"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan kekasih didakwa bunuh budak 4 tahun

Bernama

Pasangan kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Disember tahun lalu. (Gambar Bernama)

BATU PAHAT: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Disember tahun lepas.

Tertuduh Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa dengan niat bersama membunuh kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu antara 8 pagi hingga 2 petang, pada 23 Dis 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua penganggur itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala kedua-dua tertuduh yang merupakan rakan kepada kakak mangsa, tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 Feb ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.

Di mahkamah berasingan, kakak kepada kanak-kanak itu, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya adik lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Suri rumah itu yang dipertanggungjawab menjaga adiknya didakwa melakukan perbuatan terbabit di Senggarang, Batu Pahat antara 10 pagi hingga 10 malam, antara November hingga Disember 2022.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 12 Jan bagi pendengaran permohonan jaminan oleh peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh manakala 26 Jan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Dis, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan, dipercayai didera oleh kakak dan rakan kakaknya.

Tiada ulasan: