"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persatuan bola tampar gantung jurulatih ‘lempang’ pemain

FMT Reporters

PETALING JAYA: Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) menggantung sementara jurulatih pasukan Melaka B-14 wanita yang tular kerana menampar dua pemainnya.

Mava dalam kenyataan berkata, pihaknya menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat insiden itu segera.

Katanya, buat masa ini jurulatih itu digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

“Mava sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak,” katanya.

Justeru, Mava sedia mengambil tindakan selanjutnya selaras perlembagaan persatuan itu.

Terdahulu, FMT melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas tindakan seorang jurulatih yang dirakam menampar pemainnya ketika perlawanan bola tampar.

Klip video tular di media sosial menunjukkan jurulatih pasukan bola tampar perempuan  bawah 14 tahun Melaka menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor.

Kejohanan itu berlangsung pada 14 hingga 16 Dis lalu.

Yeoh berkata, beliau sudah menghubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan mereka sedang mengumpul lebih banyak maklumat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, bekas menteri belia dan sukan, Ahmad Faizal Azumu berkata, jurulatih terbabit tidak perlu bertindak kasar.

Katanya, jika perkara sedemikian tidak diteliti, kejadian sama akan berulang.

“Ia akan meninggalkan kesan negatif ke atas kanak-kanak. Pendidikan, kesedaran dan pemantauan berkesan penting untuk memastikan sikap saling menghormati antara atlet, jurulatih dan pentadbir,” tulisnya di Twitter.

Tiada ulasan: