syed Imran
Menurut Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcede), Barisan Nasional (BN) tiada kelebihan yang boleh memberi sumbangan besar kepada kemenangannya pada pilihan raya umum ke-13 dalam sebulan dua ini.
Bagi saya, ia bukan satu maklumat yang memeranjatkan. Perdana Menteri merangkap pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat perkiraan yang kurang tepat apabila dia menangguh pilihan raya sehingga menghampiri tarikh luput.
Antara alasan yang diberi oleh pengarah Umcede, Mohamad Redzuan Othman, BN tidak lagi mampu melakukan persempadanan semula kawasn pilihan raya untuk memberi kelebihan kepadanya selain faktor pilihan raya mengejut yang sudah berlalu.
Kita tidak tahu sebab musebab kepada Najib tidak berani menghadapi pilihan raya lebih awal sedangkan ia memberi sedikit kelebihan kepada BN. Mungkin Najib dikelilingi para penasihat yang kurang bijak atau mereka tidak menyokongnya 100 peratus.
Saya kurang yakin dengan ramalan beberapa orang pmimpin UMNO/BN yang menyatakan bahawa parti itu mampu memperolehi lebih banyak kerusi - ada yang sebut 145. Saya berpendapat BN tidak mampu berbuat demikian. Sukar bagi BN untuk mencapai kelebihan dua pertiga.
Pada PRU-13 ini, BN tidak boleh terlalu bergantung kepada Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua 'bank simpanan tetap' itu tidak dapat membantu seperti yang diharapkan. Parti lawan telahpun bertapak dan mendapat sokongan di wilayah Malaysia Timur itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan