Tsubasa Nair
PETALING JAYA: Gandingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mungkin berlaku sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan dalam BN, kata penganalisis.
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, ini mungkin berlaku sekiranya BN tidak lagi di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika di bawah kepimpinan individu seperti Ismail Sabri Yaakob, Hishammuddin Hussein atau mereka yang menentang kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, maka ya, sudah pasti kepimpinan parti memainkan peranan (sama ada BN bersekutu dengan PN),” katanya kepada FMT.
Felo Majlis Profesor Jeniri Amir turut senada bersetuju perubahan dalam kepimpinan BN mungkin melihat peralihan dalam landskap penyatuan politik ini.
“Perubahan kepimpinan mungkin akan mengubah pendirian politik (gabungan itu), malah kepimpinan baharu mungkin akan mahukan gandingan berbeza,” katanya kepada FMT.
Selain pertukaran dalam kepimpinan BN, Chin berkata faktor paling penting dalam menentukan sama ada gabungan itu akan berganding bahu dengan PN adalah sokongan pengundi Melayu untuk BN dalam pilihan raya negeri pada tahun ini.
Pada 1 Disember, komponen PN, PAS berkata, BN hanya mampu meraih 33% undi Melayu dalam pilihan raya umum (PRU15) November lalu, iaitu pengurangan signifikan berbanding 62% dan 43% diperoleh pada PRU13 serta PRU14. Sebaliknya, PN meraih 54% undi Melayu.
“Antara kejutan terbesar pada PRU15 adalah peralihan pengundi Melayu luar bandar daripada BN kepada PN. Jadi memang ramai tertanya-tanya sama ada peralihan ini sesuatu yang kekal,” kata Chin.
Sekiranya ia peralihan kekal, beliau berkata Umno mungkin risaukan masa depan politiknya, yang mungkin mengakibatkannya memutuskan bahawa masa depannya adalah bersama PN.
“Jika Umno berpendapat menjadi bahawa sebahagian daripada kerajaan perpaduan Pakatan Harapan mampu menjejaskan peluangnya, kepimpinan Melayu akan melihat sama ada peluang mereka lebih cerah jika bersama PN,” katanya.
Jeniri berkata, ini turut bergantung kepada sejauh mana PH “bertolak ansur” dengan BN, termasuk memberi laluan untuk gabungan itu dalam pilihan raya negeri akan datang, dan melantik pemimpinnya ke syarikat berkaitan kerajaan atau agensi kerajaan lain.
Mereka berkata demikian mengulas kenyataan ketua pembangkang Hamzah Zainudin pada Rabu bahawa PN terbuka dengan kemungkinan bekerjasama dengan gabungan lain, termasuk BN.
“Kerjasama ini perlu menjadi dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, Bersatu, PAS, dan Umno. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan