"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno dilihat ‘dingin’ terhadap pelawaan PAS sambung kerjasama

Jason Thomas

PETALING JAYA: Dua ahli akademik ragu-ragu tentang penerimaan pemimpin Umno terhadap pelawaan PAS untuk kembali menyambung kerjasama membina negara.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara percaya pemimpin Umno merasakan langkah bergabung tenaga dengan PAS akan membawanya menuju haluan yang tidak sesuai untuk negara.

James Chin dari University of Tasmania pula berpandangan Umno tidak akan mempertimbangkan kerjasama dengan PAS sebelum pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, yang perlu diadakan menjelang September.

Dalam hantaran di Facebook Ahad lepas, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, prestasi buruk Umno pada PRU15 adalah disebabkan “jenama BN yang terlalu lama” serta “perpecahan dalaman yang tidak diubati”.

Katanya, kekalahan Umno dalam pilihan raya adalah satu “musibah dan pengajaran” dan parti itu mesti melalui “jalan taubat”.

“Justeru Umno mesti bersama PAS … kerana PAS lebih mendahului parti yang lain di dalam komitmennya untuk Islam,” tambahnya.

Bercakap kepada FMT, Azmi menolak cadangan Nik Abduh bahawa PAS mampu berbuat lebih daripada Umno dalam melindungi kepentingan Islam.

Beliau berkata, pengundi Melayu hanya beralih daripada Umno kepada PAS pada PRU November lepas kerana Umno dibelenggu dakwaan rasuah.

Namun Umno ada kelebihan, katanya.

“Umno mampu, dan sudah pun membuktikan mereka dapat diterima secara meluas di seluruh negara seperti yang ditunjukkan dalam tempoh enam dekad ia memerintah negara menerusi Barisan Nasional,” katanya.

“Masalahnya dengan PAS adalah ia mempunyai pandangan melampau dalam banyak isu. Timbul banyak kebimbangan sejurus selesai PRU15 – apabila Perikatan Nasional menang sejumlah besar kerusi – bahawa PAS akan berada dalam kerajaan persekutuan.

“Ini menunjukkan PAS masih tidak diterima secara meluas, hanya di Pantai Timur dan negeri di bahagian utara.

“Umno tidak patut mengikut jejak PAS melainkan Umno mahu menjadi kuat di negeri tertentu sahaja.”

Pada PRU15, BN menang 30 kerusi dengan 26 daripadanya dikuasai Umno. BN kemudian bersetuju membentuk kerajaan hari ini dengan bekas seterunya, Pakatan Harapan (PH), selain gabungan di Malaysia Timur.

Azmi berkata, berbanding mempromosikan identiti Islamnya seperti PAS, Umno mampu melakukan lebih baik menarik pengundi dengan membuang “persepsi rasuah” yang terpalit sejak sekian lama melalui budaya politik wang.

Chin memberitahu FMT, beliau percaya Nik Abduh sekadar “memancing” untuk melihat reaksi pemimpin Umno.

Katanya, tiada apa yang mungkin berlaku sehingga selepas PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita perlu tahu sama ada rakyat yang mengundi PAS, benar-benar mahu mengundi PAS,” katanya.

“Ada sesetengah mengatakan Umno mungkin mendapat kembali undi Melayu yang hilang kepada PAS atau PN. Jadi, semua orang menunggu PRN tahun ini untuk melihat keputusannya.”

Tiada ulasan: