"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jabatan Agama Islam Melaka beri amaran pelancong berbikini di Pulau Besar

FMT Reporters
Tangkap layar daripada video tiga minit menunjukkan pelancong wanita asing berbikini di sebuah pantai di Pulau Besar yang tular di media sosial.
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan mengadakan mesyuarat dengan agensi berkaitan bagi membincangkan tindakan boleh diambil, selepas sekumpulan pelancong asing dirakam berbikini di Pulau Besar yang disifatkannya mencemarkan imej dan kesucian pulau itu.

Pengarah JAIM, Che Sukri Che Mat, berkata pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pelancong bukan Islam kerana Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk umat Islam.

Che Sukri berkata, JAIM akan mengadakan mesyuarat khas Selasa depan bersama beberapa agensi berkaitan bagi membincangkan isu pelancong bukan Islam melakukan aktiviti bertentangan ajaran dan budaya masyarakat Islam di Melaka.

“Kita akan adakan mesyuarat khas dengan polis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM) serta beberapa agensi lain berkaitan.

“Mesyuarat itu bakal membincangkan apakah tindakan terbaik boleh diambil terhadap pelancong asing yang merosakkan imej serta kesucian Pulau Besar yang selama ini dihormati dengan nilai-nilai sejarah bermulanya tamadun Islam,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau mengulas video tular tiga minit menunjukkan sekumpulan pelancong wanita asing berkelah dan mandi-manda di Pulau Besar dengan hanya berbikini pada 25 Dis lalu.

Che Sukri memberi amaran kepada pengunjung supaya tidak mengulangi tindakan itu kerana mereka tidak akan berkompromi dengannya.

Katanya, JAIM akan mengambil langkah proaktif seperti mencadangkan MBMB memasang lebih banyak papan tanda mengingatkan pelancong sentiasa berpakaian sopan dan tidak melakukan aktiviti bertentangan ajaran Islam di pulau itu.

“Mungkin ada pelancong tidak tahu sejarah Islam di Pulau Besar, jadi kita juga berharap Rakan Setia Bersama JAIM, pengusaha bot dan penginapan di sini sama-sama membantu pihak berkuasa.

“Misalnya mereka boleh menasihati pelancong menjaga tingkah laku, cara berpakaian serta tidak melakukan aktiviti menyentuh sensitiviti umat Islam, termasuk membawa arak.

“Pakaian sedemikian (berbikini) hanya sesuai di bilik dan bukan ditunjukkan kepada masyarakat di Pulau Besar…jangan memandang enteng.”

Tiada ulasan: