Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi dalam soal membanteras rasuah termasuk membabitkan jerung dan bukan hanya tertumpu kepada ikan bilis.
Malah beliau sendiri menegaskan kebebasan diberi sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja.
Perdana Menteri juga menyangkal tindakan membanteras rasuah itu adalah amalan politik dendam sebaliknya ia adalah sebahagian agenda reformasi yang diperjuangkannya selama ini.
Menurutnya, pembanteras rasuah tidak tertumpu kepada ikan bilis sahaja malah sudah ada jerung yang turut ditahan dan diambil tindakan.
"Saya memberikan SPRM kelonggaran sepenuhnya dan wewenangya (kuasa), sedikit sebanyak sudah banyak (kes) terbongkar.
"Saya tidak mahu mengulasnya setiap kali, pihak penguatkuasaan diberikan kuasa, malah saya setiap minggu berpesan, saya tidak masuk campur jika seseorang disiasat (SPRM)," katanya dalam Naratif Khas yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini.
Anwar berkata, amalan pemunggahan kekayaan negara yang agak memualkan di mana ada pengalaman orang besar, ditangkap dan ini membuktikan tindakan tidak hanya tertumpu kepada ikan bilis.
"Kes Jana Wibawa, Menara KL, pemunggahan kekayaan, saya akan pastikan ada tindakan pengajaran pada masa lalu dan sekarang.
"Memang ada orang yang takut disiasat. Tetapi apabila berbicara tata kelola, saya beri arahan yang jelas, apa (kes) yang berlaku, terus ada tuduhan (mahkamah), ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata, negara ini sudah rosak, tiada upaya bangkit semula jika terus dibiarkan.
"Jika pemimpin kumpul berbilion (kekayaan), untuk rakyat, penjaja kecil rumahnya separuh robek, apa makna kepada rakyat, tetapi ada pemimpin bersenang lenang memunggah kekayaan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan