Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak akan berkompromi dan sudah menjalankan siasatan terhadap isu tular video ceramah disampaikan pegawainya.
Jakim berkata, pihak Pengurusan Tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawainya yang mengundang kemarahan netizen.
"Jakim sudah memanggil pegawai terbabit untuk siasatan lanjut bagi memulakan prosiding tatatertib dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok menunjukkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan dan juga seorang penceramah yang mengutuk Kerajaan Perpaduan.
Ceramah itu dipercayai dirakam di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu.
Kandungan ceramah itu antara lain turut menyentuh perihal lagu 'Hoi, hoi ya hoi' yang dijadikan senjata politik sebuah parti sebelum pilihan raya umum lalu.
Rata-rata komen yang ditinggalkan netizen terhadap video itu antara lain mengecam tindakan ustaz berkenaan kerana menjadikan masjid untuk mengutuk Kerajaan Perpaduan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan