"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inspektor polis didakwa rogol remaja, laku amang seksual

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada akhir bulan lepas.

Mohd Maliki Azmi, 34, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid, lapor Bernama.

Tertuduh, sebagai pegawai penyiasat berpangkat Inspektor, didakwa merogol remaja berusia 16 tahun itu dengan kerelaannya dan kerelaan itu diperoleh menggunakan kedudukan berkuasa tertuduh terhadap mangsa.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bilik pegawai penyiasat di IPD Yan lebih kurang 6.30 petang pada 28 Dis 2022.

Tuduhan dikenakan mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, berkaitan amang seksual terhadap remaja perempuan itu di tempat, masa dan tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, serta sebagai tambahan hukuman, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan disebat dengan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi tertuduh, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM20,000 bagi tuduhan merogol dan RM20,000 bagi setiap kes amang seksual.

Mohd Maliki memohon jaminan rendah atas alasan dia tiada pendapatan berikutan akan digantung tugas selepas kes itu, selain perlu menyara keluarganya dan menanggung beban hutang yang tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi tuduhan merogol dan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga kes amang seksual, berserta syarat tambahan melarangnya mengganggu mangsa dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan untuk semua kes ditetapkan pada 6 Feb bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Tiada ulasan: