"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 pengarah kanan syarikat bergelar Datuk ditahan berkait isu Menara KL

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah kanan syarikat bagi membantu siasatan pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur yang didakwa membabitkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Individu bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan petang tadi di ibu pejabat SPRM. Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Sumber berkata, seorang daripadanya ialah pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara KL manakala seorang lagi ahli perniagaan bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

Disyaki pemilihan syarikat terbabit melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada “orang atasan” bagi membantu pengambilalihan itu.

SPRM sudah menjalankan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, milik penuh Telekom Malaysia (TM).

Beberapa saksi termasuk pegawai kanan TM, Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Kementerian Komunikasi dan Digital serta syarikat terlibat diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berharap semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan.

Tiada ulasan: