"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada bekas PM, bekas menteri kewangan punggah kekayaan berbilion' - Anwar

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan akan menamatkan amalan rasuah yang didakwanya menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan."

Walaupun Anwar tidak menyentuh secara langsung pentadbiran atau nama orang yang dimaksudkannya namun dia menyebut pihak itu sebagai “pernah menjadi menteri kewangan” dan “bekas perdana menteri.”

Kata Anwar, ini sebagai maklum balas terhadap "serangan yang mengatakan seolah-olah kami dalam kerajaan terpalit dalam hal-hal yang sedemikian."

"Saya nak sebut bahawa sikap kita jelas negara ini negara hukum, badan penguatkuasaan diberi kuasa sepenuhnya untuk memantau," katanya ketika memberi amanat khas pada majlis munajat ambang tahun baru 2023 di Masjid Putra di Putrajaya malam ini.

Kata Anwar, pentadbirannya akan meneruskan budaya kesederhanaan, jangan ada pembaziran, memantau semua GLC dan perbelanjaannya.

"Tetapi saya nak nasihat juga rakan-rakan saya yang lain, yang bercakap soal bersih dan hari-hari, saban hari menyerang beberapa tokoh dalam kerajaan perpaduan.

"Apatah lagi orang-orang yang pernah menjadi menteri kewangan, perdana menteri yang tatkala mereka berkuasa itu bukan dipungahnya ratusan juta ringgit, bilion ringgit dipunggah.

"Jadi saya nak nasihatkan bahawa kerajaan ini akan pastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat. Ini bukan kecil jumlahnya," dakwa Anwar tanpa perincian pihak yang berkenaan.

Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berdepan perbicaraan atas pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, mahkamah tinggi telah membebaskan Zahid daripada satu lagi perbicaraan melibatkan 33 pertuduhan kes rasuah sistem visa asing (VLN).

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) antara yang lantang mengkritik pentadbiran Anwar.

Perdana menteri juga mengulas apabila ada yang mengatakan kepadanya bahawa perkara "yang lalu biar berlalu."

"Saudara kalau ada kesan peribadi kepada saya, saya boleh maafkan, malah saya telah maafkan.

"Tapi kalau berterusan tentunya saya akan ambil tindakan.

“Tetapi kesannya kepada rakyat, (yang) bukan ada kuasa seorang perdana menteri untuk lepaskan puluhan ratusan atau bilion ringgit yang dipunggah tatkala mereka berkuasa,” katanya.

Perdana menteri berkata negara akan selamat, terangkat martabat serta harkatnya jika semua pihak mempunyai tekad untuk menghentikan amalan salah guna kuasa dan rasuah.

“Maka badan penguasaan harus juga memikirkan bagaimana helah dan cara supaya jangan rakyat miskin tapi terpukau dengan janji dan slogan kononnya bersih, padahal diselaput dengan ratusan juta kekayaan yang dipunggah daripada mereka.

“Saya sebut hal ini, bahawa ni adalah tugas bersama. Ini bukan soal politik kepartian, ini tugas umat rakyat Malaysia kalau nak jamin negara ini selamat,” katanya.

Tiada ulasan: