Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Wanita hamil tiga bulan dan pasangannya yang dicekup berkhalwat di sebuah motel dalam operasi sempena Tahun Baru 2023. FOTO IHSAN PADKM
Sungai Petani: Wanita hamil tiga bulan antara tujuh pasangan dicekup berkhalwat dalam operasi dilakukan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda sempena Malam Tahun Baru 2023 di sekitar daerah ini, tengah malam tadi.
Dalam operasi itu, berusia 20an itu turut mengaku pernah terlanjur malah mempunyai dua anak hasil hubungan sulitnya dengan pasangan yang berlainan.
Dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Padang Temusu kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, wanita berkenaan ditahan bersama pasangan yang juga berusia 20-an.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, wanita yang belum berkahwin itu mengaku sedang hamil tiga bulan dan dua anaknya yang masih kecil itu dikatakan kini berada dalam jagaan keluarga.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing wanita itu dan pasangannya mendapati mereka positif dadah malah mereka turut gagal menunjukkan Mykad apabila diminta dan memberi alasan hilang.
"Dalam pada itu, dalam serbuan berasingan, sepasang kekasih didapati berpura-pura tidur sewaktu serbuan dilakukan di sebuah hotel di bandar raya ini sekitar jam 1.06 pagi tadi.
"Berikutan itu, anggota penguat kuasa terpaksa menggunakan kunci pendua selepas mengetuk pintu bilik beberapa kali disebabkan pasangan itu enggan membukanya namun gagal apabila pintu dikunci dari dalam.
"Pihak kami akhirnya berjaya membuka pintu bilik berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki berpura-pura tidur di atas katil manakala pasangannya tidur di bawah," katanya.
Mohd Noor Ismardi berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mereka mengaku sudah bertunang dan sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej di Perak.
Katanya, mereka memberi alasan datang ke Sungai Petani untuk menyambut Tahun Baru 2023.
"Kesemua tujuh pasangan yang ditahan dalam operasi malam tadi disertai 50 anggota dari Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan JHEAIK, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Skuad Badar dan imam serta ahli jawatankuasa masjid.
Mohd Noor Ismadi berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan dan diminta untuk hadir mengikut tarikh ditetapkan bagi siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan